HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, January 20, 2012

KUIN dan AUKU

KUIN dan AUKU

1. Saya menulis saat ramai orang sedang enak tidur di buai mimpi. Sejurus tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi, jam menunjukkan 2.30 am. Bukan sahaja saya tidak mampu melelapkan mata tetapi juga resah mengenang masa depan yang tentunya menjanjikan 1001 cabaran buat diri saya dan perjuangan Islam yang saya dokong ini.

2. Antara yang benar - benar mengganggu keselesaan dan mengusik jiwa muda saya buat masa ini ialah isu KUIN dan AUKU. Sekian lama saya berlunak dengan semua pihak bagi menjernihkan suasana dan meredakan keadaan. Sebelah kanan saya ialah bapa yang banyak membekal ilmu, hikmah dan pengalaman berjuang sementara sebelah kiri saya ialah adik - adik yang meronta mohon diadili selayaknya. Sementara saya masih berdiri digaris tengah dengan tetap mempertahankan prinsip perjuangan suci yang saya galas sejak sekian lama.

3. Sebahagian prinsip yang saya maksudkan itu ialah pendirian saya dan pendirian Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap AUKU. Jelas pendirian kami sehingga kini tidak berubah iaitu mansuhkan AUKU. Sebagaimana saya pernah ke lokap, bermandi air asid dan bersimbah gas pemedih mata memperjuangkan pendirian Mansuhkan ISA, maka demikianlah saya dan rakan - rakan pemuda konsisten berjuang untuk mansuhkan AUKU bukan memindanya seperti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan UMNO dan BN. Terbaru saya telah meminta agar JUHAM DPPM menghantar memorandum bantahan AUKU dan RUU Himpunan Aman kepada kementerian yang terbabit, tetapi tertangguh atas faktor kesesuaian masa dan pertembungan program. Insyaallah ia akan di"proceed" dalam tempoh terdekat.

4. Pendirian ini bukan kepada kes - kes tertentu atau universiti dan kolej tertentu tetapi meliputi semua termasuk KUIN yang berada di bawah Kerajaan Negeri Kedah dan ianya ditadbir oleh Pakatan Rakyat sementara Menteri Besarnya dari PAS. Pendirian kami tidak berubah dan tegas. Malah beberapa kali telah saya kemukakan samaada dihadapan YAB Menteri Besar sendiri, mahupun melewati kenyataan media yang menggesa agar KUIN bertindak wajar dan tidak menggantung 5 orang mahasiswanya.

5. Namun, cara dan pendekatan saya mungkin berbeza dengan pihak lain termasuk sebahagian mahasiswa sendiri. Ianya berasaskan khibrah atau pengalaman, sedang saya pernah melalui alam kemahasiswaan. Saya telah merayu dan meminta jasa baik KUIN agar mengkaji semula tindakan yang diambil dan saya telah merancang untuk pergi mengadap pihak tertinggi dalam pentadbiran KUIN. Namun hasrat itu tergendala apabila saya dimaklumkan bahawa kes ini akan dibawa ke mahkamah oleh pihak mahasiswa. Maka biarlah mahkamah yang membuat keputusan kerana kes ini telah dihadapkan kepada mahkamah.

6. Saya mengambil sikap, jika itu adalah keputusan yang dianggap wajar oleh adik - adik mahasiswa KUIN yang digantung pengajian mereka oleh pihak pentadbir KUIN tersebut, maka saya akur dan mendoakan agar mereka beroleh kejayaan. Buat pengetahuan umum, saya sendiri telah bertemu dengan adik - adik mahasiswa yang telah diambil tindakan ini dan mendengar suara serta penegasan mereka, malah saya masih ingat lagi kata - kata saya kepada mereka dengan disaksikan oleh Sdr Sabki Yusuf Naib Ketua DPPM pada waktu itu, Yb Ust Nasir Zakaria selaku Exco DPPM dan Ust Ahmad Yahya selaku Ketua DPP Negeri Kedah. Apa yang saya tegaskan ialah, jika antum rasa ini adalah satu kebenaran maka antum mesti mempertahankan pendirian antum dan hadapinya sehingga berjaya. Inilah idealisme mahasiswa dan perjuangkannya.

[ Itu penegasan saya dan itu prinsip saya dan tidak perlu saya ulang sebut acap kali seperti ia bukan suatu yang penting dan muktamad sedang ia prinsip dan muktamad sifatnya. Saya pun tidak suka bercakap perkara yang sama berulang kali. ]

7. Sepanjang tempoh itu pula, saya tidak meninggalkan kes ini berlalu begitu sahaja. Saya minta jasa baik JUHAM pula untuk meneruskan apa jua usaha yang boleh DPPM hulurkan kepada mahasiswa tersebut. Bermula di zaman Dr. Zulqarnain menjadi pengarah JUHAM dan dibantu sdr Abdullah Karim selaku Exco DPPM pada waktu itu yang juga merupakan seorang lawyer sehinggalah sekarang, JUHAM bersama pengarah barunya sdr Zamri terus mewakili DPPM menghulurkan apa jua bantuan yang dirasakan perlu.

8. Ertinya saya tegaskan disini bahawa DPP Malaysia terus komited dengan gerakan Mansuhkan AUKU dan tentunya kita harapkan mahasiswa sendiri yang "lead" atau terajui gerakan mansuhkan AUKU justeru itulah perjuangan agar mereka bebas dari cengkaman AUKU yang membelenggu mereka sejak lebih 40 tahun lalu. DPPM bersama dengan gerakan mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara akan datang.

9. Saya tidak mengambil sikap menghukum siapa benar dan siapa pula salah dalam hal mahasiswa vs KUIN ini. Kerana pastinya kedua - dua belah pihak mempunyai hujjah masing - masing dalam mempertahankan sikap dan tindakan yang diambil, tetapi saya mempersoalkan bentuk hukuman dan cara ianya diambil. Menggunakan AUKU bukanlah langkah bijak sebagaimana menafikan hak mahasiswa bersuara juga bukan langkah yang baik.

10. Akhirnya saya berharap adik - adik mahasiswa bersabar mendepani dugaan ini. Andai kalian dipihak yang benar, pasti sahaja kebenaran itu akan terserlah jua. Kerana Allah bersama hambanya yang benar dan sabar. Saya jua senantiasa mendoakan kejayaan kalian. Teruskan perjuangan membebaskan mahasiswa dari kepungan AUKU, biar siapa yang terpaksa didepani. Namun nasihat saya selaku ketua DPPM, berjuanglah dalam kawalan adab dan akhlak yang diajar oleh Islam, agar tidak emosi menguasai diri tetapi kebijaksanaan, kewibawaan dan kematangan mahasiswa kelak akan membuka mata semua pihak.

Selamat berjuang dari saya

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Friday, January 13, 2012

Hukum Guna Wang Zakat. Lampiran Khas 2

Hukum Penggunaan Wang Zakat. Lampiran Khas 2

Amil Zakat

Amil zakat bermaksud orang yang dilantik oleh pemerintah untuk menguruskan harta zakat. Mereka merangkumi;

- al-Hasyir: yang mengumpul data pemilik harta yang bakal dikenakan zakat.
- al-'Arif; yang meninjau orang-orang yang layak menerima zakat.
- al-Hasib; yang menguruskan pengiraan harta zakat.
- al-Katib; juru tulis/pencatat bagi hal berkait pengurusan zakat.
- al-Jabi; yang menjalankan pungutan zakat.
- al-Qassam; yang menjalankan pengagihan harta zakat.
- Hafizul-Mal; yang menyimpan atau mengawasi simpanan harta zakat.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu'; diberikan kepada semua mereka di atas dari saham amil kerana semua mereka termasuk dalam pengertian amil-amil zakat, yakni mereka diberikan dari saham yang dinamakan saham amil iaitu 1/8 zakat. 

(al-Majmu', Kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/175).

Jawatan yang berhak mendapat saham amil tersebut hanyalah yang ada kaitan secara langsung dengan tugas-tugas pentadbiran zakat. Kerana itu, Imam an-Nawawi menjelaskan lagi; Di sisi ashabuna (yakni fuqahak mazhab Syafiie); "Tiada hak dalam harta zakat untuk sultan/pemerintah, gabenor wilayah dan qadhi (hakim), akan tetapi gaji mereka -jika mereka tidak bertugas secara sukarela- hendaklah diambil dari Baitul-Mal (dari harta khumus yang diperuntukkan bagi maslahah-maslahah negara) kerana tugas/pekerjaan mereka umum bagi maslahah sekelian kaum muslimin, berbeza dengan amil zakat (yang bertugas khusus untuk harta zakat, maka layak diberikan upah dari harta zakat)" 

(al-Majmu', 6/175).

Menurut fuqahak; kadar zakat yang diberikan kepada amil-amil ialah yang bersesuaian dengan upah kerja/tugas mereka. Jika saham 1/8 yang diperuntukan untuk amil menyamai kos upah amil, diberikan semua saham itu kepada mereka. Jika saham itu melebihi kos upah tersebut, diberikan kepada mereka kos upah mereka dan yang selebihnya hendaklah dipulangkan kepada asnaf-asnaf yang lain. 

Jika saham 1/8 itu tidak cukup untuk menampung kos upah mereka, para ulamak berbeza pandangan;

1. Sebahagian berpandangan; diambil dari bahagian asnaf-asnaf yang lain.
2. Sebahagaian berpandangan; ditampung dengan wang dari Baitul-Mal.

Menurut mazhab Syafiie; jika imam (pemerintah) ingin menetapkan upah bagi pegawai-pegawai pengurusan zakat semuanya diambil dari Baitul-Mal (tanpa melibatkan harta/wang zakat), hukumnya harus. Jika ini dilakukan, semua harta zakat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang lain. 

(al-Majmu', 6/175).

Merujuk kepada kes Dato Jamil Khir;

1. Menggunakan harta zakat untuk bayaran guaman bagi kes berkait dengan JAWI dan mengambilnya dari saham Amil adalah tidak tepat kerana kes itu tidak ada kaitan dengan tugas/peranan pengurusan zakat.

2. Kadar yang diberikan kepada amil bukanlah sewenang-wenangnya, tetapi bersesuaian dengan kadar upahnya sahaja iaitu dengan melihat kepada peranannya dalam pengurusan zakat. Dalam kes Jamil Khir, jumlah yang terbabit (bagi bayaran guaman itu) di luar logik jika hendak dianggap sebagai upah amil di samping ia tiada kaitan dengan pengurusan zakat sebagaimana disentuh tadi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

Hukum Guna Wang Zakat. Lampiran Khas 1

Hukum Penggunaan  Wang Zakat : Lampiran Khas

1. Golongan yang berhak menerima harta zakat telah ditentukan Allah, ianya tidak diserahkan kepada pilihan manusia atau pemerintah semata-mata. Setiap yang telah ditentukan Syarak perlulah dilaksanakan sebagaimana dikehendaki Syarak. Ini menjadi amanah penting yang dipikul oleh individu atau institusi yang bertanggungjawab menguruskan harta zakat; memungut dan mengagihkannya.

Menjadi satu kaedah yang disepakati oleh para Fuqahak bahawa;

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tidak tanduk pemimpin dalam perkara yang berkait dengan rakyat terikat dengan maslahah (untuk rakyat)”

(al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti).

Mengulas kaedah ini, Imam Ibnu Nujaim berkata;

إذا كان فعل الإمام مبنيا على المصلحة فيما يتعلق بالأمور العامة لم ينفذ أمره شرعا إلا إذا وافقه،
فإن خالفه لم ينفذ


“Oleh kerana perlakuan/tindakan pemimpin bagi urusan-urusan awam mesti terbina di atas maslahah, tidak dilaksanakan arahannya –dari segi Syarak- melainkan jika arahan itu menepati maslahah. Maka jika ia menyalahai maslahah, tidak harus dilaksanakan”

(al-Asybah wa an-Nazair, Imam Ibnu Nujaim, halaman 138).
 
2. Khusus bagi pengurusan kewangan, Saidina ‘Umar pernah menegaskan;

إني أنزلت نفسي من مال الله تعالى بمنزلة ولي اليتيم.  

“Sesungguhnya aku meletakkan diriku dalam pengurusan harta Allah sama seperti kedudukan penjaga harta anak yatim”.

Penjaga harta anak yatim adalah adalah pemegang amanah. Tidak harus ia membelanjakan harta itu sewenang-wenang seolah-olah harta itu miliknya, sebaliknya ia hendaklah menguruskan harta itu bagi pihak orang lain dengan penuh kejujuran agar ancaman Allah dalam ayat berikut tidak berlaku ke atasnya;

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْماً إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي
بُطُونِهِمْ نَاراً وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيراً

(Surah an-Nisa’, ayat 10)

Menyentuh tentang pengurusan harta zakat, Imam an-Nawawi menegaskan; “Adalah dituntut ke atas pemerintah dan individu yang ditugaskan memungut zakat apabila diserahkan kepadanya urusan pengagihan harta zakat untuk memberi perhatian kepada memastikan dengan tepat orang-orang yang berhak terhadap harta tersebut, mengetahui bilangan mereka, kadar keperluan mereka dan kadar hak mereka”

 (al-Majmu’, kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/188).

3. Golongan yang berhak menerima zakat

Allah telah menghadkan orang-orang yang berhak menerima harta zakat kepada lapan golongan;

1. Untuk golongan fakir
2. Untuk golongan miskin
3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4. Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan.

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

(at-Taubah: 60)

4. Oleh kerana orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah, tidak boleh sewenang-wenangnya kita harta zakat digunakan kecuali kepada kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Para ulamak menegaskan; Jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi.

(al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514).

Kerana itu, amat penting diperhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita?

5. Pengertian Sabilillah

Jumhur ulamak terdahulu (termasuk ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie) mengkhususkan Fi Sabilillah hanya kepada tentera-tentera Islam yang berperang di jalan Allah. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam as-Syirazi dalam al-Muhazzab;

“Bahagian Fi Sabilillah diberikan kepada tentera-tentera yang berperang secara bersunguh-sungguh jika mereka tidak diberi gaji. Adapun tentera-tentera yang dibayar gaji oleh pemerintah, maka mereka tidak diberikan zakat kerana rezki dan keperluan mereka ditanggung oleh harta Negara (al-Fai’)”

(al-Muhazzab, Kitab az-Zakah).

6. Berkata Imam Nawawi ketika mensyarahkannya;

“Mengikut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie), habuan fi Sabilillah yang disebut dalam ayat ialah dibelanjakan kepada tentera-tentera yang tidak diperuntukkan bagi mereka harta dari jabatan kerajaan di mana mereka berperang secara sukarela. Perdapat yang sama diutarakan oleh Abu Hanifah dan Malik”

(al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

7. Namun terdapat para ulamak yang memperluaskan pengertian Fi Sabilillah ini kepada semua aktiviti dan usaha untuk kemaslahan Islam dan umat Islam. Di antara mereka, Imam al-Kasani yang menyebutkan dalam kitabnya yang terkenal (بدائع الصنائع):

Adapun firman Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه): ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”.

8. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه) itu adalah umum”.

(Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).

9. Apa yang jelas dari kalimah yang digunakan Allah “Fi Sabilillah”, penggunaan harta zakat bagi tujuan ini hendaklah yang ada kaitan dengan agama dan ummah, bukan semata-mata kepentingan bersifat individu. Ini sebagaimana disentuh oleh Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”. 

(Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692).

10. Ditegaskan juga oleh Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad (salah seorang ulamak al-Azhar, Mesir) dalam buku Fiqh Zakatnya; “Maksud kalimah Sabilillah ialah maslahah-maslahah umum yang melata manfaatnya kepada sekelian kaum muslimin, bukan yang khusus kepada individu tertentu sahaja”

(Fiqh az-Zakah Fi al-Mal wa al-Badan, halaman 139)


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penyelewengan Wang Zakat. Siri 2

Penyelewengan Wang Zakat. Siri 2

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat kes guaman adalah dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam merupakan suatu kenyataan yang amat pelik dan mengelirukan.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, DPPM merasa kesal kerana Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Katanya, DPPM mempersoalkan, bagaimana Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

Ini, ujarnya kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil.

“Adakah usaha mempertahankan kes Anwar daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’?

“Bukankah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil?” soalnya.

Selain itu, kata beliau sekiranya benar duit zakat yang digunakan oleh Datuk Seri Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik.

Soalnya lagi, mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat.

Beliau berkata, pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.

“Adakah dengan kenyataan Datuk Che Mat menunjukkan MAIWP mengakui bahawa kos pendahuluan untuk kes guaman tersebut menggunakan duit zakat?” katanya.

Jika begitu, kata beliau mengapa daripada awal MAIWP dan Jamil Khir menafikan penggunaan duit zakat sebaliknya menjelaskan ia diambil dari peruntukan kerajaan.

Jika Che Mat mengakui demikian, ujar beliau ia bermakna MAIWP dan Jamil Khir telah berbohong kepada rakyat sehingga akhirnya terpaksa mengakui malah membenarkan penggunaan duit zakat atas alasan untuk ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Sudahlah berbohong, menghalalkan penggunaan duit tersebut pula demi mendaulatkan Islam, seolah-olah bagi Datuk Che Ali, duit itu adalah halal untuk kegunaan kos guaman Datuk Seri Jamil Khir dan beberapa orang yang lain,” ujarnya.

DPPM, ujarnya musykil adakah dengan kenyataan itu ia bermaksud mereka yang mempunyai kes mahkamah dengan isu yang sama seperti Jamil Khir berhak mendapat zakat sebagaimana keistimewaan yang diterima oleh beliau.

Jika demikian, tambah beliau DPPM akan mewar-warkan kepada umat Islam yang mempunyai kes mahkamah atas isu yang berkaitan boleh memohon zakat kerana alasan ‘ingin mempertahankan kedaulatan Islam’.

“Mungkinkah umat Islam boleh mendapat hak dan layanan yang sama seperti yang dinikmati oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri?” tanya beliau.

Thursday, January 12, 2012

Bahana Sebuah Kegembiraan dipagi 901

Bahana Sebuah Kegembiraan dipagi 901

1. Riuh rendah seluruh negara dengan satu paparan klip video aksi muslimat PAS di himpunan 901 baru - baru ini. Melalui facebook saya juga bertalu - talu diasak pertanyaan dan kritikan yang tidak saya ulas sehinggalah keluarnya artikel ini. Saya ambil sikap tidak mengulasnya kerana menyedari bahawa ini tidak lebih dari game yang digerakkan oleh musuh politik. Lagi pun, saya belum mendapat sebarang penjelasan rasmi dari kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat .

2. Kelmarin saya hubungi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Yb. Ustazah Zailah yang lebih selesa saya berbahasa dengan panggilan Kak Lah untuk mendapatkan penjelasan rasmi. Peringkat awal saya gagal menghubunginya kerana beliau difahamkan sedang sibuk mengurus pengebumian jenazah di kawasan beliau. Saya foward satu sms berbentuk kritikan yang saya terima dari seorang pengirim kepada Kak Lah, dimana saya rasakan wajar untuk difoward bagi mendapat penjelasan segera. Beberapa ketika selepas itu, Kak Lah menghubungi saya dan memberikan penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku pada hari tersebut.

3. Terus terang saya nyatakan disini, rasa lega dan puas hati dengan penjelasan yang diberi walaupun peringkat awal saya juga agak risau dengan isu yang sedang hangat perbahasannya di alam cyber itu. Apa pun segalanya menjadi iktibar kepada semua termasuk diri saya sendiri yang juga diamanahkan sebagai pemimpin, mengemudi sebuah sayap penting bagi gerakan Islam ini agar melangkah dengan lebih berhati - hati.

4. Saya pernah berpuluh kali menyertai siri demonstrasi rakyat dalam pelbagai isu di Timur Tengah dan Eropah [ Syria, Jordan, Mesir dan Turki ] sepanjang 10 tahun saya berkelana di bumi Anbiya'. Situasi yang saya lihat [aksi muslimat melalui klip video] yang berlaku di himpunan 901 baru - baru ini bukanlah asing kepada saya, kerana suasana dan aksi muslimah yang lebih "girang" pernah saya saksikan dalam himpunan rakyat di Timur Tengah.

5. Secara peribadi saya sendiri tidak selesa dan setuju ianya berlaku dan dilakukan dalam masyarakat kita di Malaysia justeru perbedaan budaya dan sosial yang sangat ketara berbanding negara - negara di Timur Tengah. Namun apa yang berlaku baru - baru ini tidaklah wajar dicemuh dan dinista. Kerana jelas perlakuan itu adalah respon spontan dari sebuah kegembiraan yang tidak terkata apabila pemimpin mereka yang difitnah dan ditohmah sekian lama, pula dihadap kemahkamah berdepan dengan hukuman yang berat dan perit, tiba - tiba didapati tidak bersalah oleh pihak mahkamah dan dibebaskan tanpa syarat.

6. Sungguhpun terdapat perkataan yang tidak wajar dan tidak manis dihamburkan sebagai seorang muslimah, namun berbanding fitnah keji yang dilemparkan sejak sekian lama kepada pemimpin Pakatan Rakyat itu, maka perkataan yang dihamburkan pada himpunan 901 baru - baru ini sangatlah jauh lebih manis berbanding kata nista yang diterima.

7. Perkataan yang dilafazkan itu belum pun setimpal dengan cacian dan kejian yang diterima berasaskan fitnah selama ini. Pun begitu, bukanlah bermakna saya setuju perkataan begitu digunakan oleh seorang muslimah dan mujahidah kerana kita masih ada pilihan perkataan yang lebih baik untuk dilafazkan biarpun kepada lawan politik kita.

8. Itulah bahana sebuah kegembiraan. Saya teringat satu kisah mengenai sebuah kegembiraan dari hadis Nabi saw :

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hambaNya iaitu salah seorang daripada kamu bertaubat kepadaNya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanMu.

Riwayat Imam Muslim

[ Perkataan lelaki itu tentu sahaja amat berat apabila mengatakan Ya Allah ! Engkau hambaku dan aku adalah tuhanmu. ... apa lagi perkataan yang lebih berat dari memperhambakan tuhan ? ... tetapi ia dilafazkan tanpa sedar kerana ia dalam keadaan terlalu gembira.]

9. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menjelaskan kepada saya bahawa mereka pada peringkat awalnya [ sebelum menerima berita pembebasan yang mengembirakan itu ] telah terlebih dahulu membaca Yasin, al Mathurat dan munajat kepada Allah swt. Apa yang dirakam melalui klip video tersebut adalah reaksi spontan dan gembira dengan berita yang mereka terima selepas itu. Jika ia adalah aksi yang menyinggung perasaan umum, kami memohon maaf kepada semua katanya. Lagipun ia bukanlah satu aksi liar bercampur aduk lelaki dan perempuan bagai yang disangka, sebaliknya kedudukan mereka berasingan dalam kelompok mereka sendiri [muslimah]

10. Saya lihat ianya bukanlah suatu yang sukar, melainkan hanya suatu keadaan yang boleh diperbaiki untuk menampakkan keindahan akhlak muslimah dan saya berpandangan bahawa ianya tidak boleh berulang lagi. Dalam masa yang sama, masyarakat umum tidak perlu terpengaruh dengan agenda memburukkan peribadi muslimat PAS melalui pengeksploitasian klip video tersebut dan membuat penafsiran melampau berbanding situasi sebenar yang berlaku.

11. Saya menyebut demikian, bukan kerana mahu membela apa yang salah dan mempertahankan apa yang silap. Telah saya tegaskan bahawa apa yang berlaku adalah suatu yang boleh diperbaiki dan tidak wajar berulang lagi. Namun ia bukanlah satu kesalahan yang disengajakan malah tidak pula kesalahan yang merosakkan hak orang lain seperti jenayah menggelapkan harta negara serta menyalahguna wang zakat. Sebaliknya, Ia hanyalah perbahasan akhlak yang perlu dimurnikan bagi menampilkan sosok muslimah yang lebih baik, wara' dan solehah.

Selamat Berjuang.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Isu Penyelewengan Wang Zakat. Siri 1

Yb. Datuk Jamil Khir Baharom
Mesti Meletakkan Jawatan


1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa. Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.

2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan.

[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :

a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari.

b] Datuk Che Mat Che Ali Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.]

3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.

b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Monday, January 9, 2012

Anwar Bebas 901

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt atas pembebasan DSAI, keputusan yang disambut gembira oleh semua rakyat yang cintakan keadilan. Tahniah buat beliau sekeluarga dari saya dan seluruh warga DPPM. Semoga beliau dan keluarga bebas sepenuhnya dari fitnah dan tohmahan jahat politik fitnah yang menguasai kepimpinan dan siri kempen UMNO dan BN. 

2. Semoga momentum ini membawa Pakatan Rakyat ke gerbang Putrajaya. Bebasnya Anwar insyaallah membuatkan beliau lebih selesa dan berkesan memimpin Pakatan Rakyat mencapai objektif perjuangannya.

3. UMNO dan BN jelas bersalah kerana terlebih dahulu menghukum DSAI dan mengaibkan beliau pada tahap tidak siapa yang beriman mampu menerimanya. UMNO dan BN mesti ambil tanggungjawab ini. YAB Datuk Seri Najib mesti meletakkan jawatan bagi mengembalikan maruah UMNO dan BN.

4. Saya jua mendesak agar dakwaan Qazaf ke atas Saiful Bukhari yang telah difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di proceed. Sebelum ini dakwaan qazaf tidak diproceed atas alasan mahu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi. Kini keputusan telah ada. Mahkamah Syariah mesti memelihara integiritinya dengan proceed dakwaan qazaf yang telah difailkan.

5. Syukur Alahmdulillah. Rakyat semua bersyukur. Kini masa untuk memuktamadkan perubahan dengan menukar kerajaan UMNO dan BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat dengan objektif memulihkan segala sistem dan nilai yang pincang.

Selamat berjuang !

Nasrudin bin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Sunday, January 8, 2012

Yb. Dato' Dr. Hassan Ali digugurkan keahliannya


1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendokong keputusan yang dibuat secara musyawarah oleh PAS Pusat sebentar tadi bahawa Yb. Dato' Dr. Hassan Ali dibuang keahliannya berkuat kuasa serta merta dan menurut peruntukan perlembagaan parti, beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama' selepas ini. Semoga Allah memberkati keputusan yang dibuat secara syura ini.

2. Kepada Dato' Dr. Hassan Ali, jika anda benar - benar ikhlas dengan perjuangan Islam, anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini sebagaimana pernah berlaku kepada Dato' Abu Bakar Hamzah yg pernah dipecat kerana membuat kenyataan yg bercanggah dgn keputusan parti, tetapi beliau tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula kepangkuan PAS di penghujung karier dan usianya.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Fitnah Terhadap Daei Sejuta Ummah

Fitnah Terhadap Daei Sejuta Ummah.

1.Tika belayar di Teluk Cyber, saya menemui terlalu banyak karang fitnah dalam 1001 wajah. Rupanya Teluk Cyber ini tidak kurang juga bahaya berbanding di maya pada. Terbaru karang fitnah yang terbentuk ialah fitnah ke atas Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Tanpa sebarang bukti, jauh sekali menepati dari garis adab berkhilaf dan mengkritik, Al Fadhil Ustaz Azhar dibelasah secukupnya.

2. Sebahagiannya fitnah itu digerakkan oleh mereka yang berilmu jika dinilai secara zahir cara karang fitnah itu terbentuk ditengah - tengah pusaran Teluk Cyber ini.

3. Lebih menarik apabila apabila karang fitnah ini terbentuk setelah terbentuknya satu gelombang besar dalam negara kita. Gelombang yang membentuk fenomena Azhar Idrus. Khasnya anak - anak muda, kini masyarakat mula menggilai kuliah dan majlis ilmu melewati fenomena ini. Arus yang dibawa menenggelamkan populariti semua ustaz selebriti dan lainnya.

4. Apakah mereka turut dilanda mazmumah ? hasad dan dengki dengan populariti yang diraih oleh Al Fahdil Ustaz Azhar Idrus ? lalu mencipta karang fitnah ? Sewaktu dunia belum dilanda arus dan gelombang Ustaz Azhar Idrus, karang fitnah ini tidak pernah wujud.

5. Sebagai manusia, saya sendiri tidak boleh menafikan bahawa kita terdedah kepada pelbagai kelemahan dan kesilapan, ustaz Azhar juga tidak terkecuali. Namun ia boleh dibaiki dan diperbetulkan, bukan dengan membunuh karektor dan menimbulkan fitnah.

6. Al Fadhil Ustaz Azhar adalah Ikon Anak Muda yang diaugerahkan tokoh tersebut oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia sempena Muktamar DPPM tempohari. Sungguhpun penganugerahan tokoh itu tidak membawa gelaran Dato' atau Tan Sri kepada Ustaz Azhar, namun Ustaz Azhar terus hebat dengan karektornya yang tersendiri sebagai seorang Daei Sejuta Ummah.

7. Memfitnahnya bukan satu langkah yang bijak dan baik, malah tidak sedikitpun menjejaskan reputasinya sebagai seorang pendakwah luar biasa yang diminati ramai. Terbaru gelombang tercetus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sempena count down tahun baru. Anggaran hadhirin mencecah 70 - 75 ribu orang dan kebanyakkannya terdiri dari anak - anak muda, malah menenggelamkan juga aktiviti di Dataran I City pada malam tersebut.

8. Ustaz Azhar kini menjadi aset bernilai kepada masyarakat dengan pendekatan dakwahnya yang mampu menarik puluhan ribu hadhirin dalam satu masa. Layaknya potensi ini dimanafaatkan oleh masyarakat untuk mengembalikan semula era kegemilangan menuntut ilmu setelah seketika dulu dalam era 80an, gelombang serupa dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang berpangkalan di Masjid Rusila dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Zulkifli Kota Bharu.

9. Perbuatan menabur fitnah dan menyerang peribadi Ustaz Azha adalah perbuatan yang tidak baik dan saya menasihati semua pelayar di Teluk Cyber ini agar berhati - hati dan tidak terlanggar karang fitnah tersebut.

10. Kepada Al Fadhil Ustaz Azhar, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan tahniah buat beliau dan usahlah patah semangat dan ambil pusing terhadap fitnah murahan yang dilemparkan oleh golongan penghasad ini. Kami doakan agar beliau terus thabat dan sabar meneruskan kerja - kerja dakwah khasnya dalam mendekati anak muda agar mereka kembali bersama perjuangan Islam.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Thursday, January 5, 2012

Himpunan Aman 901

Himpunan Aman 901

Jika saya turun Himpunan 901 kelak, saya bukan turun untuk Anwar dan kerana Anwar. Tetapi kerana saya mahu membawa mesej kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa rakyat menolak cara pemerintahan dan pentadbiran yang merosakan maruah orang sebelum ia dibuktikan bersalah. Menghukumnya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya. Ini adalah satu kezaliman dan penginayaan. Tidak baik membiarkan pemerintahan begini mengurus negara dan rakyatnya. Kebetulan hari ini insan yang menjadi mangsa hukuman sebelum hukuman mahkamah ini ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika mangsa itu adalah Datuk Seri Najib Abd Razak sekalipun, kita wajib menentang kezaliman dan penginayaan yang dilakukan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sunday, January 1, 2012

Tahun Baru 2012 Tercemar

Tahun Baru 2012 Tercemar

1. Tahun Baru 2012 dikotori oleh keganasan dan kezaliman melampau apabila sekumpulan mahasiswa yang dipercayai kena belasah oleh Polis.  Safwan Anang Talib Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS , Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi atau BEBAS AUKU cedera parah dan kini [ saat artikel ini ditulis ] masih mendapat rawatan kecemasan di wad kecemasan Hospital Slim River Perak.

2. Sementara 17 orang mahasiswa yang lain masih ditahan dalam Lokap di IPD Tanjung Malim dan seorang yang lain  cedera dan pecah di bahagian kepala.

3. Saya beri masa kepada pihak kerajaan dan juga  PDRM sehingga jam 12 tengahari ini [ 5 jam dari sekarang ] agar semua tahanan itu dibebaskan. Mereka juga mesti mengambil tanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mahasiswa khasnya Timbalan Presiden GAMIS yang masih dirawat dalam wad kecemasan di Hospital Slim River.

4. Sungguh zalim dan kejam tindakan mereka ke atas anak - anak muda yang hanya berhimpun untuk menyuarakan isi hati mereka di UPSI lewat malam tadi. Apakah mereka sedang menguji kebangkitan anak muda ? apakah mereka mahu menguji kesabaran anak muda ?

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah dan mengutuk sekerasnya tindakan kejam ini. Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia. Mulakan detik ini untuk bermunajat kepada Allah swt agar saudara Safwan kembali pulih dan 17 mangsa tahanan di bebaskan menjelang jam 12 tengahari ini. [ 5 jam dari sekarang ] Jika  tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Melabuh Tirai 2011

Melabuh Tirai Tahun 2011

1.  Ini adalah bingkisan fikrah saya yang terakhir untuk tahun 2011. Album atau koleksi artikel dan hasil pena saya, telah saya abadikan buat semua pembaca di www.eperjuangan.com dan juga di dalam laman sosial saya ini.

2. Saya aktif menulis sejak tahun 1989 dengan menghasilkan maqalah - maqalah kecil untuk teks usrah kami sewaktu saya menuntut di Maahad Fathul Islami Damascus Syria. Minat berkarya terus diasuh apabila saya memanjat menara gading di University Al Azhar Mesir pada tahun 1992.

3. Sebelumnya, saya seperti penulis jalanan, hanya berkarya di atas kertas usang buat tatapan diri sendiri. Sesekali berkongsi dengan rakan terdekat mencari kepuasan hasil karya, bertemankan mesin taip Olivetti, memecah kesunyian malam di pondok kecil nun di perkampungan Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh Kelantan.

4. Tahun 2003, saya berkelana ke bumi Doreamon Hokkaido, melepaskan pandangan menyorot saujana luas bumi Allah swt. Kala itu, saya mengasah ilmu dibidang IT bergurukan adik - adik mahasiswa/i Hokkaido. Detik itulah jua lahirnya episode perjuangan.blogspot.com sebelum beralih alamat sekarang di www.eperjuangan.com

5. Sejauh tempat lahirnya laman web saya, begitulah jauhnya cita - cita saya mahu melihat pencapaian [prestasi] saya dalam karya pena menyentuh pelbagai aspek dan cabang ilmu, termasuklah Feqh Muasirah [ isu semasa ], Feqh Haraki, Feqh Siasi [ politik ], Feqh Iktisad [ekonomi] dan tazkirah am serta khutbah [ jumaat dan hari raya ]

6. Saya bukanlah profesional dalam bidang penulisan. Hanya minat yang mendalam menjadi dorongan kuat untuk saya nekad menghasilkan sekurang - kurangnya secara purata dalam keseluruhan hidup saya selepas 2003 dengan skala satu artikel dalam masa tiga hari.

7. Bukan sahaja saya tidak profesional dalam bidang penulisan tetapi juga tidak tinggi pengajian akademi saya. Saya hanya menuntut setakat tingkat 3. Selepas tamat menduduki SRP, saya berhijrah ke Madrasah al Muhammadiah Sungai Durian Kuala Krai Sebelum saya berpindah Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh.

8. Saya mengambil SPM sebagai persendirian pada tahun 2008 ketika saya telah berusia 38 tahun dengan 8 subjek. Saya hanya mampu meraih keputusan 4A 2B dan 1C. Satu subjek saya gagal iaitu Matematik Tambahan. Waktu itu saya sedang memikul amanah sebagai Timbalan Ketua DPP Pusat.

9. Saya terpaksa membaca sebanyak mungkin buku untuk mengasah minda dan apa yang paling penting ialah mempertingkatkan mutu bahasa yang saya akan praktiskannya dalam dua platform berbeza iaitu penulisan dan pidato [ceramah]. Menyedari tahap akademi saya yang rendah tentunya tahap penggunaan bahasa saya juga sangat lemah. Saya menggagah diri sehingga terpaksa menghafal glosary dan menjadikan kamus bahasa sebagai teman musafir.

10. Sempena tahun baru 2012, seperti orang lain yang menanam azam dan tekad maka saya juga berjanji pada diri yang kerdil ini untuk terus berjaya dalam bidang penulisan dan pidato gaya bebas. Saya sangat cemburu melihat kejayaan sahabat saya Ust Riduan Mohd Noor yang mampu menghasil karya penanya lebih pantas dari keupayaan pembaca.

11. Tahun baru 2012 juga akan menjadi tahun permulaan pengajian saya di peringkat MA sebelum saya mahu menunaikan cita - cita peribadi saya untuk melangkah ke gerbang pengajian peringkat Phd selewat - lewatnya pada tahun 2015 insyaallah. Semoga sahabat handai mendoakan kejayaan saya bertatih di medan ilmu setelah jauh ditinggalkan oleh sahabat sebaya dan seangkatan.

12. Tahun baru 2012 ini juga saya berazam mahu menghasilkan sebuah novel Islami [ tajuk dirahsiakan hu hu .. ] dengan date linenya akan jatuh pada hari persaraan saya bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia setelah saya menyertai Dewan Pemuda ini sejak saya berusia 15 tahun lagi [1985]. insyaallah.

13. Tahun baru 2012 ini juga akan saya cuba sedaya upaya untuk Dewan Pemuda PAS Malaysia yang saya pimpin ini mampu melahirkan kader - kader yang memiliki kesedaran Islam yang tinggi berteraskan Amal Islami [ Amal Jamaei, Ijtimaei dan Fardi ] yang menepati piawaian sebagai pejuang Islam dengan jumlah sekurang - kurangnya 100 orang pemuda di setiap negeri. insyaallah.

14. Tahun baru 2012 ini menjadi tahun pilihanraya umum. Saya menanam tekad untuk bekerja bersungguh - sungguh bagi memenangkan perjuangan ini berasaskan dasar dan prinsip perjuangan Islam yang diwarisi dari Baginda Rasul saw tanpa saya peduli lagi kata nista dan caci sinis dari pelbagai pihak luar dan dalam. Segalanya menjadi motivasi buat perjuangan yang saya dokong.

15. Tahun baru 2012 ini, insyaallah akan menyaksikan DPP Malaysia menghasilkan produk dakwahnya menerusi Filem Box Office [ Filem Panjang tuuu ] setelah saya tutup 2011 dengan Filem pendek berjudul Oley. [ juga bertaraf Box Office dalam You Tube hi hi ... ]  Nantikan kehadhirannya dengan doa kalian yang tidak putus agar saya dan rakan - rakan pimpinan DPP Malaysia mampu melakukannya sebagai dimensi baru dalam dunia dakwah tanahair kita.

Akhirnya, saya juga mengharapkan semua anak - anak muda yang terdiri dari kalangan mahasiswa, graduan universiti, profesional, pekerja muda dipelbagai sektor kerajaan mahupun swasta, sehinggalah kepada semua lapisan anak muda di mana jua mereka berada, di kampus atau di rumah, di bandar atau di kampung, di desa atau di felda agar pastikan :

a] anda berbakti kepada agama dengan memastikan hidup anda berlandaskan syariat  dan bekerja membantu gerak dakwah di pelbagai lapangan termasuk politik dan sosial.

b ]  anda selaku anak muda, bentuk gelombang kebangkitan dan mara bersama kami untuk selamatkan negara dan masyarakat dari korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan harta negara dan keruntuhan nilai budaya yang kian parah.

c] anda jangan mengalah dan patah semangat biarpun berdepan dengan 1001 tribulasi dalam usaha membawa idealisme perjuangan asal anda yakin dan berdiri di atas prinsip perjuangan yang benar.

Salam perjuangan dari saya dan seluruh warga DPP Malaysia buat anda semua. Tahun 2012 adalah " Tahun Menuai Kemenangan" insyaallah setelah segala upaya dan segenap daya dikerah serta diperah buat membajak, menanam dan membaja usaha ke arah kemenangan Islam di tanahair tercinta.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sambut Tahun Baru Tanpa Maksiat

Sambut Tahun Baru Tanpa Maksiat

1. Alhamdulillah, Syukur saya kepada Allah swt. apabila sambutan tahun baru kali ini tidak lagi didominasi oleh aktiviti maksiat dan mungkar seperti pesta mandi buih, larian tanpa pakaian, malam tanpa seluar dalam, pesta sepanas api neraka dan macam - macam lagi nama program karut yang menggerunkan insan beriman mendengarnya.

2. Wallahualam, jika saya terlepas pandang atau tidak mengetahui bahawa masih berleluasa pesta - pesta maksiat melampau sedemikian, namun sekurang - kurangnya tahun ini sambutan tahun baru telah dimeriahkan program alternatif yang tetap menawarkan keseronokan dan hiburan yang terbatas dan terkawal tanpa sebarang maksiat dan mungkar.

3. Kini masyarakat mempunyai pilihan. Khasnya anak - anak muda yang tidak lagi dikepong oleh aktiviti hedonisme sebaliknya dihadapan mereka terbentang pilihan alternatif yang mampu membebaskan mereka dari pengaruh maksiat dan mungkar.

4. Antara contoh program alternatif yang saya maksudkan, untuk sekitar Lembah Kelang sahaja ada 6 program yang cukup menarik dan meriah.

a] Konsert Hibur Didik (di Dataran Greenwood, depan Shell, Gombak)
Majlis ini bermula malam ini [31 Disember]
Menariknya program ini turut disertai EXCO DPP Malaysia membuat persembahan bersama bekas kumpulan - kumpulan rock yang mula mendekati dakwah Islam.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150434675321123&set=a.139739791122.124204.670736122&type=1&ref=nf)

b] XPDC Dakwah oleh GAMIS, (di Masjid Jamek Bandaraya KL)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- best sebab ada bedah buku dan boleh belajar tentang dakwah secara praktikal di Dataran Merdeka.

(https://www.facebook.com/events/236589383076588/)

b] Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati (Masjid Negara / Dewan Jawi)
- Mula tengahari 31 Disember hingga tengahari 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Shoutul Harakah dan larian 1000 pemuda.

(https://www.facebook.com/events/208410885904653/)

c] Soal Jawab Agama USTAZ AZHAR IDRUS (Dataran Kemerdekaan Shah Alam)
- Mula malam ini [31 Disember]
- Best sebab ada Ust Azhar Idrus berganding dengan Zizan Raja Lawak.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10150423649556612&set=a.466868491611.253845.247020686611&type=1&ref=nf)

d] Malam Apresiasi Ikim.Fm, (di Masjid Wilayah Persekutuan KL)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada Prof Muhaya dan ramai artis nasyid yg hadir.

(http://www.ikimfm.my/ikimfm/index.php?option=com_content&view=article&id=171%3Amalam-apresiasi-ikimfm-2011&catid=61%3Aberita-terkini)

e] Program Indahnya Islam, (di Masjid As-Syakirin KLCC)
- Mula pagi 31 Disember hingga pagi 1 Jan 2012.
- Best sebab ada byk bedah buku menarik terutama buku Abdul Latip dan forum oleh Fatimah Syarha.

(https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2683729527154&set=a.1223249936077.2034960.1073841570&type=1&theater)

5. Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri bahkan DPP Kawasan juga turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk sambutan tahun baru. Sebagai contoh DPP Kawasan Indera Mahkota akan menganjurkan XPDC ke Cherating atau ke kawasan yang dikenali "Kampung Yahudi". Begitu juga DPP Kawasan Pandan turut menganjurkan mini konsert. Pastinya Motto kita ialah " HIBURAN TANPA MAKSIAT"

6. Akhirnya saya ucapkan tahniah kepada ngo - ngo Islam yang kian aktif dan berani menganjurkan program alternatif kepada masyarakat kita khasnya muda - mudi agar mereka tidak hanyut dan terjebak dalam kancah maksiat dan mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt. khasnya sempena sambutan tahun baru . Mudah - mudahan perkara ini akan terus berkembang dan menjadi fenomena di saban tahun.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

* Siapa2 ada info lain, mungkin boleh berkongsi. Tahun ini antara tahun baru yg sgt byk program berilmu buat kita semua. Kita halang program melalaikan, kita ganti dengan hiburan mendidik jiwa. Mereka yang ada berdekatan, jangan lepaskan peluang. Memang semua sangat - sangat best!

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive