HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, January 28, 2010

DPPP Bidas Kelembapan Kerajaan

1. Negara amnya dan ummat Islam khasnya sekali lagi berada dalam keadaan resah dan tidak selesa dengan perkembangan terkini berkait isu kepala babi yang diletakkan di perkarangan 2 buah masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

2. Sebelumnya negara kita cemas dengan insiden pembakaran gereja dan surau ekoran polemik penggunaan kalimah Allah menjadi isu panas dalam negara .

3. Pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasi keadaan dengan melancarkan tindakan provokatif yang mencetus ancaman terhadap tahap keselamatan rakyat dan negara .

4. Keadaan ini perlu diredakan segera . Keamanan negara mesti dipelihara . Semua pihak bertanggungjawab dengan pantas menghentikan segala tindakan dan kenyataan yang bersifat provokatif .

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia komited dengan tindakan yang positif ke arah menyelesaikan konflik yang tercetus . Tanpa kawalan cepat , berkesan dan bijak keadaan mungkin berjaya dimanipulasi oleh pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru hara dalam negara kita .

6. Kerajaan sebagai pihak bertanggungjawab memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama janganlah lembab dan lambat bertindak seperti mahu membiarkan keadaan semakin parah . Satu demi satu kejadian yang menimpa negara pada hari ini tidak boleh dibiarkan berlarutan . Kerajaan mesti mengambil tindakan tegas dan serius agar negara kembali berada dalam keadaan tenteram dan rakyat yang berbilang kaum dan agama dalam negara ini kembali rasa selamat .

7. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak percaya kerajaan tidak mampu bertindak segera . Selain mengambil tindakan untuk menyiasat , kerajaan juga mesti dilihat telus dan tidak teragak - agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencetuskan provokasi dan mengancam keselamatan negara . Keselamatan negara dan rakyat mesti diutamakan mengatasi kepentingan peribadi dan parti .

8. Sementara itu , Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan agar seluruh rakyat bertenang dan tidak cepat terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang sengaja mahu menimbulkan hura hara dalam negara dan sekaligus mengambil manfaat dari kekalutan yang timbul . Awasi diri dari perangkap politik kebencian dan balas dendam juga politik opurtunis . Golongan ini hanya mahu mencari kepuasan diri dan hanya menjaga kepentingan mereka . Mereka abaikan kepentingan negara dan maslahah ummah .

9. Semua pihak , khasnya ummat Islam sangat dialu - alukan agar bersatu dalam menangani konflik ini dengan cermat , bijak dan berjiwa besar dengan mengenepikan kepentingan politik kepartian sebaliknya meletakkan masa depan negara yang harmoni dan sejahtera . Seterusnya menumpukan usaha untuk membasmi korupsi , penyalahgunaan kuasa serta penindasan dalam apa jua sektor samaada politik , ekonomi mahupun sosial .

10. Saya juga sangat berharap agar Islam dijadikan asas untuk ummat bersatu dan dahan kukuh tempat berpaut . Hindari semangat perkauman yang sempit dan jauhi sebarang provokasi yang licik dari pihak yang tidak bertanggungjawab .

Monday, January 25, 2010

Sunday, January 24, 2010

2 Jam Setengah bersama Pemuda - vol 2

2 Jam 1/2 bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus

1. Beberapa hari yang lalu [ 20 hb Jan 2010 ] , saya berkesempatan menjayakan Liqa'ul Haraki bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus . Lebih menarik apabila saya sempat beramah mesra dengan beberapa pimpinan mereka khasnya Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus al Fadhil Ustaz Riduan Hashim .

2. Kebetulannya kami pernah sama - sama mengharungi suka duka sewaktu menuntut ilmu di Perlembahan Nil seketika dulu . Pertemuan kali ini mengeratkan lagi tautan ukhuwwah dikalangan kami termasuklah rakan - rakan anggota Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus .

3. Pertemuan 2 jam setengah itu sememangnya tidak memadai untuk kita menceritakan segalanya . Namun ia cukup bermakna bagi menyambung silah perjuangan dan saling bersetia untuk terus berjuang bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini .

4. Pertemuan kali ini seperti biasa selain motivasi perjuangan , saya kembali menegaskan agar setiap anggota pemuda kembali mencari sentuhan kemenangan dengan memiliki semua pra syarat kemenangan terlebih dahulu .

a ] Aqidah perjuangan yang mantap
b ] Fikrah Islam yang syumul
c ] Manhaj Perjuangan yang tulen
d ] Syakhsiah Mujahid yang soleh
e ] Iltizam dengan Amal Islami [ Amal Jamaei , Amal Ijtimaei dan Amal Fardi ]
f ] Wala' [ setia , jujur dan tidak bermain kayu tiga dengan jamaah ]
g ] Pengorbanan yang maksimum untuk Islam
h ] Munajat dan tawakkal kepada Allah swt . [ Taqarrub Ilallah ]
i ] Sedia berjuang tanpa bermain alasan
j ] Dengar dan taat peraturan jamaah dan arahan pimpinan selama ianya tidak bercanggah dengan prinsip syara'

5. Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada gerakkerja memburu kemenangan buat perjuangan Islam ini di bumi Terengganu asal sahaja mereka tidak mensia - siakan segala kekuatan dan keupayaan yang mereka miliki serta memanafaat semua tenaga yang ada . Tahniah saya ucapkan kepada DPP Kuala Nerus dan selamat berjuang semoga Allah mengurniakan kemenangan Islam buat kita semua .

Friday, January 22, 2010

Awasi Anasir Munafiqin

1. Golongan munafiqin adalah musuh Islam dan musuh kepada orang - orang yang beriman . Malah ia juga musuh kepada Gerakan Islam dan ia dikenali sebagai musuh dalam selimut .

2. Ia menjadi musuh kerana sifatnya menjadi gunting dalam lipatan , api dalam sekam , duri dalam daging , talam dua muka , gergaji dua mata dan lidah bercabang dua . Sikapnya penuh kepura - puraan . Ia juga tergolong dari golongan opurtunis yang licik mengambil kesempatan untuk menikam dari arah belakang dan mencetus propaganda dari dalam .

3. Golongan ini menjadi ancaman kepada Gerakan Islam di sepanjang zaman . Nabi saw. pernah bersabda :"

إن أخوف ما أخاف على أمتي كل مناقق عليم اللسان

Sesungguhnya suatu yang paling ditakuti terhadap apa yang aku takut menimpa ummatku ialah semua munafiqin yang petah lidahnya .

Munafiqin petah menatah bicara dan mengemukakan alasan guna mewajarkan apa jua tindakan mereka . Sesekali mereka menampilkan diri melalui perwatakan yang meyakinkan bahawa mereka adalah pejuang yang tulen dan berhak dihormati serta disanjungi . Sedang segalanya adalah palsu dan hipokrit .

Firman Allah swt :

إن المنافقين يخادعون الله وهو خادعهم و إذا قاموا إلى الصلاة قاموا كسالى يراءون الناس و لا يذكرون الله إلا قليلا

Sesungguhnya golongan munafiqin , mereka mahu menipu Allah swt sedang Allah yang memperdayakan mereka dan apabila mereka mendirikan solat , mereka dirikan dalam keadaan malas , mereka menunjuk - nunjuk dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit .

4. Memang sukar untuk mengenali identiti golongan munafiq terutama mereka yang telah duduk sebaris dalam satu saff . Hanya Allah swt yang mengetahui siapakah mereka di tengah - tengah kelompok para pejuang di sebalik kibaran panji perjuangan . Secara zahir , tidak siapa yang dapat membezakannya . Bahasa harakinya sama seperti kita , mereka turut memakai uniform seorang pejuang . Bahkan mereka jua mampu membaca kitab perjuangan kita . Tiada perbedaan antara kita dengan mereka tetapi juga tiada persamaan . Hanya Allah swt jua Tuhan yang Maha Mengetahui di manakah perkara yang tidak sama antara pejuang Ansoorullah dengan petualang Munafiqin .

5. Secara asasnya , Al Quran dan sunnah telah manggariskan ciri - ciri atau kriteria untuk mengenali golongan munafiq ini . Antaranya :
Italic
a ] Berpaling dari melaksanakan hukum Allah [ an Nisa' : 60 - 61 ]
b ] Jahat adabnya terhadap Allah dan Rasul saw [ al Munafiqun : 5 / at Taubah : 61 ]
c ] Wala' [ kesetiaan ] mereka kepada musuh Allah swt [ al Hasyar : 11 ] d ] Negatif terhadap jihad [ Aali Imran : 167 ]
e ] Melakukan Mungkar dan menghalang perkara makruf [ at Taubah 67 ]
f ] Matlamat mereka ialah kepentingan mereka bukan redha Allah swt. [ al Hajj 11 ]
g ] Buruk akhlaknya terhadap anggota Gerakan Islam . [ al Ahzab 57 - 58 ]

6. Kepura - puraan mereka telah dijelaskan oleh Al quran dan ianya sangat mengelirukan . Nyata mereka bijak bersandiwara , petah berkata - kata , tajam berhujjah dan pintar membuat helah .

a ] Mereka melafazkan 2 kalimah syahadah [ al Munafiqun 1 ]
b ] Isytihar keiltizaman mereka terhadap Quran dan sunnah [ an Nisa' 81 ]
c ] Mereka juga mengerjakan solat [ an Nisa' 142 ]
d ] Mereka membaca alQuran [ al Bukhari bab Fadhail al Quran ]
e ] Bersedekah dan memberi derma [ at Taubah 54 ]
f ] Turut menghadhiri majlis Ilmu [ Muhammad 16 ]
g ] Membina masjid [ at Taubah 107 ]

7. Menyedari situasi ini , kita tidak boleh memandang ringan akan kehadhiran golongan munafiq . Mereka pada bila - bila masa akan memberi ancaman besar kepada perjuangan yang kita dokongan ini lantaran mereka berkeupayaan menyerang dari dalam secara halus tanpa disedari oleh sesiapa . Langkah berwaspada mesti diambil dan bertindak secara berpasukan adalah kewajipan . Pelihara segala adab berjamaah dan senantiasa bermunajat serta melazimi doa rabitah insyaallah , kita dan jamaah kita akan selamat .

8. Menghalang kewujudan golongan munafiqin ini terlalu sukar sebab terkadang ia lahir dari kalangan kita sendiri yang mewarisi sifat dan sikap mereka . Langkah yang perlu ialah mempertingkatkan proses pembinaan aqidah , fikrah dan syakhsiah disamping mengawal jamaah dari anasir munafiqin ini melalui pemerkasaan amal tarbawi.

9. Perjuangan Islam ini suci dan ia tetap akan dipelihara oleh Allah swt namun perlu ada kesungguhan dari setiap pimpinan dan anggota agar memastikan jamaah ini tidak menjadi sarang golongan munafiqin untuk mereka bermaharajalela melaksanakan agenda mereka .

10. Sudah cukup kejayaan mereka tatkala mereka berjaya menuetralkan semangat perjuangan Islam di kalangan anggotanya . Apa yang mereka mahu ialah melunturkan semangat jihad , mencetus kekeliruan dikalangan pimpinan jamaah , beriman dengan demokrasi dan membunuh konsep syura . Meleraikan ruh kepimpinan ulama' dan mengadu domba agar wujud pertelingkahan dan persengketaan yang panjang dari kalangan anggota dan pimpinan jamaah .


Tuesday, January 19, 2010

Hapuskan Politik Cantas

1. Sehari dua ini , sekali lagi PAS dilanda gelora dan kini isu berkait dengan politik cantas atau "cas keting" . Dalam erti kata lain ialah politik saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau sejamaah .

2. Ianya jelas kelihatan sangat negatif malah bertentangan dengan disiplin dan akhlak berjamaah justeru intima' [ penyertaan ] kita ke dalam jamaah Islam ini adalah untuk mencari keredhaan Allah swt. bukan nama , kedudukan , pangkat dan jawatan .

3. Jawatan hanyalah amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggngjawab . Tiada kebanggaan dari jawatan yang disandang melainkan beban yang akan dipersoal oleh Allah swt kelak . Memahami realiti ini , sewajarnya politik cantas mencantas sesama sendiri tidak berlaku sebaliknya apa yang selayaknya ialah Fastabiqul khairat [ berlumba - lumba membuat kebajikan ] .

4. Tindakan saling jatuh menjatuhkan sesama anggota jamaah Islam adalah satu pelanggaran disiplin dan akhlak jamaah yang serius . Ianya dibayangi oleh nafsu yang tidak baik dan dipengaruhi pula oleh unsur yang negatif [ mazmumah ] seperti hubbu Jaah [ gila kemasyhuran ] dan hubbu Riyasah [ gila jawatan ] .

5. Apa yang mahu dikejar dalam perjuangan ini sehingga sanggup cantas mencantas ? sedang tugas dan tanggungjawab terlalu banyak untuk dilaksanakan . Gerakan Islam bukan medan untuk mencari kemasyhuran dan bukan pula medan memburu kekayaan . Sayugianya kita bahu membahu bukan siku menyiku dan kita kuat menguat antara satu sama lain bukan cantas mencantas .

6. Jangan kita terpengaruh dengan cara musuh berpolitik dan jangan biarkan nafsu menguasai diri . Berjuanglah dengan tenang dan ikhlas . Hiasi diri dan jamaah ini dengan disiplin , akhlak dan adab berjamaah sebagaimana yang dikehendaki oleh sunnah perjuangan yang diasaskan oleh baginda Rasul saw .

7. Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa jawatan adalah beban yang mesti dipikul bukan direbut dan tanggungjawab adalah amanah yang mesti ditunai bukan untuk dibanggakan . Jangan lihat sahabat seperjuangan seperti menjeling ke arah musuh . Jangan biarkan pra sangka mendahului husnu zaan ketika kita menilai sahabat seperjuangan . Kalau hanya berbeza pandangan dan pendapat , tidak seharusnya dibaca sebagai permusuhan sehinggakan mewajarkan kita mencantas atau menjatuhkannya .

8. Sewajarnya kita memperkayakan jamaah ini dengan semangat kasih sayang [ ukhuwwah filah ] , hormat menghormati , harga menghargai , faham memahami malah percaya mempercayai antara anggota sesama anggota demikian juga pimpinan sesama pimpinan . Katakan tidak kepada curiga mencurigai dan hasad dengki atas kejayaan , kemajuan dan kehebatan sahabat seperjuangan yang lain .

9. Andai terdapat sesuatu tindakan anggota yang dianggap membawa kerosakan dan kebinasaan kepada jamaah , kita mempunyai Jawatan kuasa Disiplin parti yang menilai dan menguruskannya . Kita juga ada muktamar di semua peringkat parti untuk mengukur prestasi dan reputasi anggota . Kita juga ada majlis mesyuarat dipelbagai peringkat untuk membuat keputusan . Asaskan segala tindakan melalui prinsip amal Islami yang meletakkan syura sebagai satu mekanisme membuat keputusan dan mengawal parti .

10. Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh .

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang .
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah .
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah .
f] Dengar dan taat arahan pimpinan .
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri .
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i ] Urus konflik dengan bijak , adil , telus dan jujur .
j ] Memuktamadkan keputusan melalui sistem syura

Monday, January 18, 2010

Berdakwah satu Kepuasan

1. Dewan Pemuda PAS Pusat baru sahaja selesai menyempurnakan lawatan kerjanya yang pertama ke negeri Sabah bagi sessi ini .

2. Selain pertemuan dengan anggota pemuda PAS Sabah , mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat Sabah [ SEPAKAT ] dan menyampaikan kuliah serta ceramah , kami juga turun ke padang menyempurnakan misi dakwah .

3. Pengalaman saya sepuluh tahun yang lalu masih segar dalam ingatan bagaimana kami dari team Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang turun mengedar risalah dan dakwah kepada masyarakat sempena sambutan tahun baru . Pada waktu itu , saya rasa sungguh malu dan segan melakukan aktiviti sebegini . Seolah - olah semua orang memandang ke arah saya . Akhirnya saya hulurkan risalah dan kemudiannya terus lari meninggalkan mereka terpinga - pinga menerima risalah .

4. Peringkat awal , saya sendiri berasa tidak selesa , janggal dan kerdil untuk menyertai operasi dakwah sebegini . Takdir Allah swt pada sekitar tahun 2004 sewaktu menyertai operasi dakwah dan amar makruf nahi mungkar ke Teluk Chempedak Kuantan , saya di beri pengalaman berharga oleh Allah swt yang akhirnya menjadikan saya lebih yakin , berani , gembira dan puas dengan aktiviti dakwah seperti ini .

5. Pengalaman berharga yang saya maksudkan itu ialah apabila salah seorang pasangan muda lelaki dan perempuan sedang bercekerama di celah batu besar di Teluk Chempedak menerima risalah yang saya hulurkan [ berjudul : Jauhi Gejala Sosial yang Negatif ] dan kemudiannya mengekori saya tanpa disedari oleh saya sendiri sehingga selesai operasi dan saya mahu pulang ke rumah , mereka memintas dan menahan kenderaan saya .

6. Permulaannya saya jangka mereka mahu belasah saya . Rasa berdebar dan resah tetapi bersedia menerima apa jua kemungkinan . Saya hanya seorang diri pada masa itu berpisah dari kumpulan untuk pulang ke rumah . Rupa - rupa pasangan anak muda tadi menerpa saya untuk meminta maaf sambil menangis dan mencium tangan meminta saya membimbing mereka ke jalan yang benar .

7. Semenjak itu , saya yakin , seronok , gembira dan puas jika sesekali berkesempatan menyertai operasi dakwah sedemikian dan ianya bertolak dari beberapa nokhtah nilai :

a] Saya dapat berinteraksi langsung dengan sasaran dakwah [ madu'u ] yang sebenar .
b] Islam dibawa keluar dari 4 penjuru dinding masjid dan surau .
c] Gembira dapat membantu insan yang leka dan lalai agar insaf dan sedar .
d] Mempertingkatkan skil dakwah dan memperhalusi method / uslub dakwah
e] Menghubungkan saya dengan pelbagai ragam dan karenah masyarakat
f] Menunaikan perintah Allah swt dalam berdakwah
g] Bangga dan puas apabila madu'u insaf dan bertaubat malah saya sendiri turut insaf

8. Insyaallah , Dewan Pemuda PAS akan terus mengaktifkan aktiviti dakwah dengan mempelbagaikan method . Satu kursus kejurulatihan dakwah akan diadakan untuk melatih petugas - petugas dakwah agar lebih seni , halus dan berkesan dalam membuat sentuhan dakwah kepada ummah .

9. Malah satu cabaran baru akan ditangani oleh Dewan Pemuda PAS kini ialah dakwah kepada golongan non muslim . Saya sifatkan ianya baru bagi Dewan Pemuda PAS kerana ini adalah pengalaman yang belum pernah diterokai secara rasmi dan serius sebelum daripada ini . Matlamatnya ialah untuk memberi gambaran yang positif mengenai Islam setelah sebahagian besar non muslim mengalami Islamophobia .

10. Kita adalah pendakwah bukan penghukum ! , pendekatan berasaskan prinsip ini akan digerakkan sepenuhnya . Insyaallah , pada 23 dan 24 hb January ini saya bersama Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan kembara dakwah melalui jalan keretapi dari Kuala Lumpur , Melaka , dan Johor dengan pelbagai aktiviti di sepanjang persinggahan atau stesen selama 2 hari . Siapa nak ikut ... jom dakwah !

Saturday, January 16, 2010

Islam berpotensi besar di Sabah

1. Sejurus selesai sidang media pagi tadi di Kota Kinabalu , sessi mesyuarat khas SEPAKAT [ Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat ] pula dilangsungkan . Sementara malamnya saya dijadualkan 2 program berkembar iaitu Kuliah maghrib di Masjid Tamparuli dan Ceramah umum di Tuaran .

2. Hujan agak lebat di Tuaran namun alhamdulillah ianya tidak menghalang ummat Islam tempatan untuk keluar menuntut ilmu di masjid . Kelihatan mereka sangat gembira menerima kunjungan penceramah dari semenanjung .

[ sempat bergambar di Jambatan Tamparuli yang masyhur itu ]

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk memberi penekanan kepada beberapa nokhtah penting buat ummat Islam di Sabah setelah saya melihat potensi besar untuk Islam bertapak dan berkembang di bumi bawah bayu ini .

4. Pertama : Soal Ubudiyyah , agar diri dibentuk dan dibina dibawah pengaruh pengabdian diri kepada Allah swt. Laksana perintah Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah swt . Taat dan patuh serta taqarrub kepada Allah swt . Jauhkan syirik dan elakkan tindakan atau perkataan yang mempersenda agama dan syariat Allah swt . Yang halal dikata halal dan yang haram dikata haram .

5. Kedua : Basmi kejahilan dengan menuntut ilmu dan menguasai sumber Islam iaitu al quranul karim sebagai kitab petunjuk . Tanpa memahami al quran Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik jauh sekali untuk menghayatinya . Sementara kejahilan membawa manusia menjadi derhaka dan kufur kepada Allah swt .

6. Ketiga : Sebarkan ilmu yang dimiliki kepada kaum keluarga terdekat , jiran tetangga dan masyarakat . Jangan biarkan Islam terkepong dalam 4 penjuru dinding surau dan masjid . Pastikan Islam sampai ke setiap pintu rumah dan hati manusia .

7. Keempat : Pertahankan Islam dari sebarang anasir yang cuba untuk melumpuhkan Islam dan memadam cahayanya . Jangan biarkan Islam dipersenda dan dipermain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab .

8. Alhamdulillah , kelihatan jamaah di Masjid Tamparuli menginsafi 4 perkara yang saya tegaskan secara panjang lebar hampir satu jam sebelum saya turun ke Tuaran untuk bertemu pula masyarakat di sana . Ikrar yang mereka berikan sangat meyakinkan bahawa mereka adalah jiwa yang subur untuk Islam bertapak dan berkembang di sini .

9. Selepas menyampaikan ceramah , seperti biasa , saya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan beberapa hadhirin khasnya anak - anak muda untuk memberi galakan dan penegasan secara personal atau direct kepada mereka bahawa negara dan masa depan rakyat banyak bergantung kepada peranan anak muda dalam membawa perubahan besar kepada negara .

10. Jiwa mereka segar dan waja . Hanya mereka perlukan bimbingan dan sentuhan kerohanian dari pemimpin laksana seorang murabbi dan mursyid. Kehadhiran mereka meyakinkan saya bahawa masa depan Islam di Sabah sangat berpotensi .

Wednesday, January 13, 2010

Tinggal Perkara Yang Tidak Bermanafaat

1. Hari ini suasana subuh agak hening. Cuaca kelihatan seperti hujan akan turun pada bila - bila masa . Namun hati ini terasa damai dan tenang . Agak sukar untuk menemui saat seperti ini .

2. Saya segera melangkah ke surau ar Raudhah untuk solat subuh berjamaah dan kemudian menyampaikan kuliah . Telah menjadi rutin hidup ini jika saya berkesempatan berada di rumah, saya akan berjamaah bersama sahabat - sahabat di surau Ar Raudhah .

3. Biarpun kedudukan surau ini hanya sepelaung sahaja jaraknya dari rumah , saya hanya berkesempatan sehari dua sahaja dalam seminggu untuk bersama sahabat - sahabat di sekitar Taman Pelindung Perdana ini . Selebihnya , masa saya banyak dihabiskan di luar kerana memenuhi keperluan dan melaksanakan tuntutan perjuangan Islam ini .

4. Masih segar dalam ingatan ini bagaimana naqib usrah saya semasa belajar di Mesir dulu , selalu mengungkapkan kalimah yang dipopularkan oleh Imam Hassan al Banna iaitu al waajibat aksara minal awqaat , iaitu kewajipan jauh lebih banyak dari masa yang ada kepada kita .

5. Justeru itu , kita diajar supaya tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah . Kebetulan kuliah subuh saya pada pagi ini membawa satu hadis Nabi saw :

من حسن الإسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Sebahagian dari keindahan Islam seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manafaat .

Hadis Hasan Riwayat Imam Tarmizi , Ibnu Majah dan Imam Malik

6. Perkara yang tidak mendatangkan manafaat ini tidak semestinya hanya dari perkara haram semata - mata tetapi juga dari perkara - perkara halal menurut hukum syara' namun ia tidak mendatang manafaat kepada kita . Contoh mudah ialah berbual kosong di kedai kopi , tidur hingga mencecah 7 atau 8 jam sehari , termenung dan berangan - angan . Sungguhpun perbuatan ini tidak membawa kepada haram tetapi ia telah mengambil banyak dari masa kita yang sememangnya terhad .

7. Fenomena ini masih membelenggu sebahagian dari anggota jamaah kita . Akhirnya banyak tugasan jamaah dan tanggungjawab atau amanah tidak berjaya dilaksanakan dengan baik . Kalau pun siap , ianya disiapkan dalam keadaan tergesa - gesa mengejar waktu dan akhirnya tidak menghasilkan kualiti yang tinggi dalam prestasi kerja sebagai seorang yang bergelar pejuang .

8. Sebagai seorang pejuang , kita sewajarnya peka dalam perkara seperti ini , kerana fail kita masih bertimbun di pejabat dan ianya belum disemak . Frame work kita telah berhabuk kerana belum diterjemah dalam tindakan . Lebih malang jika pejabat kita juga telah bersawang kerana lama kita tidak beroperasi . Kita seperti tidak ada masa untuk bertindak . Tidak tahu ke mana habisnya masa kita . Namun apa yang pasti , matahari terbit dan tenggelam dengan begitu pantas sedang tanggungjawab dan amanah masih terlalu banyak yang belum dilunaskan .

9. Cuba kita hitung sejenak bagaimana masa kita berlalu sementara tugas kita sebagai pejuang menuntut komitmen terhadap masa yang begitu tinggi daripada kita . Termenung di bilik air , khayal di kusyen empuk , asyik di kaca TV , berbual kosong di kedai kopi , berangan di meja makan , leka berchatting , tidur melewati batas , alpa bermain game , melayari blog - blog yang tidak mendatangkan faedah dan maklumat , bergayut di telefon dan berSMS dalam perkara yang tidak penting .

10. Sayugianya wahai sahabat seperjuangan , Tinggalkanlah perkara yang tidak mendatangkan manafaat kepada diri mu ! demikian itu sebahagian dari keindahan dan kecantikan Islam seseorang . Begitulah terlebih wajar bagi seorang muslim meninggalkan perkara - perkara yang diharamkan oleh Allah swt lantaran ia pasti tidak mendatangkan manafaat .




Sunday, January 10, 2010

Bebaskan Al Quds

1. Sewaktu saya menyerahkan memorundum kepada Duta Mesir Hani Abd Kader di Pejabat Kedutaannya , beliau bertanya kepada saya :

" Kamu ni Nasrudin , saya tahu kamu belajar di Mesir dan kamu kenal Mesir . Sekarang kamu nak sokong Mr. Galloway yang bukan Islam atau Husni Mubarak sedang ia seorang muslim ."

2. Kemudian dia berpaling kepada Yb. Salahuddin Ayub : Kamu tahu tahu berapa ramai orang Mesir dibunuh oleh Israel .....

3. Saya dan Yb. Salahudin cuba memberi penjelasan bahawa bantahan kita bukan untuk mempertahan dan menjulang Mr. Galloway tetapi yang kita perjuangkan ialah nasib ummat Islam di Palestine . Sementara George Galloway telah memimpin VIVA Palestine untuk membawa bekalan ubatan , makanan dan minuman kepada ummat Islam di Palestine .

4. Harapkan Mesir sebagai sebuah kerajaan besar mewakili ummat Islam di zaman ini , apakah usaha berkesan Mesir untuk memastikan penindasan dan kekejaman Israel ke atas ummat Islam di Palestine khususnya Gaza ? Sehingga hari ini entah berapa jenis perjanjian damai telah dilakukan dan dimateri di Mesir tetapi sehingga kini masih belum merubah apa - apa .

5. Sebaliknya Mesir semakin dilihat menjadi boneka kepada Yahudi dan Amerika . Menghalang rombongan VIVA Palestine dan menyusahkan usaha mereka membawa masuk sumbangan untuk ummat Islam adalah sebahagian dari tindakan yang mendapat kecaman dari seluruh ummat Islam . Tidak timbul nak sokong Galloway atau Husni Mubarak justeru isunya ialah Galloway membawa bekalan makanan dan ubat kepada penduduk Gaza sedang Kerajaan Mesir menghalang dan menyusahkannya .




Friday, January 8, 2010

Himpunan Aman di Teruskan

1. Pagi ini bertalu - talu sms menerobos mencari ruang di inbox handphone saya yang bertanyakan : "jadi kah himpunan kita hari ini di hadapan kedutaan Mesir ? "

2. Kekeliruan ini timbul apabila tersebar berita mengenai langkah terkini Mesir yang telah membenarkan peserta konvoi VIVA Palestine memasuki GAZA .

3. Alhamdulillah , memang benar sebahagian peserta konvoi VIVA Palestine telah berjaya memasuki GAZA setelah desakan dari ummat Islam di seluruh dunia .

4. Pun begitu , Himpunan Aman dan penyerahan memorundum ke Kedutaan Mesir tetap diteruskan kerana masih banyak tuntutan ummat Islam dunia yang memerlukan perhatian dan tindakan segera kerajaan Mesir .

5. Sebagai contoh Mesir masih lagi meneruskan usaha membina tembok konkrit sepanjang 6 KM membentengi sempadan Mesir - Palestine dan ianya jelas membuktikan Mesir merelakan diri untuk menjadi boneka kepada Israel . Tindakan membina tembok tersebut sekali gus seperti membina sebuah penjara besar bagi ummat Islam Palestine yang senantiasa menjadi mangsa keganasan Yahudi Israel Laknatullah .

6. Sikap dan Layanan buruk yang diberikan oleh Mesir ke atas rombongan konvoi VIVA Palestine yang berkelana dalam siri kempen membebaskan Palestine , mesti dibantah agar ia menjadi peringatan kepada kerajaan Mesir selepas ini agar tidak mempermainkan kesengsaraan dan penderitaan ummat Islam di Palestine .

7. Antara desakan kita ialah menggesa supaya Mesir benar - benar memainkan peranan sebagai sebuah negara yang mampu membela nasib ummat Islam yang sering ditindas dan dianiaya oleh Israel . Sebagai sebuah negara ummat Islam yang besar dan bersempadan dengan Palestine , ia menjadi tanggungjawab penting dan utama bagi kerajaan Mesir .

8. Ayuh ! saudara , jangan terpedaya dengan berita dan maklumat salah yang mengatakan Himpunan hari ini di batalkan . Kita akan terus melahirkan sokongan kita ke atas ummat islam yang tertindas dan mengutuk sekeras kerasnya Israel dan boneka mereka yang secara terang - terangan mencabul dan menceroboh hak asasi manusia dan hak ummat Islam penduduk pribumi Palestine hidup dengan aman .

9. Solat jumaat di Masjid Tabung Haji dan sejurus solat jumaat insayaallah kita akan bergerak ke kedutaan Mesir bagi menyerahkan memorundum bantahan tersebut .

10. Semoga Allah swt memberikan kekuatan kepada kita untuk memberi apa yang kita mampu untuk ummat Islam Palestine sekaligus menyatakan kepada dunia semangat solidariti kita .

2 Jam Setengah bersama Pemuda

2 Jam Setengah
Bersama Pemuda PAS
Kawasan Hulu Langat

1. Malam ini jadual saya 2 jam setengah bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat .

2. Majlis yang penuh mesra dan mahabbah ini turut diserikan dengan kehadhiran Yb. Dr. Che Rosli Ahli Parlimen Hulu Langat dan juga Ybhg. Yang diPertua PAS Kawasan .

3. Hampir seratus orang pemuda yang terdiri daripada AJK Dewan Pemuda PAS Hulu Langat , Ketua Jawatankuasa Pemuda Cawangan dan aktivis - aktivis pemuda .

4. Dewan Pemuda PAS Pusat merakamkan tahniah kepada Sdr Mat Shah selaku ketua DPP Kawasan Hulu Langat dan rakan - rakannya kerana telah berjaya menganjurkan pertemuanini . Semoga semangat ukhuwwah yang terbina ini akan menjadi asas yang kuat dan kukuh untuk kita terus thabat dan istiqamah dalam perjuangan ini .

5. Aktiviti 2 jam setengah ini ringkas , padat dan bermanafaat . Kandungan aktiviti merangkumi Taklimat gerakkerja DPP Kawasan oleh Ketua DPP Kawasan , taujihat oleh Ketua DPP Pusat dan dialog atau soal jawab bersama seluruh anggota pemuda yang hadhir . Taujihat Ketua DPP Pusat menekankan beberapa aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh semua anggota pemuda :

a] Memperkasakan Amal Tarbawi
b] Memperhebatkan Gerakkerja Dakwah
c] Mempertingkatkan kualiti ilmu dan prestasi amal
d] Menguasai dan menjuarai Isu
e] Pengurusan dan penjanaan organisasi
f] Menjayakan proses pembentukan Murabbi dan Murabitun
g] Melahirkan pemuda yang menepati pemuda Ansorullah

6. Pertemuan ini saya namakan sebagai [ 2 Jam Setengah : Ketua DPP Pusat bersama DPP Kawasan . ] Program ini akan membawa saya menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan semua anggota pemuda di peringkat kawasan dan cawangan . Insyaallah , 18 hb January ini di beberapa DPP kawasan dalam negeri Perlis dan 20 hb. January bersama DPP Kawasan Kuala Nerus Terengganu .

7. Sementara tumpuan istemewa pula buat Sabah pada 14 - 17 hb January dan Sarawak pada 4 - 7 February . Adapun 31 January kelak , seharian saya akan bersama DPP Negeri Perak dalam Himpunan Pemuda Perak [ HEMPAP ] setelah 23 dan 24 hb January nanti , saya bersama beberapa rakan dari Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan kembara berkeretapi dari Kuala Lumpur ke selatan tanahair .

8. Kembara ini akan menyaksi beberapa program menarik dilakukan . Setiap stesen yang kita singgah seperti di Seremban , Batang Melaka dan Johor kita akan mengadakan program khusus bersama pemuda dan masyarakat setempat dan sekitar stesen tersebut .

9. Program 2 jam setengah bersama pemuda akan terus disambung dengan memilih DPP Kawasan Bukit Katil Melaka sebagai tapak program pada 16 February dan 17 February pula program 2 jam setengah bersama DPP Kawasan Rompin Pahang .

Tentatif program 2 Jam Setengah : Ketua DPP Pusat bersama DPP Kawasan ialah seperti berikut :

Solat Maghrib berjamaah .
Al Mathurat dan Asmaul Husna
Taklimat Gerakkerja Amal islami DPP Kawasan
Taujihat Ketua DPP Pusat
Dialog
Solat Isyak berjamaah
Nasyid Taubah , solat hajat dan Munajat
BBQ

Jadual ini tertakluk kepada perubahan dan kesesuaian semasa kawasan penganjur .

10 . DPP Pusat juga telah memutuskan lawatan kerja DPP Pusat ke negeri - negeri dan sebelah malamnya dianjurkan Pentas Pemuda . Jadual lawatan kerja ini turut tertakluk kepada kesesuaian DPP negeri - negeri . Jadualnya seperti berikut :

20 February 2010 : Johor
21 February 2010 : Negeri Sembilan .
27 February 2010 : Pahang
28 Februray 2010 : Selangor
06 March 2010: Kelantan
07 March 2010 : Terengganu
20 March 2010 : Pulau Pinang .
21 March 2010 : Perak
27 March 2010 : Wilayah
28 March 2010 : Negeri Sembilan .
03 April 2010 : Kedah
04 April 2010 : Perlis

Insyaallah , harapan saya semoga Allah swt memberi keupayaan dan kekuatan bagi kita melaksanakan tugasan yang penting ini dan mendapat sokongan padu dari seluruh saff pemuda di semua peringkat .

Tuesday, January 5, 2010

Kalimah Allah dan Syariat Allah

1. Banyak pihak begitu marah dan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah tinggi baru - baru ini yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka .

2. Pendirian saya sendiri jelas dan tidak pernah berubah sehingga saat ini , bahawa kalimah Allah swt adalah Lafzul Jalaalah yang merujuk kepada keesaan Allah swt. Firman Allah swt :

قل هو الله أحد الله الصمد لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد

Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya .

Surah al Ikhlas : 1-4

3. Sesiapa pun [ muslim atau non muslim ] yang mahu menggunakan kalimah Allah mestilah menggunakannya dengan betul iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya . Haram dan kufur jika kita membenarkan perbuatan , tindakan atau kenyataan yang menduakan [ mensyirikkan ] Allah swt . Seperti membenarkan perkataan orang yang berkata : " Allah itu ada anak " dan seumpamanya . Kerana perkataan itu salah dan bertentangan dengan keEsaan Allah swt. walau siapa [ non muslim atau muslim ] yang berkata demikian .

4. Allah swt sendiri murka terhadap mereka yang menggunakan kalimah Allah secara salah [ dengan berkata Allah mempunyai anak ] , maka bagaimana mungkin kita boleh bersetuju dan redha jika ada yang menggunakan kalimah Allah secara salah seperti mensyirikkan Allah swt [ menganggap Allah ada anak dan isteri atau menduakan Allah dengan tuhan yang lain ] Firman Allah swt :

و قالوا اتخذ الرحمن ولدا لقد جئتم شيئا إدا تكاد السموات يتفطرن منه و تنشق الأرض و تخر الجبال هدا أن دعوا للرحمن ولد

dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak .

Surah Maryam : 88 - 91

أئنكم لتشهدون أن مع الله ءالهة أخرى قل لا أشهد قل إنما هو اله واحد وإنني برئ مما تشركون

Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt .

Surah Al An'am : 19

5. Manakala pengguna kalimah Allah swt secara benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt itu sendiri yang telah mengisytiharkan zatNya tiada sekutu dan bandingan [ seperti yang termaktub di dalam surah al ikhlas ] , maka ia adalah pengguna yang bijak dan benar , malah dibenarkan sekalipun ia seorang non muslim . Inilah yang Allah swt sebut di dalam al Quran :

ولئن سألتهم من خلق السموات و الأرض و سخر الشمس و القمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

dan jika engkau bertanya kepada mereka : " siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" nescaya mereka menjawab Allah ! maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran .

Surah al Ankabut : 61

Sekitar pemafahaman dari ayat ini :

a ] Ayat ini secara jelas menunjukkan bagaimana Allah menegaskan bahawa sebahagian non muslim terutama ahli kitab mengakui bahawa Allah swt. adalah pencipta langit dan bumi [ begitulah jawapan jika ditanya kepada mereka .]

b ] Ayat ini juga bukanlah dalil mutlak untuk membenarkan golongan non muslim menggunakan kalimah Allah swt sewenang - wenangnya apatah lagi jika diguna secara salah . Sebaliknya ayat ini adalah penegasan Allah swt bahawa mereka mengakui Allah swt sebagai pencipta .

c ] Ia juga bukan dialog antara kuffar dengan Nabi saw. tetapi ia adalah ayat Allah untuk menjelaskan hakikat sanubari mereka , bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan fakta ketuhanan Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki . Sebab itu ayat ini bermula dengan : [ Jika sekiranya kamu bertanya kepada mereka ..... ertinya ayat ini bersifat jika atau andainya .... ia bukan dialog sebenar ]

d ] Persoalan isu aqidah dalam ayat ini terhenti di atas perkataan terakhir dari ayat ini : " maka ... kenapalah mereka masih boleh berpaling dari kebenaran ? " ertinya : walau hati kecil mereka mengakui bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi , maka kenapa mereka masih berpaling dari kebenaran itu ? kenapa mereka masih mensyirikkan Allah swt ? kenapa mereka mengambil tuhan - tuhan yang lain selain daripada Allah swt ? kenapa mereka tidak menerima wahyu Allah swt yang melantik Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman ? kenapa mereka berpaling dari kebenaran ? kenapa ?

e ] persoalan yang dicetus pada akhir ayat 61 surah al Ankabut ini jelas menunjukkan Allah swt membenarkan jika mereka mahu berkata [ menggunakan kalimah ] Allah sebagai tuhan yang mencipta langit dan bumi , tetapi jika mereka mahu mensyirikkan Allah swt atau mengambil tuhan yang lain selain Allah swt , maka ia dimurkai oleh Allah swt .

6. Tidak hanya menggunakan kalimah Allah swt secara salah [ seperti menduakan Allah swt ] sahaja yang mesti ditolak , tetapi juga termasuklah perbuatan mempersenda dan mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. juga mesti ditentang dan ditolak .

7. Isu kalimah Allah ini baru timbul sehari dua dalam negara kita , tetapi pengabaian terhadap perlaksanaan syariat Allah swt telah berlaku sejak dulu . Hairannya , tiada pula orang nak marah . Malah mahkamah tinggi Malaysia pernah mengisytiharkan Malaysia bukan Negara Islam , tiada pula berlaku kebangkitan di kalangan ummat Islam untuk membantah keputusan tersebut . Kecuali sebahagian kecil ummat Islam yang konsisten berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt . termasuk PAS .

8. Terlalu banyak aktiviti dalam negara kita yang bertentangan dengan syariat Allah . Mengalungkan bunga ke tugu kebangsaan sebagai contoh , telah jelas ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan , tetapi kerajaan masih mengamalkannya saban tahun . Tiada pula amukan dari PERKASA untuk membantah amalan itu . Sedang itu secara terang terangan menghina majlis fatwa dan menghina agama Allah . Apakah kerana ia dilakukan oleh orang yang mengaku muslim maka ia tidak diambil endah ?

9. Al Amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar sebagai asas sebuah pemerintahan Islam tidak diamalkan dengan penuh tanggungjawab dalam negara kita . Terkadang seperti sengaja mereka mahu memperkecilkan ajaran Islam . Mereka buat tempat maksiat seperti kelab - kelab malam yang bercambah lalu mereka melantik pencegah maksiat supaya membuat operasi sesekali dihujung hujung bulan .

10. Bukankah ini satu persendaan ? mereka buat masjid mereka juga buat kelab malam . Mereka buat musabaqah al Quran mereka buat juga pertandingan ratu cantik . Mereka buat universiti Islam , mereka juga buat akademi fantasia . Mereka memberi sumbangan kepada fakir miskin , mereka juga melakukan rasuah dan membolot harta kekayaan negara. Mereka bukan buat amar makruf Nahi Mungkar tetapi Amar Makruf Amar Mungkar. Ini satu persendaan kepada syariat Allah swt . Ini juga mesti ditentang dan ditolak .

Saturday, January 2, 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah swt

1. Keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan kalimah Allah swt telah mencetus polemik dikalangan masyarakat dalam negara kita . Keadaan kelihatan tegang antara penganut ajaran Kristian dan ummat Islam .

2. Saya mengharapkan semua pihak terlebih dahulu tidak mengambil tindakan terburu - buru dan diluar kawal dengan hanya berpandukan emosi khasnya kepada ummat Islam . Justeru , Islam adalah agama yang tetap benar dan utuh malah ia akan terus dipelihara dengan hujjah yang benar dan kuat .

3. Asalnya , agama Kristian [ Nasara ] , Yahudi dan Islam berkongsi Tuhan yang sama iaitu Allah swt. Tuhan yang satu dan Tuhan yang Maha Esa . Inilah jua yang termaktub di dalam Taurat dan Injil .

4. Namun Taurat dan Injil yang asal telah dipinda oleh para paderi dan pendita Yahudi sejak lama dulu sehingga menghasilkan Injil Barnaba , Injil Matthew dan sebagainya . Semenjak itu mereka menyengutukan [ mensyirikkan ] Allah swt Tuhan yang Maha Esa dengan menganggap ada tuhan lain selain Allah seperti tuhan anak , tuhan bapa dan tuhan ibu .

5. Konsep ketuhanan yang sedemikian adalah sangat bercanggah dengan Islam . Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Esa . Tuhan yang Satu dan tiada Tuhan yang lain selain Allah yang layak disembah .

6. Sementara mana - mana pihak mahu mengambil tuhan yang lain sebagai tuhan mereka untuk di sembah adalah terpulang kepada keyakinan mereka dan itu menjadi hak mereka dalam beragama . Tetapi mereka tidak boleh menggunakan Lafzul Jalaalah [ Allah ] sebagai Tuhan dan diletakkan di dalam rumah - rumah ibadah mereka untuk disekutukan , kerana ia disifatkan satu penghinaan kepada ummat Islam yang meletakkan Allah swt sebagai Tuhan yang Esa yang tidak sekali - kali layak disekutukan dengan segala apa jua .

7. Saya bersetuju bahawa kalimah Allah swt boleh digunakan oleh sesiapa jua tanpa ia menjadi milik ekslusif ummat Islam , kerana Allah swt adalah Tuhan kepada seluruh ummat manusia . Tetapi penggunaan kalimah Allah itu mestilah benar dan tepat dengan keesaan Allah swt . Seperti mereka mengatakan Allah adalah Tuhan yang mencipta Alam dan Tuhan yang mencipta manusia , maka itu adalah perkataan yang benar dan mereka dibenarkan untuk berkata demikian sekalipun mereka bukan muslim .

8. Menggunakan kalimah Allah swt secara benar dan betul adalah tidak mengapa . Sebagaimana yang disebut di dalam al Quran , bagaimana golongan musyrikin apabila ditanya : [ siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan nescaya mereka menjawab Allah , maka mengapa mereka masih boleh dipalingkan daripada kebenaran .] Dalil ini bagi menegaskan tidak mengapa penggunaan kalimah Allah swt dengan maksud yang benar dan bertepatan dengan konsep ketuhanan Allah swt . tanpa mereka berpaling dari kebenaran itu .

9. Melalui pengamatan saya , aliran Kristian di negara - negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja dan restoran - restoran mereka . Pengalaman saya dengan aliran Kristian di Mesir ini mendapati mereka sememangnya menganggap Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki . Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah swt sejak awal [ ribuan tahun ] yang lalu .

10. Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian yang lain seperti di barat mahupun di negara kita . Sejak awal mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah swt sebagai merujuk kepada tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat , penerbitan dan gereja - gereja mereka. Sebaliknya mereka sering menggunakan kalimah God sebagai tuhan mereka dan Jesus tatkala merujuk kepada Nabi Isa a.s .

11. Apabila timbul isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald , ia suatu yang sangat asing maka ia mencetus kesangsian dikalangan ummat Islam . Apakah motif penggunaan kalimah tersebut ? Jika untuk tujuan ibadah , tidak pernah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum daripada ini . Inilah persoalan yang mesti diberikan penjelasan yang jujur dari pihak terbabit .

12. Kebimbangan ummat Islam adalah berasas . Penggunaan kalimah Allah tanpa motif yang jelas menimbulkan pelbagai prasangka . Apakah ini strategi mereka untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam lalu memurtadkan mereka ? atau ini satu siri provokasi untuk menilai sensitiviti ummat Islam . Prasangka ini akan terus bersarang dan berlegar dalam jiwa ummat Islam .

13. Sikap saya jelas , jika mereka guna kalimah Allah secara salah , pasti mereka akan berdepan dengan penentangan dan kemarahan ummat Islam yang tidak rela Allah swt dipersenda dan diperlekehkan . Tetapi jika mereka menggunakan kalimah Allah dengan betul dan benar seperti menyebut bahawa Allah adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi , Allah adalah Tuhan yang mencipta manusia , Allah adalah tuhan yang memberi rezeki dan seumpamanya , maka itu tidak mengapa dan saya boleh bersetuju sekalipun yang melafazkan itu bukan muslim .

14. Menghormati mahkamah , Kementerian Dalam Negeri berhak membuat rayuan segera bagi membolehkan mahkamah mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat . Saya juga mengharapkan selepas ini , hakim yang mengendalikan kes mestilah juga hakim yang memahami kedudukan agama Islam dan Kristian di Malaysia . Campurtangan pihak Raja - Raja Melayu juga mungkin boleh meredakan keadaan yang kini kian panas dan tegang .

15. Insyaallah , bagi pihak Pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berdialog dan berdepan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masaalah secara hujjah , tenang dan damai tanpa mencetus pergolakan antara agama . Kita juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap kerajaan UMNO dan BN yang selama ini terlalu banyak mendiamkan diri dalam kes - kes yang mempersendakan Islam dan ummatnya .


Islam Penyelamat Negara & Rakyat : 3

Dakwah Islamiyyah :
Satu Makenisme Unggul
Menyelamatkan
Negara dan Rakyat
.

1. Islam tidak disebar melalui paksaan dan kekerasan . Malah tidak sah keislaman seseorang yang dianut dengan paksaan . Inilah keunikan ajaran Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt . Agama kasih sayang dan agama yang kaya dengan toleransi.

2. Islam jua menghormati agama lain bahkan tidak dibenarkan seorang muslim mencerca tuhan agama lain .

3. Kebenaran Islam disebarkan dengan penuh hikmah dan kasih sayang sebagaimana ianya diajar oleh Islam : [ Firman Allah swt ]

Serulah manusia agar kembali ke jalan Tuhanmu dengan hikmah [ bijaksana ] dan nasihat yang baik serta dialog atau debat yang baik untuk mencari kejernihan dan kebenaran .

4. Terutama saat berdepan dengan masyarakat yang tidak memahami Islam . Para pendakwah dan pejuang Islam sewajarnya mendekati mereka dengan sentuhan yang membangkitkan kesedaran dan keinsafan mereka terhadap tanggungjawab beragama dan hidup di dunia yang bakal dihitung oleh Allah swt di akhirat kelak .

5. Islam juga ditegakkan dengan hujjah . 30 juzuk 114 surah yang terkandung di dalam al Quranul karim sebagai kitab suci ummat Islam adalah merupakan hujjah kebenaran yang mesti diperjuangkan . Justeru itu , kekerasan , keganasan dan paksaan bukan dari pendekatan Islam . Sementara insiden keganasan [ terrorist ] yang berlaku serata dunia hari ini dan melibatkan ummat Islam adalah , samaada ia lahir dari kejahilan ummat Islam sendiri atau datang dari propaganda musuh yang mahu mempalit fitnah kepada Islam dan ummatnya .

6. Peperangan yang pernah berlaku dalam sejarah ummat Islam bukanlah merupakan pendekatan Islam untuk menyebarkan risalah agamanya kepada manusia , tetapi peperangan yang berlaku itu lebih kepada keadaan yang memaksa mereka untuk mempertahankan diri dan kesucian agama apabila ia diancam oleh musuh dan pihak yang tidak bertanggungjawab .

7. Dakwah Islam berorientasikan kasih sayang . Menyelamatkan mereka dari dosa dan noda justeru kelak mereka akan diancam azab jika mereka terus tenggelam dan hanyut dalam arus mungkar dan maksiat tanpa kembali bertaubat kepada Allah swt .

8. Saya mengharapkan semua pemuda - pemuda Islam negara , khasnya pemuda - pemuda PAS mengambil pendekatan berhikmah dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat . Jangan bermusuh dengan masyarakat sebab mereka adalah madu'u kita . Mana mungkin seorang doktor bermusuh dengan pesakitnya biarpun pesakit itu tidak gemar ubat pahit yang dibekalkan oleh doktor tersebut .

9. Masyarakat awam pula tidak perlu bimbang terhadap kehadhiran Islam dan pejuang - pejuangnya . Islam dan para pejuangnya tidak akan bertindak kasar dan keras kecuali mereka ditekan , ditindas dan dizalimi . Mereka akan hadhir dengan hujjah yang benar . Islam tidak boleh ditolak mentah mentah begitu sahaja melainkan dengan hujjah . Sila kemukakan hujjah di mana tidak betulnya Islam jika ianya mahu ditolak !

10. Islam ibarat bahtera penyelamat . Apa yang diajar oleh Islam ialah keadilan , kebaikan , hubungan silaturrahim , anti kezaliman dan penindasan serta banyak lagi elemen - elemen positif dan baik buat kehidupan manusia yang berakhlak dan bermoral .


Friday, January 1, 2010

Himpunan Aman dan Serah Memo


HIMPUNAN AMAN DAN
SERAHAN MEMO BANTAHAN

TINDAKAN MESIR
MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN
“PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN”


Dewan pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan Kerajaan Mesir yang tidak memberi kebenaran dan laluan kepada Viva Palestina Convoy 3 untuk meneruskan perjalanan bantuan ke Gaza. Malangnya, kini Konvoi yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign tersebut tersekat di Aqaba, Jordan setelah disekat masuk oleh Kerajaan Mesir.

Kerajaan Mesir telah menyekat deligasi sukarelawan tersebut yang diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway yang telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan ke Gaza.

Rombongan ini telah bertolak dari London pada 05 Disember 2009 dan merentasi jalan darat melalui benua Eropah. Mereka sepatutnya dijadualkan sampai ke Gaza pada 27 Disember 2010 sempena ulang tahun serangan biadap dan pembunuhan zalim rakyat Gaza oleh regim zionis, kerajaan haram Isreal.

Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir :

Tarikh : 8 Januari 2010 [ Jumaat ]
Masa : Jam 1.15 pm [ solat Jumaat di Masjid Tabung Haji ] Jalan Ampang .
[ jam 2.00 pm : berarak dan berkumpul di Kedutaan Mesir ]

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia terdiri dari muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Kerajaan Mesir menghalang Viva Palestina Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign agar dapat meneruskan perjalanan memasuki Gaza.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive