HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, July 31, 2010

Polis Kembali Mengganas ?

1. Parti Islam Semalaysia Pas membantah sikap primitif dan tidak bertamaddun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini.

2. Antaranya tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit Batu Pahat pada 31hb Julai 2010. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah . Sekurang-kurang-kurangnya 9 ditangkap terdiri dari 7 lelaki dan 2 wanita.. Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

3. Di Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos 2010.

4. Manakala 1hb Ogos 2010 , himpunan diupacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya [MBPJ] seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

5. Pas sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

6. Pas mengharapkan polis perlu menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan umno. Bertindaklah secara professional, beri keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan umno BN.

7. Pas yakin tindakan ini sebagai satu usaha, kerana umno sudah berada penghujung hayat, kerana apa yang dikhabarkan oleh umno, rakyat tidak percaya. Maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis menganggu ceramah Pas dan Pakatan Rakyat.

8. Pas yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan umno/Bn, dan yang paling kita bimbang moral dan emej polis akan tercalar di mata rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, kesemuanya mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan.

Thursday, July 29, 2010

JAKIM Perlu Perkenalkan Logo HARAM


1. Kini lambakan barangan atau produk haram bagi ummat Islam kian bertambah malah semakin membimbangkan ummat Islam . Lebih malang terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

2. Fenomena ini mencetus kekeliruan dan memerangkap ummat Islam dalam persaingan dunia perniagaan yang tidak bertanggungjawab .

3. Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius perlu dilakukan oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama seperti JAKIM , pihak berwajib ini juga mesti berani untuk mengisytiharkan produk - produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan ummat Islam .

4. Setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal , saya kira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo Haram untuk menjauhkan masyarakat ummat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram .

5. Sebelum ini , telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal , sementara pihak JAKIM tidak mempunyai skuad yang memadai untuk membuat pemantauan yang serius.

6. Saya jangka , andainya JAKIM mengisytiharkan produk - produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo Haram jika mereka berkeras juga untuk menjual produk tersebut , peluang untuk lambakan barangan haram dipasaran akan menjadi lebih kecil . Pasti tiada siapa yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo Haram jika mereka benar - benar mahu mencari produk halal di pasaran.

7. Sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod - kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk haram yang diimport dari Israel. Kod - kod barangan yang mengandungi bahan - bahan haram hendaklah diganti dengan logo Haram .

8. Jika logo Haram dapat dikuatkuasa , maka mudahlah bagi JAKIM yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau , justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran .

9. Risiko pemalsuan logo Haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal . Lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna .

10. Kaedah Islam , asal sesuatu perkara [ produk ] ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram . Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal . Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu Logo Haram bukan logo halal .

Gambar di atas saya cadangkan sebagai Logo Haram atau selainnya terpulang kepada pihak JAKIM .

Wednesday, July 28, 2010

FDI : Dunia Hilang Kepercayaan


1. Perlu diinsafi bahawa merudumnya FDI [ Foreign Direct Investment ] 81% [ kini jatuh pada nilai RM 4.43 billion ] adalah berpunca dari hakisnya kepercayaan dunia kepada kualiti pengurusan dan pentadbiran negara .

2. Hilang kepercayaan adalah sebahagian daripada satu kehinaan dan malapetaka yang sedang dirasai oleh negara mutaakhir ini . Negara seperti hilang nilai jati diri sebagai sebuah negara yang berdaulat dan disegani oleh pihak lain .

Asas kepada hakisnya tahap kepercayaan dunia kepada negara kita ialah berpaksi kepada beberapa perkara seperti :

  • Korupsi yang membarah
  • Ketidaktelusan dalam sistem kehakiman
  • Imej Perdana Menteri yang lemah
  • Pemerintah yang tiada 2/3 majoriti di Parlimen
  • Tahap nilai demokrasi yang luntur
3. Retorika ekonomi kerajaan yang cuba untuk mengulit atau mendodoi rakyat kononnya negara sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat adalah sangat memalukan .

4. Bukan sahaja dengan indeks FDI yang merudum tetapi rakyat masih terpinga - pinga dengan langkah drastik kerajaan menaikkan harga minyak petrol , diesel , gas dan gula atas alasan pelarasan semula subsidi negara kepada rakyat .

5. Sepatutnya , jika Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat sebagaimana yang didakwa , rakyat akan mendapat manafaat atau faedah daripadanya , tetapi apa yang berlaku ialah darah dan lemak rakyat disedut rakus oleh kerajaan .

6. Saya melihat sandiwara ekonomi ini mula disedari oleh para pelabur di peringkat antarabangsa bahawa Malaysia sebenarnya sedang bergelut dengan kelembapan ekonomi yang semakin kritikal dan yang paling malang mereka sedang menyaksikan sebuah kerajaan yang rakus sedang memperdaya rakyatnya sendiri . Jika rakyat sendiri sanggup diperdaya apa jaminan para pelabur asing tidak diperdaya ?

7. Sementelah sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan oleh mereka tidak memiliki akhlak yang menjamin tidak berlakunya penindasan dan penyelewengan . Malah terdedah kepada pelbagai wajah spekulasi yang akan mengorbankan keuntungan pelabur dalam tempoh jangka panjang . Tentunya para pelabur bukan sahaja takut kepada kerugian yang sememangnya telah menjadi risiko kepada sesuatu pelaburan yang dilakukan tetapi yang lebih perit ialah berhadapan dengan manipulasi dan spekulasi yang wajar .

8. Sebab itulah kita menyeru supaya kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan BN agar menerima Islam atau kembali kepada sistem syariat Islam agar mampu mengembalikan semula izzah bersama ketinggian akhlaknya.

9. Saya yakin , kemuliaan dan ketinggian akhlak Islam yang berpaksi kepada iman dan taqwa akan memahat kembali keyakinan bermuamalah [ urus niaga ] di semua peringkat dan sekaligus boleh mengembalikan kestabilan ekonomi dan akhirnya memulangkan faedah yang lumayan buat rakyat .

10. Negara kita bukanlah miskin sehingga terpaksa mengemis kepada pihak pelabur atau mana - mana pihak kuasa ekonomi antarabangsa justeru negara kita mempunyai hasil mahsul dan sumber yang banyak dan mencukupi . Tetapi malang pengurusan yang salah dan berlandaskan nafsu rakus individu tertentu akhirnya mempamerkan kepada dunia betapa kekayaan Malaysia hanya berlegar pada kelompok tertentu . Fenomena ini mencetus rasa tidak puas hati dan penentangan dari rakyat marhain lantas menimbulkan pula satu persekitaran politik dan ekonomi yang tegang serta terancam dan ini turut menggusarkan para pelabur .

Saturday, July 24, 2010

Ijtimak Tarbawi Pemuda\i Peringkat Kebangsaan

1. Insyaallah pada bulan oktober 2010 tanggal 1 , 2 dan 3 haribulan , Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Akademi Tarbiyyah Pemuda sekali lagi akan melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila satu Ijtima' Tarbawi Pemuda\i Peringkat Kebangsaan akan dianjurkan di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu .

2. Ijtima' ini bakal menghimpun 3500 jentera pemuda yang merupakan penggerak dan pengamal tarbiyah disemua peringkat organisasi Dewan Pemuda sebelum satu lagi himpunan besar yang akan menghimpun 30 ribu petugas dan penggerak pilihanraya pemuda pada awal tahun depan di negeri Selangor atau Kedah .

3. Ijtima' Tarbawi Pemuda\i Peringkat Kebangsaan adalah himpunan untuk memperkasakan penghayatan dan perlaksanaan amal tarbawi dalam Dewan Pemuda disemua peringkat [ Pusat , Negeri , Kawasan dan cawangan ]

4. Himpunan itu akan bermula pendaftarannya selepas solat jumaat 1 oktober 2010 [ 3.00 - 4.30 pm ] dan akan berakhir dengan solat zuhur pada hari Ahad 3 oktober 2010 [ 2.00 pm ] . Lokasi himpunan ini ialah ruang Masjid Rusila untuk aktiviti indoor sementara perkarangan Masjid Rusila [ mukhayyam \ perkhemahan ] untuk program yang bersifat outdoor .

5. Antara program menarik dan penting ialah :

  • Pembentangan kertas dan taujihat Tarbiyyatur Ruuhiyyah : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil YAB Tuan Guru Dato' Bentara Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat [ al Mursyidul Am PAS ]
  • Talaqqi [ menadah kitab ] Tafsir surah al Hujurat [ sehingga khatam dalam tempoh 3 hari ] : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]
  • Amanah Khas Amal Tarbawi oleh : Muraaqibul Am Ikhwanul Muslimin Jordan [ Penterjemah : al Fadhil Ustaz Mohd Khalil Tuan Guru Hj Abdul Hadi ]
  • Taujihat [ motivasi ] Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 1 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Dato' Yahya Othman [ mantan Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ]
  • Taujihat Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 2 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Yb. Dato' Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]
  • Pidato - pidato Tarbawi Oleh :
Al Fadhil Yb. Ustaz Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]
Al Fadhil Ustaz Dato' Hj Abu Bakar Chik [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

  • Aktiviti spiritual seperti qiamulail , munajat , al Mathurat al Kubra dan banyak lagi aktiviti yang menarik bersifat amal tarbawi akan dilangsungkan .

6. Komander program besar ini ialah al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi Akademi Tarbiyah Pemuda . Insyaallah selepas selesai retreat Dewan Pemuda PAS Pusat pada awal ogos nanti , beliau akan keluarkan arahan rasmi kepada semua peringkat [ negeri dan kawasan ] untuk mengambil tindakan selayaknya .

7. Saya mengambil langkah mengisytiharkan terlebih dahulu program ini untuk makluman awal kepada semua pihak agar mengosongkan tarikh [ 1 - 3 oktober 2010] bermula dari EXCO DPPP , EXCO DPPN sehinggalah kepada AJK DPP Kawasan dan Jawatan kuasa Pemuda cawangan [ JPC ]

8. Sementara menunggu arahan dan prosuder rasmi dari Akademi Tarbiyah Pemuda , saya harap beberapa tindakan awal bolehlah diambil sekarang , terutama tuan rumah DPP Negeri Terengganu dan demikian juga seluruh negeri kerana ia juga merupakan program induk DPPP . Sementara sasaran program himpunan ini ialah :

  • Seluruh EXCO DPPP [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh EXCO DPPN [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh AJK DPP Kawasan [ tanpa kecuali ]
[ * Juga di buka kepada semua ahli pemuda PAS yang berminat melalui pendaftaran khas direct di pejabat DPP negeri - negeri atau pejabat DPPP .]

9. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sangat mengharapkan agar seluruh pemuda dapat menghadhirkan diri atau menyertai program bersejarah ini untuk kita mengembalikan kemantapan amal tarbawi dan memperkasakan gerakkannya dalam Dewan Pemuda PAS khasnya dan dalam PAS itu sendiri secara amnya .

10. Saya juga mengharapkan para dermawan dan sukarelawan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya PAS menyemarakkan lagi obor Amal Tarbawi agar ia tidak pudar dan malap menghulurkan sumbangan material dan fizikal bagi menjayakannya . Tentunya ini tanggungjawab kita bersama bagi memastikan wajah PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah unggul di negara ini terus hebat dan berwibawa .

Jambori Alternatif Riding Club DPPP

Menyahut cabaran Presiden Alternatif Riding Club [ARC ] sdr Yasser Said agar saya memandu motor cilik . Pengalaman pertama kali tetapi dapat membuat pemanduan dengan baik dan selamat :) sempena Jambori ARC Kebangsaan kali pertama di Pantai Merang Setiu Terengganu [ 22 - 24 Julai 2010 ]

Di apit oleh Sdr Yasser Said - kiri - [ Presiden ARC Kebangsaan ] dan Sdr Sany Hamzan @ Tantani - kanan - [ Pengarah Department of Arts , culture and Sports DACS Pusat ] bersama sebahagian peserta Jombori ARC .

Sebahagian motor yang digunakan dalam pertunjukan pemandu selamat dan menarik .


Khusyuk mendengar beberapa ucapan pimpinan pemuda dalam majlis perasmian Jambori ARC dan Pelancaran logo baru bagi ARC kebangsaan .


Bergambar kenangan sebahagian peserta Jambori ARC Peringkat Kebangsaan kali pertama .
[ lebih 500 orang peserta - sebahagian terpaksa konvoi terpaksa patah balik kerana cuaca ribut]







Kalian adalah anak muda yang dialu - alukan untuk bersama Parti Islam se Malaysia PAS . Kita bina kehidupan yang lebih baik bersama perjuangan Islam tanpa meninggalkan minat kita mendalam terhadap aktiviti permotoran ini .

Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak menghalang kalian selaku anak muda untuk menyertai atau menganggotai PAS justeru PAS adalah sebuah platform untuk semua dengan pemurnian lebih baik dan bernilai terhadap gaya dan cara hidup anak muda .






Thursday, July 22, 2010

ISA : Manifestasi Menolak Islam

1. Dewan PEMUDA PAS Pusat [DPPP] menyatakan kekesalan atas tangkapan terbaru ISA terhadap seorang pemuda, Fadzlullah yang ditahan di Sg.Buloh tempohari.

2. Fadzlullah, 28, ditahan di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu sekitar jam 11 malam oleh seorang pegawai polis berpakaian seragam serta 14 pemuda berpakaian biasa yang dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. Polis hanya mendakwa beliau mengunakan kedudukannya sebagai guru agama untuk merekrut pelajar menjadi ahli Jemaah Islamiah (JI).

3. Akhbar melaporkan kononnya Fadzlullah ada kaitan dengan seorang pendakwah dari Syria, Aiman Dakak dan seorang guru dari Malaysia, Azzahari Murad. Pada Januari tahun ini, Aiman ditahan dengan sembilan orang lagi atas alasan disyaki pengganas, manakala Azzahari masih ditahan di bawah undang-undang pencegahan.

4. DPPP menyifatkan tangkapan terbaru ISA ini membuktikan bahawa kerajaan UMNO/BN gagal mendengar suara rakyat. Kalau dalam tindakan menarik balik Lesen Judi Bola, PM mengatakan kerajaan ‘mendengar’ rintihan rakyat namun beberapa tindakan kerajaan kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan yang kerajaan mengambil kira suara rakyat. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak dan barang baru-baru ini. Dengan mengumumkan kenaikan ketika hari terakhir parlimen bersidang sehingga tidak sempat hendak dibahaskan, adakah ini melambangkan kerajaan mendengar suara rakyat?

5. Begitu juga dalam isu ISA ini, sememang tindakan kerajaan bermotifkan politik demi memuaskan hati sekutu mereka iaitu AS. DPPP juga mempertikai kerajaan UMNO/BN yang memberikan alasan keagamaan untuk menghalalkan akta zalim ini . Ternyata UMNO/BN hanya berlakon untuk mengaburi mata rakyat supaya menyokong mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Jika mereka mempunyai bukti kukuh , kenapa tidak bawa sahaja ke muka pengadilan . Mengambil proses keadilan dengan memberi hak tertuduh membela atau mempertahankan diri .

6. Jika kezaliman ini berterusan dilakukan oleh kerajaan yang ditunjangi oleh mereka keatas rakyat [ menahan tanpa bicara ] maka janganlah UMNO dan BN mengharapkan rakyat menyokong mereka , jauh sekali untuk menerima tawaran perpaduan yang dilaungkan mutaakhir ini . Kerana kezaliman nyata tidak boleh bersatu dengan Islam sebagaimana Islam wajib menolak kezaliman .

7. Saya menyeru supaya rakyat bangkit berjuang untuk :

mendaulatkan syariat Allah swt . Mengenepi faham kebangsaan dan perkauman sempit serta menentang kezaliman sehabis - habisnya dan dalam masa yang sama selamatkan insan walau siapa dia dari terjebak dalam kezaliman sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw .

"Tolonglah saudaramu yang dizalimi dan yang melakukan kezaliman . Lalu sahabat bertanya : Ya Rasulullah , menolong orang yang dizalimi itu sedia difahami tetapi bagaimana menolong orang yang melakukan kezaliman ? Lalu Nabi saw menjawab : Tahan dirinya daripada melakukan kezaliman ."


Wednesday, July 21, 2010

Aslim Taslam : Terima Islam Kamu Selamat

1. Nabi saw ketika dihantar atau diutus oleh Allah swt berdepan dengan masyarakat Jahiliyyah kuno yang keras menentang Islam . Malah ummat manusia dalam keadaan berpecah antara satu sama lain . Mereka bertelagah dan bersengketa malah berbunuh - bunuhan antara satu sama lain . Dunia waktu itu porak peranda .

2. Nabi saw menghantar surat kepada semua pemuka - pemuka kaum dan pihak berkuasa negara supaya menerima Islam untuk menyelamatkan mereka dan generasi yang akan datang . Ummat manusia disatukan dengan Islam . Aslim Taslam : Kamu terima Islam kamu selamat .

3. Saya lihat hari ini , negara kita juga terjebak dalam kancah Jahiliyyah , cuma ia moden berbanding dulu . Maksiat bertambah , mungkar bertambah , rasuah berleluasa . Semuanya gara - gara pemerintahan negara kita yang diterajui oleh UMNO dan BN tidak memerintah dan mentadbir berdasarkan Islam .

4. Tanpa Islam negara kita jadi begini . Sosialnya parah dan politiknya kejam . Ekonomi menindas dan tentunya rakyat marhain menjadi mangsa . Terbaru ialah kenaikan harga barang yang dilunakkan dengan Penyelarasan semula subsidi kononnya .

5. Ringkasnya , dunia hari ini khasnya negara kita juga perlukan surat atau risalah Rasulullah saw ini iaitu Aslim Taslam . Ianya sesuai dihantar sewaktu UMNO dan BN ghairah mengajak PAS bersatu . Saya kata : Pelan Damai untuk ummat ini ialah Islam atau dalam erti kata lain ialah Aslim Taslam . Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Pastinya ia merupakan seruan kepada semua bukan terhenti antara PAS dan UMNO tetapi kepada seluruh rakyat dalam negara ini dan juga semua parti dan NGO .

Dengan itu , saya berlepas diri ini dengan apa jua percubaan siapa jua untuk memesongkan dan menyalah tafsirkan maksud saya dalam Pelan Damai yang saya cadangkan kepada seluruh ummat Manusia dalam negara ini . Pelan saya mudah : Aslim Taslam : Islamlah nescaya kamu selamat . selebihnya : No Islam No Talk .

Perpaduan Melayu: PAS Tidak Perlu Defensif

1. Sehari dua ini isu Perpaduan Melayu seperti "ibu pelaris" bagi media di pasaran . Pelbagai pandangan dan idea dapat dilihat ketika mengulas isu ini . Samaada melewati media arus perdana , media milik parti masing - masing ataupun di media baru [alternatif] .

2. Ada yang setuju 100% tanpa syarat , ada yang tidak setuju 100% tanpa ruang , ada yang setuju tetapi bersyarat .

3. Saya sendiri mempunyai pandangan peribadi dalam perkara ini dan saya jangka pandangan saya bertepatan dengan semangat perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Terdahulu telah saya nukilkan sebahagian pandangan saya melalui posting saya sebelum ini . [klik]

[ Tetapi secara officialnya pandangan saya tidak mewakili parti secara rasmi ] . Justeru itu saya bersedia untuk berdepan dengan pandangan yang berbeza , penuh hormat dan sangka baik .

4. Asasnya saya dirikan pandangan itu bukanlah lahir dari congakkan idea tanpa saya meneliti dan memerhati suara orang ramai terutama mereka [ orang awam ] yang saya temui setiap kali selesai menyampaikan kuliah di masjid dan surau saban hari . Akhirnya rumusan yang saya buat ialah :
  • Ummat Islam mesti bersatu . Rata - rata ummat Islam ialah melayu . Secara mantiqinya ialah melayu mesti bersatu . Namun bersatu atas flatform atau premis Islam . Islam menjadi syarat . Justeru itu saya sangat tidak bersetuju dengan anjuran perpaduan tanpa syarat . Perpaduan itu hanya berjaya dan diredhai oleh Allah swt apabila diikat dengan syarat Islam.
  • Semua pihak mesti kembali kepada Islam . Ayat al Quran yang menganjurkan perpaduan ummah ini telah wujud sejak awal sebelum lahirnya parti - parti politik dalam negara kita . Aus dan Khazraj satu bangsa yang bertelagah di bumi Madinah sejak puluhan malah ratusan tahun . Namun ia disatukan oleh Rasulullah saw dengan kalimah Toiyyibah Laa Ilaahaillallah .
  • Bangsa , material dan kuasa tidak boleh dijadikan premis kukuh untuk perpaduan ummah . Sayang bangsa namun binalah bangsa itu atas agama dan syariat Islam . Sayang material tetapi kawallah material itu dengan kawalan agama dan syariat Islam . Sayang kuasa tetapi bentuklah kuasa itu dengan acuan agama dan syariat Islam .
  • Seperkara lagi ialah , kalau kita bercakap soal perpaduan , kita tidak boleh hanya bercadang untuk bersatu sesama kita bangsa melayu atau ummat Islam sahaja , sementelah lah perpaduan sesama ummat Islam itu hukumnya wajib, tetapi juga mesti ada plan dan perancangan berperingkat untuk bersatu bagi semua bangsa dan kaum , juga berteraskan ajaran Islam [ dalam erti kata lain , melibatkan semua parti bukan antara PAS dan UMNO sahaja dan PAS sekali - kali tidak akan keluar dari PAKATAN Rakyat] . Samaada mereka menganut ajaran Islam [menjadi saudara baru] atau mereka kekal dengan agama mereka tetapi menerima dasar kebaikan dan keadilan yang dibawa oleh Islam .
5. UMNO hulur dan tawarkan perpaduan kepada kita . Saya sarankan agar kita [ PAS ] tidak perlu menolak tawaran itu . Terimalah tawaran untuk perpaduan ummah kerana kita tidak mahu perpecahan , tetapi kita WAJIB letak syarat iaitu Islam . Kerana tanpa Islam , tawaran perpaduan itu sia - sia lantaran ia tidak mungkin dapat dibina dengan baik dan kukuh . Masih segar dalam ingatan saya malah selalu terngiang - ngiang di telinga saya , apabila al Mursyidul Aam PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan segala kerendahan dirinya berkata : "Kalau UMNO terima Islam, PAS ni tak ada pun tak apa !"

6. Dalam kenyataan lain pula , Tuan Guru Nik Abdul Aziz selalu mengulang pendiriannya : "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka, kita bubar PAS" cuma mungkin saya berbeza sikit dengan Tuan Guru dalam menyusun ayat tersebut . kalau boleh saya sebut: "Kalau UMNO terima Islam sebagai dasar perjuangan parti mereka , maka bubarlah UMNO , Jom sertai PAS" sebab , masa tu perjuangan UMNO dan PAS telah serupa dan sama . Kalau bubar PAS yang telah sekian lama dibina dengan sistem Islam dan tarbiyyahnya , ikhlasnya saya sebut ia akan merugikan masa kita , kerana membina UMNO baru yang belum memiliki sistem tarbiyyah islamiyyah , akan memakan masa yang lama untuk menjadikan ia mantap .

7. Saya sebut kepada umum dan juga wartawan yang bertanya , jika UMNO ikhlas dan serius mahukan perpaduan sebagaimana tawaran yang berikan , maka sewajarnya UMNO menerima syarat yang diberikan iaitu Islam . Apakah UMNO sukar untuk menerima Islam ? Apakah payah UMNO mahu menerima syarat Islam ? Bukankah pemimpin dan rata - rata ahli UMNO adalah beragama Islam ? Kita bukan letak syarat supaya UMNO bubarkan partinya , cuma kita minta supaya UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan . Sukarkah begitu ? Kalau sukar , maka sukarlah kita ummat Islam mahu bersatu.

8. Saat itu , jangan lagi dituding PAS tidak mahu perpaduan ! PAS punca perpecahan ! dan sebagainya . Kerana kita mahukan perpaduan . Kita mahu supaya ummat melayu bersatu padu atas dasar Islam dan perjuangannya. Kerana nas al Quran pun kata begitu , bidalan orang - orang tua pun kata begitu . [ Bersatu teguh bercerai roboh ] . Masa tu , jangan sesiapa mengatakan PAS tidak mahu bersatu padu . Bahkan yang tidak mahukan perpaduan ialah UMNO semata - mata kerana tidak mahu menerima syarat mudah yang kita letakkan iaitu Islam .

9. Saya mendoakan agar UMNO menerima Islam . Apabila UMNO menerima Islam maka itu tali Allah yang akan mengikat kita menjadi satu dan kuat . Saya tidak suka UMNO bukan semata - mata kerana namanya UMNO , tetapi kerana dasarnya yang tidak Islam malah banyak perkara bertentangan dengan Islam . Selama UMNO tidak menerima Islam , maka selama itu saya tidak boleh suka dan tidak boleh sokong UMNO . Bukan saya tidak mahu sokong UMNO tetapi saya TIDAK BOLEH sokong UMNO kerana ia tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya .

10. Jika UMNO insaf dan kembali kepada dasar dan prinsip Islam lalu menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya . Melaksanakan al Amru bil Makruf dan an Nahyu anil mungkar yang menjadi sebahagian teras syariat Islam dan berjuang untuk mendaulatkan syariat Islam di dalam negara ini , maka pada waktu itu saya berjanji , saya akan sokong perjuangan UMNO .

Akhirnya . UMNO hanya berdepan dengan syarat mudah untuk menjayakan tawaran perpaduannya itu . Syarat yang saya maksudkan ialah ISLAM . Bagi pihak PAS pula , saya sarankan agar tidak perlu defensif dengan isu perpaduan melayu yang rata - ratanya adalah ummat Islam . Bukan sahaja Dato' Harussani bahkan siapa jua boleh mengusahakan usaha murni mewujudkan perpaduan ummat Islam dalam negara kita selama mana syarat Islam itu menjadi prinsip . Kerana segala usaha hanya menjadi murni dan mulia jika kerana Islam . Kalau tidak menerima Islam ini sebagai syarat , segala cita - cita untuk bersatu itu berkecai . Orang putih kata : No Islam No talk !


Sunday, July 18, 2010

Penyelarasan Semula Subsidi: Sebuah Puisi ...

1. Kalau harga petrol naik 5 sen satu liter ertinya RM2.00 bagi setiap 40 liter . Saya sebut demikian sebab mana ada kereta yang bubuh minyak satu liter sahaja. Begitu juga dengan gas , naik harga 10 sen satu kilo , maka satu tong naik RM 1.40 . Justeru , tidak pula pernah saya dengar ada orang beli gas hanya satu kilogram .

2. Gula juga mengalami kenaikan harga mendadak pada kadar 25 sen satu kilo menjadikan harganya kini RM 1.90 sekilo .

3. Syahdunya kali ini kerajaan cukup bijak menyembunyikan "agenda" apabila mewajarkan kenaikan harga barang ini dengan menggunakan istilah penyelarasan semula subsidi demi kepentingan ekonomi negara , sebagai sebuah puisi yang mampu mengulit rakyat .

4. Saya melihat pelarasan subsidi ini tidak adil kepada rakyat terutama rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak tetap . Mereka terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang keperluan ini berbanding mereka yang berpendapatan tinggi dan mereka yang mendapat pembiayaan kerajaan .

5. Allah swt telah memberikan anugerah kekayaan yang melimpah ruah kepada negara ini melalui hasil mahsul dan bahan mentah yang begitu banyak . Kekayaan ini adalah nikmat Allah untuk dirasai oleh seluruh hambaNya . Malangnya hasil kekayaan ini hanya berlegar dikalangan orang - orang kaya dan pembesar dikalangan mereka . Sepatutnya hasil kekayaan negara yang dibahagikan kepada rakyat untuk dinikmati bersama itu , bukan subsidi tetapi mengembalikan hak rakyat kepada rakyat untuk dinikmati .

6. Ingat , rakyat bukan pengemis dalam negara sendiri yang berdaulat sehingga apa jua hasil negara yang patut dinikmati oleh rakyat disebut sebagai subsidi . Kini , Masyarakat atau rakyat yang berpendapatan rendah terus dihambat resah dan dibelenggu rasa bimbang berdepan dengan peningkatan taraf hidup pada hari ini . Pastinya apabila minyak setiap kali diisi mengalami kenaikan RM 2.00 [ untuk setiap 40 liter ] dan gas RM 1.40 setiap satu tong serta gula 25 sen sekilo akan menyaksikan kenaikan harga barangan lain dipasaran .

7. Walaupun kerajaan berjanji untuk mengawal kenaikan barang di pasaran tetapi pengalaman kita sebelum ini hanya menyaksikan satu kegagalan yang berterusan . Mereka pantaulah buat sehari dua ini , kemudian rakyat akhirnya pasrah begitu sahaja dengan kenaikan harga barang yang tiada siapa lagi bangkit berjuang membela nasib rakyat tertindas selepas itu .

8. Istilah Penyelarasan subsidi juga dilihat sebagai istilah tidak tepat dan wajar dilakukan oleh kerajaan . Lantaran apalah ertinya , sebuah kerajaan jika tidak memberi kepada rakyat akan nikmat yang wajar dinikmatinya . Rakyat berhak memiliki agihan saksama kekayaan negara . Kecualilah negara kita adalah sebuah negara yang miskin dan tidak mempunyai sebarang hasil , di darat mahupun laut .

9. Alasan kerajaan ialah untuk mengawal dan mengimbang ekonomi negara lalu "pelarasan semula subsidi dilakukan ." Kalau benar sekalipun untuk tujuan peningkatan dan penumbuhan ekonomi negara , kerajaan tidak perlu malah tidak berhak mengambil dan meragut hak rakyat menikmati hasil negara ini . Kenapa tidak kerajaan membaik pulih kebocoran dan ketirisan yang berlaku pada pembendaharaan ekonomi negara dan sistem pengendalian kewangan negara .

10. Selayaknya langkah awal dan drastik yang wajib diambil oleh kerajaan ialah mengelakkan pembaziran dan pemborosan wang negara pada projek yang tidak mendatang keuntungan kepada rakyat . Pembiayaan wang negara pada jumlah yang besar kepada syarikat konsultan seperti APCO , kapal selam yang tidak boleh menyelam dan projek - projek mega yang dilihat sebagai bukan keutamaan berbanding kebajikan rakyat yang wajib diperjuangkan oleh kerajaan .

11. Kerajaan dilihat lebih zalim dan tidak bertanggungjawab apabila menaikkan harga barang , mereka terus mendiamkan diri dari berbuat sesuatu untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan tidak tetap demikian juga kepada penganggur yang semakin meningkat kadar bilangan mereka .

12. Tidak mustahil , ekoran kos kehidupan yang mula meningkat naik , meletakkan masyarakat lebih tertekan untuk bersaing dalam dunia yang tidak adil kepada mereka . Akhirnya keadaan ini menjerumuskan mereka ke dalam kancah jenayah yang mereka sendiri tidak merestuinya seperti mencuri , menyeludup dan sebagainya . Sementara kerajaan juga dilihat bersikap acuh tidak acuh dalam membina dan mendidik spiritual rakyat agar mereka menjadi insan yang soleh dan bermoral .

Friday, July 16, 2010

Hakim Wanita dan Peguam Non Muslim

1. Wanita menjadi Hakim Mahkamah Syariah

Kes yang berlaku :

(KUANTAN: Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM. Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.)

Asal masalah ini adalah pada perkara yang melibatkan kepada perlantikan hakim dan secara mudahnya kita perlu untuk meneliti pada beberapa perkara agar masalah ini tiada lagi kesamaran.

a- Hakim dan bahagiannya
b- Syarat bagi perlantikan hakim

Hakim di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai قاضي. Ianya membawa erti pegawai yang dilantik untuk mengetuai perbicaraan di dalam mahkamah dari segi bahasanya.

Mengenai jenis-jenis kehakiman ini, ianya telah disebut oleh sebahagian ulama di dalam masalah "al-wilayah" iaitu kekuasan. Kekuasaan ini terkadangnya umum dan terkadangnya khusus. Bentuk kekuasaan yang umum ini adalah merangkumi semuanya jenis kehakiman, perlaksanaan hukuman hudud, menunaikan hak-hak, meleraikan orang yang bertelagah dan sebagainya.

Adapun penguasaan yang khusus adalah individu yang dilantik mempunyai penguasaan di dalam sistem kehakiman secara terhad dengan melihat kepada kes-kes yang tertentu atau kawasan yang tertentu daripada bandar, atau dari sudut masa yang tertentu, atau di antara individu-indivdu yang tertentu dan bergantung pada mazhab yang tertentu. Asasnya adalah di dalam kelompok kedua ini, skop kehakiman mereka terbatas pada masa, mazhab dan tempat sahaja.

Adapun mengenai syarat untuk dilantik sebagai hakim, para ulama telah bersepakat dengan syarat-syarat yang berikut :

1- Akal
2- Baligh
3- Islam
4- Merdeka
5- Tiada cacat pada sekalian panca indera
6- Memahami akan hukum-hukum Islam

Di sana masih berbaki 3 lagi syarat yang ulamak bersalahan pendapat padanya iaitu :

1- Seorang yang adil
2- Lelaki
3- Seorang yang mujtahid

Pandangan Ulama mengenai perlantikan wanita sebagai hakim

1. Ulama yang menegah wanita dari menjadi hakim secara mutlak antaranya ;

Jumhur fuqaha' daripada Syafi'iah, Hanbilah, sebahagian ulama Hanafiah dan Malikiah. Antara lainnya adalah Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Lajnah Fatwa al-Azhar tahun 1952, Dr Abdul Majid al-Zindani dan ramai lagi.

2. Ulama yang mengharuskan wanita dilantik sebagai hakim pada perbicaraan sivil tidak pada jenayah yang memerlukan pelaksanaan hudud ; Imam Abu Hanifah ra

3.Perempuan boleh menjadi hakim pada semua perkara

Sebahagian ulama daripada Hanafiah, Imam ibnu Qosim al-Maliki, Imam Ibnu Jarir at-Thobari dan Ibnu Hazm ad-Dzohiri.

2. Orang bukan Islam menjadi peguam di Mahkamah Syariah

Secara asasnya untuk melantik hakim antara syarat yang perlu dilengkapi adalah Islam. Jadi kesimpulannya orang bukan Islam tidak boleh menjadi hakim di Mahkamah Syariah. Persoalannya bagaimana pula dengan peguam?.

Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali k.w selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Asalnya khalifah Ali kehilangan baju besinya. Tiba-tiba terlihat ia dalam barang jualan seorang Yahudi, lelaki tersebut kelihatan sedang menjualnya di pasar. Apabila dituntut oleh khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi tersebut enggan mengaku dan menegaskan ia adalah miliknya. Ali terus menuntut membawa pertikaian mereka mereka ke penghakiman hakim Muslim.

Hasil dari itu, kes mereka berdua yang berselisih dalam menentukan pemilikan terhadap baju besi tersebut dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi r.a (wafat 78 H). Lalu Syuraih bertanya kepada Ali, apakah kisahmu?

Khalifah Ali : aku mendapati baju besi milikku yang jatuh tercicir pada malam hari berada di dalam barang jualan lelaki ini.

Qadhi Syuraih : bagaimana pula kamu wahai lelaki?

Lelaki Yahudi : Ia adalah milikku dan berada dalam simpananku, aku tidak pula menuduh Ali berbohong.

Qadhi Syuraih : Wahai Ali, aku tidak syak atas kejujuranmu namun kamu mesti mempunyai dua orang saksi. Adakah kamu mempunyai bukti ia milikmu?

Jawab Khalifah Ali : Ya, kedua anakku, Hasan dan Husain menjadi saksi bahawa ia kepunyaanku.

Qadhi Syuraih :Sesungguhnya penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes ini tidak diterima.

Khalifah Ali : Subhanallah!. Adakah lelaki yang dijamin syurga tidak diterima penyaksiannya ( merujuk kepada Hasan dan Hussain yang disebut oleh nabi akan menjadi pemuda Syurga)

Qadhi Syuraih : bahkan wahai Amirul Mukminin, namun aku tidak boleh membenarkan penyaksian anak menyokong bapanya dalam kes ini.

Qadhi Syuraih : Wahai lelaki, ambillah, baju besi itu adalah milikmu.

Lelaki Yahudi berkata :

أمير المؤمنين قدمني إلى قاضيه! وقاضيه يقضي عليه! أشهد أن هذا الدين على الحق، وأشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً عبده ورسوله، وأن الدرع درعك يا أمير المؤمنين، سقطت منك ليلاً.

Ertinya : Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya.! Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah BENAR, lalu beliau terus mengucap dua kalimah shahadah. Kemudian, berkata : Sesungguhnya baju besi tersebut adalah milikmu wahai Amirul Mukminin, tercicir darimu di malam hari. (Hilyatul Awliya, Abu Nu'aim Al-Esfahani, 4/140 ; Tarikh al-Khulafa, As-Sayuti, 1/185 ; Akhbar Al-Qudhah, Waki', 2/200)

Namun kemudiannya Ali terus menghadiahkannya kepada lelaki tersebut.

Jelas sekali lagi dalam kisah di atas bagaimana lelaki bukan Islam Yahudi ini dibenarkan berhujjah untuk dirinya sendiri. Menggunakan peguam adalah sama seperti berhujjah kepada diri sendiri, kerana peguam hanyalah wakil yang mewakili anak guamannya disebabkan kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan undang-undang yang lebih baik berbanding anak guamannya.

KESIMPULAN

Hasil dari riwayat dalil di atas, buat masa ini saya berpandangan, secara ilmiah, logik dan asalnya, tiada salah mana-mana peguam sama ada dalam kes yang melibatkan harta seperti di atas atau kes kekeluargaan dan sebagainya bertindak selaku peguam bagi anak guamannya tanpa melibatkan perkara-perkara seperti pelaksanaan hudud, qias mahupun ta'zir.

Persoalan peguam ini termasuk dalam bab ‘Al-Wakalah bil Khusumah' atau ‘Al-Wakalah Fi Al-Da'wa'.

Ertinya, perlantikan seseorang terhadap peguam untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan. Disebutkan dengan jelas oleh para ulama keharusan bukan Islam untuk mewakili orang Islam dalam apa juga kes melibatkan harta, keluarga, hak pusaka dan sebagainya. Imam Ibn Qudamah mengatakan :

وإن وكل مسلم كافرا فيما يصح تصرفه فيه صح توكيله سواء كان ذميا‏,‏ أو مستأمنا لأن العدالة غير مشترطة فيه

Ertinya : sesungguhnya jika seorang Muslim melantik wakilnya seorang kafir dalam perkara yang sah untuk dia lakukannya, maka sah perlantikannya sebagai wakil (dalam konteks perbincangan kita wakil bil khusumah = wakil pembela atau pendakwa), sama ada kafir itu dari kalangan kafir dzimmi, musta'min kerana keadilan itu tidak disyaratkan (berkait) padanya'

(Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah , Bab Wakalah)

Thursday, July 15, 2010

Pelan Damai untuk UMNO dan PAS

1. Sampai Bila Melayu Mesti Bercakaran ? Kita ummat Islam diajar supaya bersatu dengan Tali Allah [ Islam ] dan saling tolong menolong atas premis kebaikan dan Taqwa . Bukan atas premis dosa dan permusuhan .

2. Bagaimana bangsa melayu nak maju dan hebat jika asyik bercakaran dan bertelingkah . Bayangkan betapa banyak masa kita habiskan untuk persengketaan yang tidak membawa kebaikan kepada ummat Islam .

3. Masing - masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur . Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh - musuh Islam tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepinya ini . Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita ummat melayu Islam .

4. Banyak agenda membangunkan ilmu pendidikan , pentarbiyyah diri dan masyarakat , tamaddun dan peradaban negara serta pertumbuhan ekonomi dan zon sosial yang harmonis tergendala akibat pergeseran dan pertelagahan yang begitu lebar jaraknya dan lama tempohnya.

5. Ahli UMNO rata - ratanya melayu dan beragama Islam , demikian juga ahli PAS berbangsa melayu dan beragama Islam . Malah seorang ahli UMNO pasti sahaja memiliki ahli keluarganya yang menjadi ahli PAS . Demikian sebaliknya ahli PAS juga mempunyai ahli keluarganya dari kalangan UMNO . Persoalannya sampai bila melayu UMNO dan PAS ini mahu bertelagah sehingga menjejaskan keharmonian berkeluarga .

6. Saya kira UMNO dan PAS perlu ada pelan damai untuk menamatkan persengketaan yang panjang ini . Kebanyakan kita ummat melayu tentu telah berasa bosan dengan pertelagahan ini . Terutama menyaksikan gelagat pemimpin yang memburu kepentingan politik lalu mengeksploitasi sentimen kebencian antara kedua - dua belah pihak.

7. Kita juga tidak mempunyai banyak masa . Untuk menjayakan pelan damai yang saya cadangkan ini , semua pihak mesti berlapang dada . Korbankan perasaan dan kemahuan untuk bertolak ansur mencari nokhtah damai atau gencatan senjata . Laksana Aus dan Khazraj yang bersengketa ratusan tahun , akhirnya dengan Tali Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. , hati - hati mereka diikat dan ditambat kukuh untuk menjadi "satu" dan erat dibawa canopy Islam .

8. Khibrah atau pengalaman penyatuan melayu pernah berlaku dalam sejarah politik tanahair apabila PAS menyertai Perikatan seketika dulu . Namun 1001 masaalah lampau telah menjadi sejarah bahawa akhirnya penyatuan itu gagal apabila PAS ditolak keluar dari Perikatan pada masa itu . Tidak mengapalah pada sejarah lampau . Demi sebuah penyatuan melayu yang hari ini dicanang sendiri oleh para pemimpin UMNO , kita sedia membina sejarah baru khasnya generasi muda hari ini .

9. Walaupun sejarah perit telah dilalui oleh PAS sewaktu ditolak keluar dari Perikatan tempoh silam , perit melihat pembunuhan di Memali , perit menyaksikan pemimpin - pemimpin PAS disumbat ke penjara [ ISA ] , perit menyaksikan kerajaan Kelantan dirampas pada 1978 setelah 18 tahun berkuasa sebelum ditakluki kembali pada tahun 1990 ...... PAS seperti boleh melupakan segalanya demi perjuangan untuk mendaulatkan Islam serta penyatuan ummat melayu Islam sebagaimana :

  • PAS bersedia melupakan apa sahaja kenyataan dan tindakan yang pernah dilakukan oleh Yb. Dato' Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau bersama UMNO dan BN terhadap PAS , apabila Yb. Dato' Seri Anwar Ibrahim sanggup dan sedia menghulurkan tangan persahabatannya dengan PAS untuk sama - sama berjuang membasmi rasuah dan menentang penyalahgunaan kuasa .
  • PAS boleh melupakan apa sahaja kenyataan dan tindakan yang pernah dilakukan oleh YAM Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu beliau bersama UMNO dan BN menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan pada tahun 1978 , apabila YAM Tengku Razaleigh Hamzah juga sanggup dan sedia menghulurkan jasa bakti beliau memimpin kebangkitan rakyat dan berjuang bagi pihak rakyat kelantan untuk mendesak agar royalti minyak Kelantan dibayar .
10. Maka , apalah salahnya jika kini UMNO pula mengambil giliran dan langkah serupa seperti dulunya PAS pernah menyertai Perikatan demi penyatuan melayu Islam di era Tun Abdul Razak [ Lagi pun pemimpin UMNO kini yang beria - ia benar mahukan penyatuan ] . Kini di era YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pulalah menghulur tangan , sanggup dan sedia bersama PAS menyertai Pakatan Rakyat memperjuangkan Islam dan bangsa melayu Islam agar kita dapat membina sebuah negara yang aman , makmur , sejahtera , adil , telus , saksama tanpa sebarang pertelagahan atau persengketaan yang merugikan ummat Islam dan bangsa melayu itu sendiri . Kerana saya melihat masa depan negara adalah bersama dengan Pakatan Rakyat dan seluruh parti yang ikhlas serta jujur membangunkan negara berasaskan nilai keadilan dan kesejahteraan yang diajar oleh Islam.

Nota : Itulah pelan damai untuk UMNO dan PAS yang saya maksudkan . Jika ini berjaya , maka kebimbangan UMNO mengenai masa depan kuasa politik orang melayu akan dapat dijawab dan diatasi dan melayu Islam akan menjadi lebih kuat di dalam Pakatan Rakyat . Saya mohon Pelan Damai ini diterima sejujurnya oleh semua pihak . Aslim Taslam : Kamu Terima Islam Kamu Selamat . Ameen Ya Rabbal A'lamin .

Wednesday, July 14, 2010

Saman Ekor adalah ISA kedua Negara

1. ISA adalah satu akta yang zalim kerana menahan dan menghukum tanpa bicara. Begitulah dengan Saman Ekor yang yang dihantar notis samannya terus memaksa penerimanya membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah .

2. Jika seseorang ditahan dalam satu - satu sekatan jalanraya oleh pihak polis trafik ataupun JPJ dan kemudiannya surat saman dikeluarkan agar pemandunya menandatangani surat tersebut , pun tidak bermaksud pemandu itu mesti terus membayar saman tersebut .

3. Sebaliknya pemandu itu akan dihadapkan ke mahkamah . Tandatangan itu hanya persetujuan untuk hadhir ke pembicaraan di mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan dalam surat saman tersebut . Kecuali pihak pemandu mengambil langkah mahu menyelesaikan kes di luar mahkamah dengan membayar kompaun . Itu pilihan yang ada .

4. Saman Ekor jelas menzalimi pengguna jalanraya . Pihak polis seperti mengendap - ngendap atau menyorok mahu mengenakan mangsa . Lalu surat saman dihantar ke rumah dan penerima mesti membayar saman tersebut jika tidak beberapa tindakan lain akan dikenakan seperti tidak boleh menyambung roadtax dan lain - lain .

5. Sepatutnya saman tersebut tidak menghukum rakyat atau pengguna jalanraya sebaliknya membawa mereka ke mahkamah untuk diadili sebab bukan satu kes kesilapan dan kekeliruan berlaku . Apa yang penting rakyat perlukan keadilan dan peluang mereka membela diri jika mereka merasakan mereka tidak bersalah .

6. Jika pihak polis mempunyai bukti yang kukuh , maka usah dirisau kerana pesalah tetap akan dihukum atau tidak terlepas dari hukuman justeru pihak polis mempunyai bukti yang kukuh . Apa yang kita maksudkan ialah memberi ruang proses keadilan itu berlaku .

7. Perkara kedua ialah kerajaan sepatutnya mengambil langkah mendidik rakyat atau pengguna jalanraya agar memandu dengan selamat dan mematuhi peraturan jalanraya . Pengalaman saya di Jepun , setiap kenderaan dibekalkan sejenis alat mengesan kelajuan dan alat itu akan mengeluarkan bunyi siren yang kuat apabila pemandunya memandu melebihi had laju yang dibenarkan .

8. Saya difahamkan bahawa kaedah di Jerman bagaimana beberapa buah kereta peronda polis akan berada di beberapa lokasi pada kadar setiap 5 ke sepuluh kilometer sebelum satu - satu sekatan atau tindakan dikenakan kepada pengguna yang masih melanggar peraturan jalanraya . Cara itu dilihat berkesan dan mengurangkan kadar saman dikeluarkan kepada pengguna jalanraya dan pengguna juga selamat .

9. Apa yang berlaku dalam negara kita seperti pihak berkuasa mahu mengenakan pengguna jalanraya . Malah perkataan " Jerangkap Laju " itu sendiri telah menggambarkan bahawa pihak berkuasa mahu memerangkap bukan mendidik pengguna jalanraya .

10. Pengamatan saya mutaakhir ini , hampir setiap kali menghadapi pilihanraya umum akan timbul isu seperti saman ekor ini . Seolah - olah kerajaan sedang memeras rakyat untuk mendapatkan wang saku kerajaan UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya umum . Malanglah jika perkara ini benar . Jika begini , Saman Ekor telah menjadi ISA kedua negara untuk terus membelenggu rakyat dengan kezaliman menghukum tanpa bicara

Tuesday, July 13, 2010

Melayu : Marilah Bersatu dengan Tali Allah

1. Secara umumnya , melayu adalah bangsa yang menganut ajaran Islam . Islam pula adalah ajaran yang mengajar supaya seluruh ummatnya bersatu padu dan jangan berpecah belah . Antaranya apa yang difirmankan oleh Allah swt di dalam surah Aali Imran ayat 103 - 105 .

dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah [ Islam ] dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah swt kepada kamu ketika kamu bermusuh - musuhan lalu Allah menyatukan diantara hati kamu [ sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam ] , maka jadilah kamu dengan nikmat Allah swt itu bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu . Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat - ayat keteranganNya supaya kamu mendapat petunjukNya .

dan hendaklah ada diantara kamu satu golongan yang mengajak ke arah kebaikan , menegakkan yang makruf [ syariat ] dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan .

dan janganlah kamu menjadi seperti orang - orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka keterangan - keterangan yang jelas nyata. mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar .


2. Mengambil iktibar dari ayat di atas , kita sewajarnya insaf bahawa Allah menyuruh kita berpegang teguh dan bersatu padu dengan Tali Allah [ Islam ] yang kukuh dan utuh . Tanpanya ummat akan binasa . Justeru itu saya tidak nampak sebab kenapa orang melayu yang rata - ratanya beragama Islam tidak boleh bersatu di atas nama Islam .

3. Orang melayu mesti kembali kepada agama Islam dengan segala syariat dan syiarnya . Tinggallah faham nasionalis [ perkauman ] dan berhijrahlah jasad , pemikiran dan aqidah [ keyakinan ] kepada Islam agama yang dianuti bersama . Islamlah yang menjadikan kita mulia dan hebat . Tanpa Islam maka apalah ertinya melayu . Aslim Taslam [ Islamlah nescaya kamu selamat ]

4. Perpaduan yang dibina diatas premis material , perkauman yang sempit dan pengaruh serta kuasa adalah perpaduan yang rapuh dan tidak mendapat restu Allah swt tuhan yang mencipta kita . Ambillah premis Islam sebagai asas perpaduan yang dicari agar kita kukuh , hebat dan berdaulat serta Allah swt meredhai kita . Harta dan kuasa tidak boleh menyatukan manusia sebaliknya hati manusia hanya boleh diikat dengan Islam . Lihat bagaimana penegasan Allah swt di dalam firmanNya [ surah al Anfaal. Ayat 64 ] :

dan dialah yang menyatupadukan diantara hati - hati mereka . Kalaulah engkau belanjakan segala harta benda yang ada di bumi , nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan diantara hati mereka . akan tetapi Allah swt telah menyatukan padukan diantara hati mereka. Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha bijaksana .

5. Islam tidak pernah menghalang kita berbangga dengan bangsa dan bahasa kita malah Nabi saw juga sangat menyintai bangsa dan bahasanya , namun apa yang penting ialah bangsa dan bahasa itu ditegakkan di atas nilai Islam yang suci sebagai agama yang diturunkan oleh Allah dan Islam menjadi platform perjuangannya .

6. Negara kita Malaysia hanya mempunyai sebuah platform atau parti [ PAS ] yang berjuang untuk menegakkan Islam dan mendaulatkannya . Objektif perjuangannya adalah untuk menegakkan keadilan , kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana ia menjadi sebahagian dari nilai Islam yang diperjuangkan . Tanpa saya menafikan kebaikan orang lain , saya menyeru kepada seluruh ummat melayu dalam negara ini , marilah kita bersama dan bersatu dengan perjuangan Islam [ Tali Allah ] ini sebagai platform yang kukuh dan diredhai oleh Allah swt . Ingatlah Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah Ayat 258 :

Tiada paksaan untuk menganut agama Islam , kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan . Oleh itu , sesiapa yang mengkufurkan [tidak percayakan] thaghut dan ia beriman pula kepada Allah swt , maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh dengan simpulan tali Allah yang kukuh yang tidak akan putus . dan ingatlah , Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui .

7. Perjuangan ummat melayu yang tidak berasaskan Islam hanya akan menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan mungkar . Melanggar perintah Allah swt lalu terperangkap dalam penyelewengan , penyalahgunaan kuasa serta penindasan ke atas golongan yang lemah . Lantaran mereka tidak mempunyai pertimbangan dosa dan pahala , mereka senantiasa dijurang kemurkaan Allah swt. Tanpa segan silu dan rasa bersalah , mereka melakukan rasuah , berjudi , minum arak , mendedahkan aurat , bergaul bebas , berzina , menggelapkan wang , peras ugut dan 1001 kefasadan .

8. Persoalannya kenapa susah sangat kita orang melayu untuk kembali kepada Islam ? apakah kerena kita meletakkan ideologi yang dicipta oleh manusia itu lebih tinggi dari wahyu Allah swt ? lalu sayang untuk meninggalkan ideologi tersebut ? Jika semua pihak ikhlas dan jujur mahu mencari masa depan yang baik untuk ummat melayu , agar melayu menjadi hebat , mulia dan terpandang maka satu - satu jalan yang ada dihadapan kita hari ini ialah Islam .

9. Hari ini , ada orang pertikaikan kemana hilangnya kuasa politik orang melayu ? bagaimana nasib orang melayu yang kian terpinggir di kampung - kampung dan desa ? kenapa melayu mesti bercakaran sesama sendiri ? apakah selamanya mereka tidak boleh bersatu ? . Menjawab kepada semua persoalan itu , saya gesa kepada seluruh pemimpin - pemimpin melayu khasnya supaya kembali kepada ajaran dan amalan Islam , agama yang dianuti oleh mereka dan agama yang mempunyai Tuhan yang satu , Kitab yang satu , Nabi yang satu , Kiblat yang satu .

10. Apabila ummat melayu bersatu diatas premis yang kukuh ini iaitu Islam , maka perpaduan itu menjadikan mereka kuat dan utuh . Mereka akan miliki kuasa politik . Nasib mereka akan terbela dengan amalan kebajikan dan takaaful yang disyariatkan oleh Islam . Mereka akan menjadi mulia dengan kemulian akhlak Islam yang menghiasi diri mereka . Mereka akan bersatu dan berdamai dengan plan ukhuwwah serta toleransi yang disyariatkan oleh Islam . Ertinya Islam menjadikan melayu hebat dan mulia .

Monday, July 12, 2010

Pemimpin PAS Selayaknya Sederhana

Pemimpin PAS :
Ambillah Gaya Hidup
Yang Sederhana


1. Sebaik - baik perkara ialah pertengahannya [ sederhana ]
خير الأمور أوسطها.
Tidak melampau [ ifrat ] dan tidak terlalu bermudah - mudah . [ tafrit ] .

2. Sederhana adalah lambang keutuhan dan kemuliaan peribadi . Pemimpin yang hidup dalam kesederhanaan adalah pemimpin yang berjiwa besar justeru ia tidak dipengaruhi oleh nafsu tamak dan gelojoh .

3. Pemimpin yang mengambil gaya dan cara hidup secara sederhana juga merupakan pemimpin yang hebat justeru ia tidak terpedaya dengan bujukan nafsu dan syaithan untuk bermudah - mudah atau meringan - ringankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap tuhannya .

4. Kini rata - rata pemimpin PAS menang pilihanraya menjadi wakil rakyat samaada diperingkat DUN atau parlimen malah ada yang bergelar Menteri Besar dan exco kerajaan negeri . Alhamdulillah , ianya satu penghormatan dan kepercayaan rakyat kepada PAS . Namun berwaspadalah , agar lifestyle kalian masih kekal utuh dalam frame seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , berakhlak dan sederhana .

5. Usah terpedaya dan terpengaruh dengan cara hidup orang lain apatah lagi musuh . Sekalipun kalian memang layak dan memiliki kekayaan melalui cara yang benar dan halal , namun ambil lah hukum wara' atau zuhud dalam kepimpinan dan penampilan kalian . Usah bermewah dengan harta yang dimiliki tetapi tidaklah sampai kelihatan selekeh , lusuh dan tidak ceria . Sederhanalah dalam segalanya .

6. Wara' bukan bermaksud berjalan tunduk tanpa mendongak wajah dan zuhud pula bukan bermakna selekeh tanpa set pakaian yang baru dan kemas . Tetapi wara' dengan maksud tidak berlebih - lebih menggunakan nikmat kekayaan halal yang kita miliki sementara zuhud pula ialah menggunakan nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa hati terpengaruh dan terpaut padanya.

7. Gerakan Islam seperti PAS selayaknya mendokong feqh wasatiah [ kesederhanaan ] ini dalam usaha mendapatkan tempat di sisi Allah swt dan menarik sokongan rakyat kepada perjuangan suci yang didokong . Rata -rata manusia tidak senang dan muak dengan manusia yang berlebih - lebihan dalam penampilan gaya hidup serta menunjuk kaya dan mewah mereka.

8. Feqh wasatiah bukan hanya dipakai dalam aliran pemikiran dan prinsip hidup tetapi juga dalam penampilan , cara dan gaya hidup [ lifestyle ] . Janganlah setahun dua jadi wakil rakyat , perubahan ketara dan mendadak berlaku dalam hidupnya seperti membina rumah besar , memiliki kenderaan baru dan mahal .

9. Bukanlah salah memiliki rumah luas dan kenderaan yang baik , tetapi bersederhanalah . Jika tidak , pemimpin PAS akan kehilangan haibah [ kehebatan ] dan quwwah [ kredebiliti ]. Sifat dan amalan sederhana mendekatkan pemimpin PAS dengan rakyat marhain. Mudahnya amalan bersederhana ini ialah mengambil sesuatu seperlunya . Jika ia perlukan rumah 5 bilik dengan jumlah keluarganya yang ramai maka milikilah , ia menepati keperluan . Demikianlah kenderaan , jika perlukan kenderaan yang baik kerana keperluannya berjalan jauh saban hari mengambil undangan amal islami yang diperjuangkan , maka ambillah justeru ia menepati keperluan . Apa yang tidak disenangi ialah berlebih - lebihan dari had keperluan dan bermewah - mewah .

10. Kita tidak mahu menjadi pemimpin parti yang petah mengungkap serta meriwayat contoh zuhud dan wara'nya Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz , Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ust Azizan Razak , walau mereka dipuncak kuasa tetapi tetap :

  • tinggal di kediaman asal yang serba sederhana ,
  • nilai pakaian mereka seperti rakyat awam ,
  • mereka mengamalkan jimat cermat dalam kehidupan sehariannya ,
  • keraian mereka tidak mewah
  • elaun mereka dikembalikan kekantung pembendaharaan negeri
tetapi malang , jika kita sendiri gagal untuk mencontohinya .


Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive