HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, March 31, 2010

Kempen Selamatkan Negara. Vol 8

Selamatkan Rakyat dari Nafsu
Seorang Perdana Menteri

1. Dewan Pemuda PAS Pusat pada Julai 2009 melalui Unit Kajian dan Maklumbalas Isu Semasanya pernah mengutarakan isu penglibatan dan pengaruh sebuah Firma Konsultan Antarabangsa [APCO Worldwide] yang berpangkalan di Amerika Syarikat dalam kerajaan negara kita .

2. Selain daripada merujuk kepada pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen , Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong gesaan yang dibuat oleh Naib Presiden PAS Pusat Datuk Hj. Mahfuz Omar agar satu Suruhanjaya DiRaja segera dibentuk bagi menyiasat dakwaan ini justeru ia melibatkan soal keselamatan rakyat dan negara .

3. Kita tidak mungkin membiarkan rakyat dan negara tercinta ini begitu terdedah kepada risiko dan ancaman luar semata - mata untuk memenuhi keinginan nafsu rakus seorang Perdana Menteri . Sudahlah negara terpaksa membelanjakan wang rakyat sebanyak RM 20 juta semata - mata untuk memulihkan imej sang Perdana Menteri yang rosak dan punah teruk di mata masyarakat dan dunia , Firma Konsultan [ APCO ] yang dipilih pula adalah sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Zionis Israel alaihi laknatullah .

4. RM 20 juta adalah satu jumlah yang sangat keterlaluan untuk digunakan hanya tujuan menggilap imej seorang pemimpin dan partinya yang sekian lama terpalit dengan pelbagai dosa dan noda . Entah dari mana wang sebanyak itu diperolehi , alangkah jika ianya disuntik ke dalam pakej rangsangan ekonomi untuk membantu dan meningkatkan taraf hidup rakyat tatkala berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang longlai dan lesu .

5. Penasihat Perdana Menteri Omar Mustafa Ong dilihat sangat berkuasa dalam hal ini sehingga mengatasi menteri dan pegawai kanan kerajaan . Beliau didakwa bertanggungjawab memperkenalkan APCO Worlwide kepada kerajaan Malaysia dan membawanya masuk malah sampai ke peringkat syarikat ini berjaya membuka "pejabat"nya di dalam pejabat Perda Menteri .

6. Kerajaan Malaysia kini sedang dilihat mempertaruhkan masa depan rakyat dan negara kerana mengizinkan syarikat konsultan seperti APCO ber"sarang" di dalam pentadbiran dan pemerintahan negara kita . Semua orang tahu bahawa APCO adalah sebuah syarikat pro Zionis yang sedang melebarkan pengaruh dan penguasaannya ke atas negara - negara luar Israel khasnya negara umat Islam di seluruh dunia . Negara kini seperti di dalam cengkaman Zionis Israel apabila pemimpin utamanya [ Datuk Seri Najib Abd Razak ] kini didalam pengaruh dan nasihat APCO Worlwide .

7. Tindakan Perdana Menteri turut dilihat sebagai satu penghinaan ke atas ummat Islam seluruh dunia amnya dan Palestine khasnya . Kenapa tidak , saat Zionis Israel mengganas dan menggila di Gaza Palestine , Perdana Menteri mengheret kerajaan pimpinannya untuk membuta hubungan langsung dengan syarikat pro Zionis tersebut . Lebih membimbangkan ialah maklumat strategik negara kini di "mulut" Zionis apabila APCO bebas menggilap dan menasihati perdana menteri .

8. Kenapa mahu bazirkan wang sedemikian banyak dengan mengenepikan syarikat konsultan tempatan jika Perdana Menteri benar - benar terdesak untuk memulihkan imejnya yang rosak teruk ? Apakah Perdana Menteri tidak yakin pada keupayaan syarikat konsultan tempatan ? sehingga tidak segan mengundang APCO yang pernah menasihati Ehud Barak agar melancarkan " One Israel " untuk memulih imej perdana menteri Israel tersebut . Apakah One Malaysia [ Satu Malaysia ] merupakan strategi serupa ? Awas negara kini dalam bahaya dengan agenda One Malaysia tajaan zionis ini .

9. Jika imej menjadi persoalan yang menghantui dan menghambat YAB Perdana Menteri , kenapa tidak beliau bina imej berasaskan akhlak Islami yang telah diwariskan oleh Nabi saw sebagai Rasul yang diutus oleh Allah swt untuk menyempurnakan keindahan akhlak dan syakhsiyah . Bahkan Islam sememangnya mempunyai skill dan skima tersendiri dalam membentuk karektor seorang pemimpin yang baik dan hebat .

10. YAB Perdana Menteri sewajarnya menghayati nilai akhlak Islami yang berasaskan iman dan taqwa . kelak ia akan meluhurkan peribadi sehingga lahir susuk seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , menjauhi rasuah , arak , zina , judi bahkan menjadi insan yang taat kepada Allah swt serta melaksanakan syariat dan syiar agama Allah swt . Kenapa tidak lihat kepada hebatnya karisma dan jati diri yang dibina oleh pemimpin yang beriman , berilmu dan bertaqwa seperti Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang ? Mereka tidak pernah terlibat dengan korupsi , arak , judi dan sebagainya .


Sunday, March 28, 2010

Kempen Selamatkan Negara. Vol 7

Maruah PDRM
Tercalar Lagi

1. Pada tahun 2007 tanggal 12 ogos , Tun Hanif Omar bekas ketua polis negara telah mendedahkan melalui ruangan khas beliau di akhbar The Star bahawa 40% pegawai - pegawai polis terlibat dengan rasuah .

[ sehingga kini tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap kes yang didedah dan tiada juga tindakan diambil ke atas Tun Hanif Omar jika beliau membuat tuduhan palsu .]

2. Kini Tan Sri Musa Hassan Ketua Polis Negara mendedahkan betapa wujud campur tangan pihak ketiga dalam pentadbiran Polis diRaja Malaysia . Beliau turut mendakwa bahawa pihak ketiga ini telah membuat arahan terus kepada pegawai bawahan beliau . Persoalannya siapakah pihak ketiga ini ? Gengster atau ahli politik ?

3. Pendedahan seperti ini meletakkan rakyat dalam keadaan gelisah dan negara dalam bahaya . Sebelum ini pun telah wujud pertelagahan antara pegawai tinggi polis yang akhirnya membawa pendedahan demi pendedahan yang menggemparkan malah menakutkan .

4. Pendedahan seperti wujudnya hubungan pihak polis dengan kumpulan - kumpulan gengster , pertelagahan pihak polis dengan timbalan menteri dalam negeri sebelum ini yang akhirnya mendedahkan betapa wujudnya keadaan satu pihak menangkap penjenayah yang sangat dikehendaki dan satu pihak lagi membebaskan penjenayah tersebut yang telah ditangkap .

5. Justeru itu tidak hairanlah jika bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar menyebut mengenai 40% pegawai polis terlibat dengan rasuah dan pendedahan terkini dari Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mengenai wujudnya pihak ketiga yang campur tangan dan mampu mengeluarkan arahan kepada pegawai - pegawai polis .

6. Lebih malang apabila usul dari ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali agar parlimen mendapat penjelasan dari Menteri dalam Negeri mengenai kewujudan pihak ketiga yang mengeluarkan arahan kepada pegawai polis ini ditolak oleh speaker . Kenapa penjelasan enggan diberikan ? apa yang sedang disembunyikan ? perkara ini bukan remeh dan kecil sebaliknya berkait soal keselamatan rakyat dan negara !

7. Pihak Menteri Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia mesti melakukan suatu yang lebih berkesan untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat dan negara bukan membiarkan indeks jenayah meningkat dan pasukan keselamatan sendiri bergelut dengan krisis integriti .

8. Sehingga kini Suruhanjaya Penambahbaikan Polis DiRaja Malaysia masih dilihat tidak berkesan . Jelasnya PDRM hanya menonjolkan kecekapannya bertindak ke atas parti - parti politik pembangkang dan di musim - musim pilihanraya dengan ribuan polis akan ditempatkan di kawasan berlangsungnya pilihanraya . Setiap lorong dan simpang akan kelihatan pasukan polis gagah bersiapsiaga .

9. Persoalannya kenapa jumlah polis yang sedemikian ramai dan gah tidak boleh dikerahkan untuk memburu habis - habisan sehingga ke lubang cacing segala macam bentuk penjenayah dalam negara kita ? Lebih malang apabila ada balai polis yang memberi alasan kami tidak cukup kakitangan untuk bertindak apabila mereka dihubungi agar segera mengambil tindakan menangani ke samun dan rompak seperti berlaku di Maran dan beberapa tempat yang lain .

10. Kes terbaru pembunuhan Mendiang Siva dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak dan pembunuhan abang ipar Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam telah meningkatkan angka indeks jenayah dalam negara kita . Sewaktu pilihanraya berlangsung , negara kita seperti negara polis tetapi pada waktu - waktu lain tatkala sedang berdepan dengan penjenayah , negara kita seperti tiada polis .

Friday, March 26, 2010

Pinda Rukun Negara

Pinda Rukun Negara
Satu langkah yang Tepat.

1. Gesaan Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ] agar Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dipinda kepada "Kepercayaan [ keyakinan ] kepada Allah" .

2.Sekurang - kurangnya 2 asas utama sebagai latar belakang yang mewajarkan pindaan tersebut dilakukan .

a] Malaysia adalah sebuah negara yang telah mengisytiharkan Islam sebagai agama Rasminya dan ia dimaktubkan didalam perlembagaan negara biarpun menyedari Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk dan ianya diperakui.

b] Masyarakat non muslim sendiri dewasa ini telah memperjuangkan hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah dan ini menjadi satu hikmah yang terbuka untuk kita membawa mereka lebih memahami dan menghayati pengertian kalimah Allah swt tanpa syirik dan menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah swt .

3. Suatu amalan yang telah diterima dan diakui oleh semua bangsa dan agama sebagai rakyat negara ini menyanyikan lagu negeri masing - masing dengan menggunakan kalimah Allah . Sehingga kini penggunaan kalimah Allah dalam lagu - lagu negeri ini tidak pernah dibantah dan dipersoal . [ lihat lirik lagu - lagu negeri ]

a] ...... Segala kebesaran Allah cucurkan * Darjah kemuliaan Allah tambahkan ... [ Kelantan ]

b] .....
Allah selamatkan Sultan Mahkota * Berpanjangan usia di atas Takhta .... [ Kedah ]

c] .....
Ditaati rakyat kiri dan kanan * Iman yang saleh Allah kurniakan .... [ Perak ]

d ] ..... Ya Allah yang Maha Kuasa * Lanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia .... [ Pahang ]

e ]
..... Allah peliharakan Raja kami * Memerintah Terengganu Negeri .... [ Terengganu ]

f ] ..... Allah lanjutkan usia Tuanku * Rakyat mohon restu ..... [ Selangor ]

g ] ..... Allah peliharakan Sultan * 'Nugrahkan Dia segala kehormatan .... [ Johor ]

4. Kerajaan Malaysia melalui pemimpin utamanya berkali - kali mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negera Islam . Justeru itu , wajarlah kerajaan tidak membantah cadangan dan gesaan Tuan Guru Presiden PAS agar Rukun Negara yang pertama itu dipinda menjadi kepercayaan kepada Allah swt .

5. Kepercayaan kepada Tuhan bukan sahaja tidak tepat malah ianya boleh membawa kepada syirik dan membatalkan aqidah ummah . Ia mungkin tidak mengapa kepada golongan non muslim tetapi jelas membawa ancaman kepada iman dan aqidah ummat Islam .

6. Kenapa tidak digunakan kalimah Allah swt di dalam rukun negara bagi menggantikan kalimah Tuhan sementara kalimah Allah swt itu telah diperakui oleh semua termasuk non muslim . Lihat Firman Allah swt dalam surah Lukman ayat 25 :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”

7. Kalimah Tuhan tidak membawa kepada erti dan nilai ketuhanan yang sebenar kerana tuhan juga boleh dinisbahkan kepada pelbagai gambaran dan rupa wajah malah sebahagiannya direka cipta oleh manusia . Mana mungkin tuhan direka dan dicipta sebagaimana tuhan sewajarnya adalah yang paling berkuasa , sempurna dan esa .

8. Meminda kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt di dalam rukun negara mampu membawa seluruh rakyat memahami dan menghayati nilai dan makna ketuhanan yang sebenar . Selain ianya [ menggunakan kalimah ALlah ] benar dan tepat dengan aqidah ummat Islam ianya juga tidak bersalahan dengan naluri dan hati kecil golongan non muslim dalam mempercayai erti ketuhanan .

9. Nokhtah yang paling penting disini ialah , Kalimah Allah swt tidak sahaja memaparkan nilai ketuhanan yang sebenar sebagai zat tuhan yang maha Esa tetapi penggunaan kalimah Allah swt yang telah diperakui dan diterima oleh semua pihak ini akan menjadi satu platform untuk menyeru atau mengajak seluruh manusia mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan Yang maha Mencipta tanpa lagi mensyirikkanNya .

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah Yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian Yang lain untuk dijadikan orang-orang Yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang yang menyerah diri kepada Allah swt. [ Islam ] ".

Surah Aali I'mran : 64

10. Rukun negara adalah berfungsi sebagai asas utama kepada rule rakyat dalam membentuk serta mengungguli sistem nilai dan jati diri sebagai warga negara yang baik . Lantaran itu , amatlah wajar rukun negara ini dipinda dengan menukar kalimah tuhan kepada kalimah Allah swt tuhan yang maha mencipta dan memiliki sekelian alam ini serta Dia lah tuhan yang menurunkan wahyu sebagai pekeliling rasmi buat pedoman manusia mengatur kehidupan di atas muka bumi ini dengan sejahtera dan beroleh rahmat serta berkat dariNya .

Perhatian :

[ Poll dikalangan pembaca Akhbar Sinar Harian [ pada 25 Mac 2010- khamis ] : Perlukah Rukun Negara ditukar ? 62% Setuju dan 38% tidak setuju . ]



Thursday, March 25, 2010

Himpunan Sejuta Ummah

1. Dewan Pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan akhbar di Sweden yang telah menghina Nabi Muhammad SAW.

2. Sebelum ini beberapa karikatur Rasulullah telah dikeluarkan oleh Akhbar di Denmark dan kini pula di akhbar Sweden. Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh ummat Islam bahkan juga non muslim, justeru ia satu pencabulan terhadap kesucian agama.

3. Pemuda PAS juga memandang serius isu yang sedang berlaku di Baitulmuqaddis pada ketika ini. Berikutan pembinaan Kuil Al-Kharab di sebelah Barat Masjid Al-Aqsa yang mencemarkan kehormatan kota suci Ummat Islam. Pihak penjajah Zionis juga mengumumkan pembukaan kuil tersebut sebagai langkah permulaan untuk membina Kuil Haikal Sulaiman di atas tapak Masjid al-Aqsa yang akan diruntuhkan kelak. Ummat Islam di seluruh dunia diseru agar mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan bumi Israk Mikraj Rasulullah SAW.

4. Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan mengadakan satu himpunan aman bagi membantah tindakan tersebut pada butiran berikut:

Tarikh : 26 Mac 2010 (Jumaat)

Masa : 01.15 pm : - solat Jumaat di Masjid Tabung Haji.

02.00 : - berkumpul dan berarak ke Kedutaan Sweden.

5. Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia yang prihatin, sama ada muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Akhbar Sweden dan Rejim Zionis yang mencabul kesucian agama Islam.

Semua para wartawan dijemput hadir untuk membuat liputan.

Teguran Buat Ahli Parlimen


TEGURAN UNTUK AHLI-AHLI DEWAN RAKYAT.

1. Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru semua Ahli Dewan Rakyat agar dapat memulihkan semula ruh dan peranan dewan yang mulia itu selaras dengan harapan dan teguran Yang DiPertuan Agong dalam titah baginda ketika perasmian penggal 15hb Mac yang lalu.

2. Pemuda PAS berpendapat isu-isu yang melibatkan serangan peribadi, kata-kata yang unparliamentarian, dan isu dalaman parti tidak harus diutarakan dalam dewan. Ini akan mengurangkan keberkesanan fungsi persidangan dewan.

3. Pada sidang mesyuarat ini, hanya kira-kira 20 hari sahaja masa bersidang dan sewajarnya masa yang singkat itu dimanfaatkan untuk mengutamakan perbincangan mengenai isu-isu dasar, polisi dan perkara-perkara yang mustahak dan melibatkan kepentingan rakyat. Tambahan pula, dewan tidak bersidang dalam tempoh yang agak panjang sebelum itu.

4. Pada masa yang sama, Pemuda PAS menyarankan agar tempoh sesi soal jawab dapat dipanjangkan berbanding hanya 1 jam 30 minit sahaja. Secara puratanya, soalan yang dapat dijawab secara lisan kira-kira 11 soalan sahaja sehari berbanding soalan yang diperuntukkan sebanyak lebih 60 soalan.

5. Pihak RTM pula tidak menyiarkan sidang dewan secara langsung selama 30 minit sepertimana yang telah dijanjikan oleh bekas Menteri Penerangan sebelum ini. Ini kerana selepas satu atau dua soalan yang diutarakan, kemudian RTM akan menyiarkan soal jawab dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional. Ini adalah usaha untuk memperbudakkan rakyat.

6. Walaubagaimanapun, Pemuda PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli Dewan Rakyat terutamanya daripada PAS dan Pakatan Rakyat kerana konsisten menyuarakan pendirian parti dan hasrat rakyat. Kami turut mengharapkan agar Dewan Rakyat di Malaysia mampu mencapai taraf terbaik diperingkat dunia.


Tuesday, March 23, 2010

Kempen Selamatkan Negara. Vol 6

1. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [JPN] Datuk Alwi Ibrahim telah mendedahkan peningkatan Anak Luar Nikah [ALN] yang didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara: [ Berita Minggu : 21 Mac ]

a] 2007 : 16,100 anak Luar nikah
b] 2008 : 16,541 anak luar nikah
c] 2009 : 17,303 anak luar nikah

2. Datuk Alwi juga menyebut bahawa dalam tempoh 5 tahun terakhir Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan 74,723 anak luar nikah yang membabitkan orang melayu Islam .

[ Fakta ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ]

3. Sepanjang tempoh yang sama [ 5 tahun ] , seramai 214,033 bayi luar nikah didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf termasuk kes anak yang tidak berbapa dari pelbagai bangsa dalam negara kita .

4. Fakta yang saya paparkan ini satu lagi episod kebinasaan dan kemusnahan yang sedang deras melanda negara . Membunuh sistem nilai dan memasung maruah ummah . Segalanya angkara nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu . Hidup dalam satu sistem politik dan sosial yang terhindar dari petunjuk Allah swt dan pedoman sunnah Rasulullah saw.

5. Sistem pendidikan , perumahan , pembangunan , IT , media dan lainnya yang sangat jelas serta ketara tidak menepati syarat dan sistem Islam adalah antara penyumbang utama kepada keruntuhan moral dan akhlak . [ sebagai contoh ....]

Pendidikan : Tidak menitik beratkan pentarbiyyah untuk melahirkan insan yang soleh dan bermoral . Nilai agama dan moral tidak menjadi asas utama dalam memburu kecemerlangan akdemik .

Perumahan : Rumah murah 2 bilik tidak sesuai untuk rakyat kerana menyumbang kepada gejala sumbang mahram serta susun atur kawasan perumahan yang tidak islamik sebagai contoh kawasan perumahan yang tidak disediakan surau oleh pemajunya dan pusat pengajian agama tambahan serta kawalan akhlak dan moral selain warden yang menjaga keselamatan tetangga .

Pembangunan : Hanya memburu keuntungan sehingga dalam satu daerah biarpun majoriti muslim masih dibenarkan kedai - kedai jualan arak dan kondom secara terbuka seperti seven eleven dan pertumbuhan kelab malam , karaoke , rumah urut yang tidak terkawal tumbuh bagai cendawan selepas hujan .

6. Seperkara lagi yang saya lihat tidak kurang juga pentingnya ialah kegagalan pihak berwajib menjalankan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran [ an Nahyu a'nil mungkar ] . Seketika , nasib pelacur , mak nyah lebih baik dari penceramah agama dan pendakwah yang sering diburu kerana tiada tauliah . Demikian juga nasib kelab malam dan pusat hiburan yang mendapat cop "halal" oleh pihak berkuasa tempatan nyata lebih baik dari masjid dan surau yang tidak dibenarkan menganjur majlis - majlis ilmu .

7. Apa yang berlaku ialah al amrul bil mungkar wa nahyu a'nil makruf ! Khatib yang membaca khutbah tanpa tauliah dari jabatan agama meskipun mendapat ijazah dari universiti Islam senantiasa dalam resah dan gusar diburu oleh penguatkuasa agama berbanding rasa selamat dan selesanya mereka yang langsung tidak hadhir solat jumaat .

8. Setiap kali dipersoal , pihak penguatkuasa ini sering menggunakan hujjah arahan orang atas !
Tentunya orang atasan ialah orang yang berkuasa iaitu kerajaan yang memerintah . Malang bagi sebuah kerajaan yang memiliki kuasa dan mandat rakyat tidak menggunakannya untuk membasmi maksiat dan mungkar tetapi sebaliknya menunjukkan sikap anti agama atau anti Islam . Islam yang mereka mahu ialah Islam yang boleh kompromi dengan maksiat dan mungkar .

[ contoh : Masjid dibina tetapi Kelab Malam juga dibina . Musabaqah Al Quran dianjur tetapi Akademi Fantasia juga dianjur . Peluang pekerjaan disedia tetapi pusat - pusat judi juga disediakan dan banyak lagi contoh contoh lain .]

9. Bukan tidak tegur dan bukan juga tidak dinasihati , tetapi mereka sukar memahami . Kita telah menghantar memorundum , kita telah menegur dalam kunjungan hormat kita , kita juga sudah sebut dalam dialog , wacana ilmiah , debat , khutbah , kuliah , ceramah bahkan demonstrasi . Kita juga menegur mereka secara rasmi di dalam Parlimen , Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri tetapi semuanya tidak membuahkan hasil . Mereka hanya memekakkan telinga dan menggulung lidah .

10. Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bangkit berjuang bagi menyelamatkan negara dari kebinasaan dan kemusnahan ini dengan membuat desakan agar syariat Islam dilaksana dan didaulatkan . Ianya adalah satu desakan berasas setelah semua pihak menyaksikan kegagalan total sistem peraturan dan undang - undang ciptaan manusia .



Sunday, March 21, 2010

Orang Muda Geng Kita

1. Tahniah saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan seluruh warganya di atas kejayaan menganjurkan Karnival Orang Muda Geng Kita peringkat Negeri Pahang .

2. Meskipun hujan lebat tanpa henti sejak semalam masih berlarutan dan mengiringi majlis perasmian Karnival Orang Muda Geng Kita sebentar tadi , ternyata semangat kental anak - anak muda untuk bersama dengan perjuangan Islam ini tidak luntur bahkan himpunan mereka hari ini mencecahkan 2000 orang .

3. Kini PAS amnya dan Dewan Pemuda PAS khasnya tidak sekali - kali boleh ditohmah bahawa ia hanya parti milik tok lebai , parti orang kampung , parti primitif dan sebangainya . Justeru kini PAS mula diterima oleh semua terutama anak - anak muda yang mula menjadikan PAS sebagai wadah atau pangkalan mereka untuk berjuang menuntut sebuah perubahan di dalam negara kita hari ini.

4. PAS bagai sebuah bahtera penyelamat yang berlayar meredah gelombang ganas hasil pergolakan politik , kebiadaban manusia dan kerosakkan sistem . Semua orang digamit agar segera menaiki bahtera ini sebelum tenggelam dipukul gelombang dan hanyut dibawa arus .

5. Anak - anak muda tidak perlu teragak - agak untuk menyertai wadah perjuangan suci ini sebaliknya apa yang perlu ialah segera bertindak nekad dan yakin bersama PAS untuk mengurus sebuah perjuangan menuntut keadilan , ketelusan , kesaksamaan , kesejahteraan , kebajikan dan keamanan . Lebih bermakna , perjuangan ini adalah perjuangan yang memartabatkan syariat Allah swt Tuhan yang Mencipta sekelian alam .

6. Bersama PAS , naluri anak - anak muda tidak sekali - kali dihalang bahkan naluri mereka akan :

a] dipandu agar benar jalan yang dilalui mereka ,
b] dididik agar mampu menilai tindakan mereka ,
c] dibina agar lahir sebagai insan yang soleh dan
d] dipelihara agar selamat dari kemurkaan Allah swt .

7. Perjuangan PAS tidak semata - mata politik , pengaruh dan kuasa tetapi perjuangan PAS juga adalah :

a] memurnikan akhlak , [ keperibadian ]
b] menyantuni Insan , [ mesra rakyat ]
c] membetulkan aqidah [ pegangan hidup ]
d] membekalkan ilmu dan memantapkan fikrah [ pemikiran ]
e] merangkaikan ukhuwwah [ tali persaudaraan ]
f] mengiktiraf peranan anak muda
g] memperjuangkan hak anak - anak muda
h] memperjuangkan hak golongan yang tertindas dan dinafikan
i] wadah alternatif buat rakyat berjuang menuntut hak mereka

8. Potensi anak - anak muda dengan kekuatan fizikal , kecerdasan minda dan kecekalan semangat mereka sangat diperlukan oleh perjuangan yang mewakili rakyat seperti PAS untuk menyemarakkan angin perubahan sekaligus meruntuhkan kezaliman , penindasan , kekejaman , korupsi dan 1001 maksiat serta mungkar yang membinasakan peradaban atau tamaddun manusia .

9. Saya tidak lihat potensi anak muda musnah atau terencat apabila menyertai perjuangan ini melainkan segala potensi yang telah sedia ada akan dipertingkatkan sehingga membentuk satu prestasi yang membanggakan negara dan seluruh rakyatnya yang mempunyai anak - anak muda merdeka serta bebas tanpa dijajah jiwa dan minda mereka .

10. Orang Muda Geng Kita adalah satu slogan yang bersifat praktikal untuk menterjemah konsep perjuangan PAS bersama anak - anak muda negara dengan menyediakan wadah perjuangan buat mereka sekaligus memartabat peranan mereka dalam membangunkan negara dari seluruh aspek iaitu spiritual dan material .

Friday, March 19, 2010


PROTES ORANG ASAL

MEMBUKTIKAN SIKAP ANGKUH KERAJAAN

1. Dewan Pemuda PAS Pusat membidas sikap angkuh kerajaan yang gemar mengemuka dan membuat sesuatu polisi besar tanpa mengambil kira pandangan akar umbi rakyat terlebih dahulu.

2. Penangguhan bacaan Rang Undang-Undang Barang dan Perkhidmatan (GST) 2009, penstrukturan semula subsidi petrol dan protes Orang Asal semalam di Putrajaya jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengambil pandangan awam secara matang terlebih dahulu sebelum mengemukakan apa-apa cadangan yang melibatkan kesan besar kepada rakyat.

3. Akibatnya, banyak polisi-polisi kerajaan yang sering bertukar ganti dan tidak konsisten (flip flop policies). Ini akan menambah kekeliruan dan masalah kepada rakyat. Malah, dari aspek ekonominya ia akan membazirkan duit pembayar cukai iaitu rakyat sendiri.

4. Dewan Pemuda PAS Pusat mengkagumi sikap kolektif yang ditunjukkan oleh Orang Asal semalam di Putrajaya dalam memperjuangkan hak dan tuntutan mereka. Kita perlu memberikan penghormatan kepada mereka dan ia telah mengubah persepsi rakyat umum dan kerajaan bahawa pelbagai segmentasi rakyat telah bangun memperjuangkan keadilan dan kebenaran meskipun kerajaan hari ini berselindung disebalik retorika politik yang hebat.

5. Dewan Pemuda PAS turut bersetuju mengenai isu pelantikan wakil Orang Asli ke Dewan Negara untuk memberikan platform yang sesuai bagi menyuarakan hak, pandangan dan tuntutan Orang Asli di negara kita. Disamping itu, kami mengharapkan agar fungsi Dewan Negara dapat dipertingkatkan seperti di United Kingdom dan Australia malah sejajar dengan usaha membentuk Parlimen bertaraf dunia.

6. Kami turut mendesak supaya pihak kerajaan mengkaji semula Dasar Pemberimilikan Tanah yang dianggap menzalimi dan terdapat usaha-usaha untuk memarginalisasikan taraf mereka sebagai masyarakat peribumi di Malaysia. Kami juga menuntut supaya satu siasatan dibuat oleh pihak-pihak berkuasa kerana Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) mendakwa terdapat pihak-pihak yang membuat konspirasi terhadap penggubalan dasar ini.


Wednesday, March 17, 2010

Himpunan Aman Cintai Rasulullah saw.

Dewan Pemuda PAS Pusat ingin memaklumkan kepada semua bahawa Himpunan Aman membantah akhbar di Sweden yang telah menghina Nabi Muhammad saw yang dijadualkan pada hari Jumaat 19 Mac 2010 bertempat di hadapan Kedutaan Sweden Kuala Lumpur TELAH DITUKARKAN ke hari Jumaat 26 Mac 2010 . [ Masa dan Tempat dikekalkan ]

Pertukaran tarikh ini adalah disebabkan masaalah teknikal dan beberapa faktor penting yang tidak dapat dielakkan . Pihak Dewan Pemuda PAS Pusat semua pihak mengambil maklum dan seterusnya hadhir seperti yang dijadualkan iaitu [ 26 Mac 2010 ] .

Ummat Islam digalakkan berhimpun di Masjid Tabung Haji [ solat Jumaat ] Kuala Lumpur dan selepas itu akan berarak ke Kedutaan Sweden bersama - sama bagi menunjukkan solidariti dan kemarahan ummat Islam terhadap penghinaan atau pencabulan maruah yang dilakukan oleh Akhbar Sweden terhadap Ummat Islam dan Rasul mereka saw.

Sebelum ini beberapa karikatur Nabi saw telah dikeluarkan oleh Akhbar di Denmark dan kini pula di akhbar Sweden . Penghinaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan oleh ummat Islam bahkan juga non muslim justeru ia satu pencabulan terhadap kesucian agama .

Ayuh buat seluruh Ummah yang prihatin khasnya ummat Islam , buat persiapan dan pastikan 26 Mac 2010 semua dapat hadhir .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive