HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, March 31, 2009

Makluman Kepada Semua Sahabat

Sebentar tadi sempat saya ambil kesempatan sekitar 2 jam untuk melayari blog dan laman web rakan - rakan seperjuangan .

Alhamdulillah , kini telah ramai sahabat menyertai dunia blog dan web site ini . Semoga media baru ini semakin hebat dan mampu menenggelamkan media pengampu .

Cuma saya perhatikan , ramai sahabat - sahabat belum up date alamat blog saya yang di linkkan dalam blog mereka masing - masing . Maka terteralah end note pada senarai blog yang dilinkkan itu " Episode Perjuangan - berpindah 4 week ago - "

Sedang saya up date blog ini hampir setiap hari jika tidak out station bagi menyumbang idea , serta membantu percambahan minda dan fikrah .

Saya harapkan agar sahabat semua dapat up date atau betulkan semula alamat blog saya . Kalau dulu http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com maka kini saya telah berpindah ke :


Monday, March 30, 2009

5 Strategi Kemenangan Kita

Kemenangan yang diburu tidak mudah untuk dicapai , namun kita tidak boleh putus asa . Kerja kuat dan gigih berusaha adalah ikhtiar yang dituntut sebelum kemenangan dikurniakan oleh Allah swt .

Sebegai sebuah Gerakan Islam , sekurang - kurangnya kita mempunyai 5 strategi utama untuk memastikan kemenangan kekal menjadi milik kita .

1. Taqwa. [ taat ]

Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas Rha :


( فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .

Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .

Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .

Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .


Saidina Umar al Khattab .


Berasaskan wasiat Saidina Umar al farouk , petugas parti mestilah memberi perhatian serius agar tiada dikalangan kita terjebak atau terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar . Sebaliknya bertaqwa kepada Allah swt . Melaksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt .

Maksiat dan mungkar menjadi penghalang utama kemenangan dan kalaupun menang , kita bimbang ia hanyalah kemenangan yang rapuh dan menjadi istidraj [ pemberian -kemenangan - yang tidak diredhai oleh Allah swt ]

Semua petugas parti [ pemimpin mahupun ahli biasa ] sewajarnya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dan senantiasa meletakkan diri dalam situasi beribadah kepada Allah swt. Maksud saya , pastikan apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah kerana Allah swt dan ia menjadi ibadah yang soleh walau hanya menampal poster dan memasang bendera .

2 . Juhud [ gigih dan bersungguh - sungguh ]

Biarpun kita telah menang di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan kita harapkan kejayaan hatrik di Bukit Gantang , tetapi kita tidak boleh leka dan over confident . Kerana kemenangan kita sebelumnya di Permatang Pauh , Kuala Terengganu atau lainnya dalam pilihanraya yang pernah kita hadapi , semuanya didahului dengan kerja kuat dan gigih . Tanpa kerja kuat kita tidak akan berjaya . Ini realitinya !

Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin . Malah lampu itu pun tiada ditangan kita , apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita .

Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan . Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan . Lebih malang kalau hanya banyak cakap , komplen sana sini dan memperhabiskan biskut kopi di markaz sahaja .

Saya percaya , jika kita bersungguh - sungguh kita akan menang . من جد وجد

3. Tawakkal . [ bergantung kepada Allah swt ]

Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini . Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat , setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki , kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt .

Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah , Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد - Ya Allah ! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah ! -

4. Munazzamah [ sistematik ]

Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang . Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh parti . Setiap tindakan mestilah melalui syura samaada di peringkat UPU , MTD , Kawasan , Negeri atau Pusat .

Sekalipun kita membawa kebenaran , namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah . الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام

Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematikanya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik .

Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah di pastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan .

5. Istiaanah bissobri was solah . [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ]

Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt , justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini . Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat .

Sabar

Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan . Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut . Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini ? maka Allah swt telah berfirman : إن الله مع الصابرين - Sesungguhnya Allah bersama dengan orang - orang yang sabar .

Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita .
Sabar dalam gerakkerja dan tugas . Jangan merungut dan mempersoalkan arahan .
Sabar , agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh
Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta
Sabar , moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai
Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar
Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan
Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam
Sabar jua dengan karenah pimpinan
Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh
dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar .

Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Wahai manusia ! Jangan sekali - kali kamu bercita - cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt . Andai bertemu jua dengan musuh , bersabarlah ! Namun begitu , ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang .

Solat

Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan . Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada rakyat atau pengundi dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita .

Siang kita mengurus organisasi , mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan , manakala sebelah malamnya pula kita bersimpuh mengadap Allah penuh khusyu' memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini .

Selamat berjuang . Semoga berjaya mencipta hatrik !!

Sunday, March 29, 2009

Bukit Gantang ditawan oleh PAKATAN

PAS mengibar gagah panjinya sebagai isyarat bahawa perjuangan ini tidak akan tergendala walau ditekan hebat oleh UMNO dan Barisan Nasional .


Komitmen luar biasa . Himpunan Luar biasa sepanjang pengalaman saya menyertai perarakan penamaan calon pilihanraya kecil


UMNO guna duit ! kami tak guna duit untuk himpunkan orang ramai !


Dah tak boleh nak lalu , so kami ikut laluan saliran air [ longkang ]




Tapak Penamaan calon dikuasai oleh PAKATAN dari segenap ruang kecuali satu sudut untuk UMNO dan BN berhimpun . Perhatian saya meletakkan 10 kali ganda berbanding jumlah BN


Lautan Manusia membentuk gelombang PAKATAN Rakyat .


Altantuya berada di mana - mana ? pastinya ianya menghantui seseorang :)





Saturday, March 28, 2009

Haramkan PMRAM ? Budak UMNO Biadab

Kebetulan lewat jam 2 am di Ipoh , saya sempat menonton berita di TV sementara menunggu waktu bersahur .

Terkejut seketika apabila saya mendengar ucapan seorang wakil Kelab UMNO Luar Negara berucap di Perhimpunan Agung UMNO dengan nada angkuh dan biadab malah menampakkan kebodohan terlampaunya apabila menggesa UMNO supaya haramkan PMRAM .

Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan di Perhimpunan Agung UMNO kelmarin menggesa supaya PMRAM diharamkan dan biasiswa anggota Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik.

"PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya. "Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut. "Malah, kami sendiri tidak mendapat tempat apabila asrama dikuasai pembangkang," katanya, yang sedang menuntut sebuah universiti di Southampton, Britain.

Satu gesaan yang bukan sahaja tidak masuk aqal tetapi memperlihatkan niat dan sikap yang jahat Kelab UMNO Luar Negara terhadap Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [ PMRAM ] yang cukup berkaliber malah besar jasanya kepada mahasiswa/i Malaysia , Indonesia , Singapura dan Brunei di Mesir bahkan kepada negara tercinta .

Saya kira Wan Md Hazlin sangat dangkal pengetahuannya mengenai PMRAM atau beliau hanya budak suruhan UMNO yang tidak sudah - sudah menyimpan dendam kepada PMRAM sejak 1991 lagi .

Sebaik sahaja saya tiba di Mesir pada tahun 1992 , saya telah mendengar suara - suara jahat yang mendesak kerajaan Malaysia mengharamkan PMRAM . Sedang PMRAM sangat besar dan tinggi nilai jasa baktinya kepada Mahasiswa/i bahkan rakyat Malaysia di Mesir . Malah PMRAM telah wujud lebih awal dari wujudnya kedutaan Malaysia ke Mesir .

Jasa bakti PMRAM tidak siapa mampu menafikannya termasuklah sebahagian pemimpin UMNO sendiri yang dulunya pernah menjadi Yang diPertua PMRAM atau anggota Badan Pengurus PMRAM .

Saya masih ingat bagaimana langkah jahat pihak tertentu , bagi tercapai cita - cita mahu mengharamkan PMRAM telah menubuhkan sebuah pertubuhan tanpa cop halal iaitu PPMM . Walhal PMRAM telah wujud sejak 1930 menabur khidmat dan menyatukan mahasiswa di atas satu wadah iaitu PMRAM .

PPMM yang dianggotai oleh ahli - ahli UMNO di Mesir bertanggungjawab memecahbelahkan solidariti mahasiswa/i sekelagus membibitkan benih perbalahan dikalangan mahasiswa/i . Kesan pecah retaknya terasa hingga ke hari ini .

Terbaru kenyataan Wan Hazlin yang cukup menjadi asas bahawa dendam UMNO dan hasad pemimimpin mereka terhadap PMRAM masih belum selesai . Lebih terserlah ialah kebodohannya sendiri apabila mendesak UMNO agar mengharamkan PMRAM .

Apa hak UMNO dan di mana bidang kuasa UMNO untuk mengharamkan PMRAM ? PMRAM adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan kerajaan Mesir bukan berdaftar dengan UMNO !!

Sepatutnya Wan Hazlin sebagai seorang yang terpelajar , kena fokus ucapannya untuk membersihkan UMNO dari imej buruk terpalit moral yang rendah dengan krisis integriti pada tahap parah dan kritikal dikalangan pimpinan UMNO . Malangnya beliau melihat PMRAM menjadi ancaman kepada UMNO , lantas penuh emosi mendesak supaya UMNO mengharamkan PMRAM dan menarik balik biasiswa ahli PMRAM . Standard ucapan Wan Hazlin dari Kelab UMNO Luar Negara bagai ucapan JKKK , dibakar oleh api permusuhan yang dinyalakan sendiri oleh mereka .

Kalau ahli Kelab UMNO luar Negara yang rata - rata anggotanya adalah dikalangan pelajar di luar negara mempunyai tahap pemikiran kelas ke 3 , bagaimanalah UMNO mahu melakukan transformasi bagi melahirkan UMNO berwajah baru kononnya . Ya , mungkin wajah baru tetapi perut pedalnya masih lama .

Wan Hazlin sepatutnya merujuk dulu kepada tokoh - tokoh negara bahkan tokoh - tokoh UMNO sendiri yang seketika dulu pernah memimpin PMRAM dan bakat kepimpinan mereka dibentuk oleh PMRAM .

Kaji juga peranan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh PMRAM kepada pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir . Jangan bertindak melulu berasaskan tohmahan dan mempercayai fitnah liar yang dilempar .

Saya cabar agar Wan Hazlin buktikan atas kesalahan dan jenayah apa sehingga PMRAM yang jauh lebih tua usianya berbanding Wan Hazlin itu mahu diharamkan ?

Kalau hanya tuduhan kononnya PMRAM menyebarkan ideologi pembangkang , sila buktikan ! dan bagaimana pula dengan Kelab UMNO , secara jelas membawa ideologi parti politik . So apa bezanya ? Inikah sikap double standard UMNO yang akan mewarnai transformasi mereka kelak .

Thursday, March 26, 2009

Wednesday, March 25, 2009

Transformasi UMNO Kemana Arahnya ?


Saya mengikuti perkembangan Mesyuarat Agong UMNO melalui media mereka sendiri yang turut memaparkan pertarungan sengit antara calon yang bertanding bagi mengisi jawatan penting dalam UMNO seperti Ketua Pergerakan Pemuda , Wanita dan Puteri .

Berlaku perubahan dalam kepimpinan UMNO kini . Sebagai contoh Pergerakan Wanita , Pemuda dan Puteri .

Wanita kini disandang oleh Datuk Sharizat Jalil , Pemuda oleh Khairy Jamaludin dan Puteri pula dimenangi oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin .

Sepintas lalu , dalam senarai nama mereka bertiga yang memenangi kerusi ketua bagi sayap - sayap UMNO ini , saya kira Pergerakan Pemuda UMNO paling malang apabila Khairy Jamaludin seorang yang telah disabitkan bersalah terlibat dalam politik wang atau melanggar tataetika UMNO dan telah diberi amaran oleh Lembaga Disiplin UMNO masih diberi kepercayaan untuk memimpin .

Apakah ini wajah Transformasi UMNO ?

Mendengar ucapan mereka sejurus mereka mencapai kemenangan kerusi masing - masing tiada siapa dari mereka yang serius untuk memartabatkan Islam yang kian dipukul teruk oleh musuh dan mereka yang tidak bertanggungjawab .

Mereka hanya mengulangi retorika mereka untuk mempertahankan melayu . Isu mereka ialah melayu , melayu dan melayu . Mereka bermula dengan melayu dan berkahir dengan melayu . Berkobar - kobar semangat mereka mempertahankan melayu . Islam bagaimana ? Syariat bagaimana ? Keadilan dan ketelusan bagaimana ? hukum halal dan haram bagaimana ? nilai akhlak dan moral bagaimana ?

Apakah kerana mereka telah hilang kepercayaan kepada cina dan india yang rata - rata mutaakhir ini berpihak kepada PAKATAN ?

Tidaklah salah mempertahankan melayu , tetapi jangan cakapnya lain tetapi realitinya mereka yang memusnahkan masa depan melayu selama ini .

Tanah rezab orang melayu terlepas ke tangan bangsa asing , bahasa melayu kian dihakis penggunaannya , persempadanan pilihanraya yang sekian lama digubal oleh mereka , langsung tidak memberi kelebihan kepada orang melayu .

Setelah mereka kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu , menyaksikan sokongan melayu terhadap mereka kian merosot lalu mereka kembali memainkan isu perkauman kononnya merekalah hero bangsa melayu .

Isu penderhakaan terhadap institusi Raja - Raja Melayu menjadi isu mereka sebagai mengalih perhatian rakyat terhadap kelemahan dan kepincangan mereka . Walhal dunia menyaksikan bahkan sejarah telah terpahat betapa UMNO lah selama ini merendah - rendahkan martabat raja - raja melayu .

Bukankah UMNO yang menghilangkan kekebalan raja - raja melayu seketika dulu ? Bukankah UMNO yang menabalkan Tengku Ibrahim sebagai Sultan sedang Sultan Ismail Yahya Petra masih menjadi sultan yang sah di Kelantan ? Bukankah UMNO membuat perarakan menentang keputusan Sultan Terengganu dan Perlis dalam isu perlantikan Menteri Besar di negeri tersebut ?

Siapa yang sebenarnya derhaka ?

Saya pernah mencabar Khairy Jamaludin untuk berdebat atau mujadalah dalam isu siapa derhaka kepada Institusi raja - raja Melayu ? tetapi malang beliau tidak menyahutnya . Saya harap selepas ini , setelah memenangi kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy bersedia untuk turun padang berdebat dalam isu ini . Kalau sekadar berteriak di gelanggang sendiri lalu menuduh PAKATAN derhaka , saya kira ini tindakan penakut bukan pahlawan .

Tranformasi Politik Versi Najib Melucukan

Mendengar ucapan Datuk Najib sewaktu merasmikan serentak Mesyuarat Agong Pergerakan Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO semalam pasti sahaja ramai yang teruja dan mengkaguminya jika tidak benar - benar makrifat mengenainya .

Seperti juga mendengar buat pertama kali ucapan Abdullah Ahmad Badawi pada hari pertama berada di puncak kuasa .

Telinga dan mata terpukau menyaksi gaya penampilan dan mendengar bait - bait ucapan yang penuh emosi dan puitis , menggaris pelan - pelan bertindak serta mengungkap wawasan perjuangan .

Begitulah lagak wajarnya seorang pemimpin apabila berdepan ahli dan penyokongnya . Bukan sahaja Abdullah Badawi , tetapi Tun Dr. Mahathir dan juga pemimpin UMNO sebelumnya .

Namun segalanya terbongkar setelah kuasa berada ditangan dan pemerintahan di puncak mahligai . Terserlah segala pembohongan dan terdedah segala penyelewengan sang penguasa yang tamakkan pengaruh dan kuasa .

Kini Datuk Najib dengan nada yang agak angkuh diambang kuasa mengungkapkan kalimah demi kalimah , mengkagumkan sebahagian manusia tetapi TIDAK kepada mereka yang mengenali Najib dan UMNO . Kerana ini bukan kali pertama retorika ciptaan UMNO bahkan saya percaya selagi UMNO tidak menerima Islam sebagai dasar perjuangan atau berubah sikap menjadi insaf dan sedar akan kesilapan mereka , maka ini pula bukanlah retorika yang terakhir bagi UMNO .

Lagak seperti seorang Perdana Menteri , Datuk Najib berteriak agar diserahkan kepadanya sekumpulan pemimpin yang berintegriti , berdedikasi dan baik untuk bersamanya memimpin UMNO di masa akan datang . Ucapan beliau dituju kepada perwakilan Pergerakan Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO yang seketika dulu telah dicadangkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO sendiri [ Tengku Ahmad Rithaudeen ] agar semuanya dibubarkan bagi menyelamatkan UMNO dari barah rasuah yang menjalar .

Agak melucukan apabila Datuk Najib meminta sekumpulan pemimpin berintegriti agar diserahkan kepadanya daripada kumpulan manusia yang tercalar teruk integriti mereka . Malah Datuk Najib sendiri mengalami krisis integiriti apabila beliau sehingga hari ini masih gagal menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai komisen kapal selam , eurocopter , kes pembunuhan altantuya dan lainnya .

Saya langsung tidak terperanjat melihat aksi Najib dan intonasi suara egonya , biarpun kuasa Perdana Menteri belum digemgam tetapi Najib terlebih awal telah menunjukkan aksi rakus tanpa sebarang simpati kepada lawannya dalam atau luar parti apabila mensabotaj dan mencantas semua calon dari kem Datuk Seri Abdullah , mengerahkan polis dan Fru membelasah rakyat dalam perhimpunan aman Gerakan Mansukh PPSMI baru - baru ini , mengepong dan membatalkan majlis ceramah PAKATAN dengan kekerasan menjelang pilihanraya kecil Bkt gantang dan Bkt Selambau , menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan .

Hari ini Datuk Najib melaungkan agenda perubahan kononnya UMNO baru akan dibentuk . Perkataan Integriti menjadi popular di Mesyuarat Agong UMNO kerana selama ini UMNO terbelenggu dengan masaalah politik wang yang parah .

Persoalannya , integriti bukan perkara baru diperkatakan dalam negara kita malah Kerajaan UMNO sejak dulu telah melancarkan Pelan Integriti Nasional [ PIN ] . Tetapi rasuah dan salah guna kuasa semakin parah . Bagaimanalah UMNO akan pulih apabila dipimpin oleh tokoh yang dipalit dengan pelbagai tuduhan jenayah dan salah guna kuasa seperti Datuk najib ?

Saya bukan prejudis dengan perubahan dan tidaklah mustahil untuk UMNO berubah malah saya sangat suka jika ada perubahan ketara dalam UMNO untuk menjadi parti yang baik tetapi ia memerlukan kesungguhan dan keazaman yang tinggi bermula dengan perubahan dasar dan sikap .

UMNO boleh berubah jika sedia merombak dasar parti mereka dengan meletakkan keutamaan kepada Islam dan melahirkan anggota parti yang bertaqwa melalui proses pentarbiyah dan pengkaderan yang serius . [ Pemuda PAS sedia menawarkan kepakaran untuk mentarbiyah dan mengkaderkan fikrah serta aqidah anggota UMNO jika diberi peluang ] .

Apabila tiada keutamaan diberikan kepada Islam , maka apalagi yang boleh mengawal manusia agar tidak melakukan rasuah , salah guna kuasa , penipuan , penyelewengan dan pelbagai skandal melibatkan perlecehan moral dan maruah . Mereka tidak kenal dosa dan pahala lantas sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepentingan politik dan pengaruh kuasa .

Tuesday, March 24, 2009

Ir. Nizar Jamaludin Calon yang direstu



Sebaik sahaja Tuan Guru Dato' Seri Presiden PAS mengumumkan YAB Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir. Nizar Jamaludin sebagai calon Pilihanraya kecil P.059 Bukit Gantang bagi mewakili PAKATAN Rakyat , saraf UMNO dan BN mula bergerak memainkan 2 isu penting .

Pertama isu "sembah derhaka" dan kedua isu "restu"

Saya percaya akan ada pihak - pihak tertentu akan menyebarkan surat sembah derhaka dari YAB Ir. Nizar Jamaludin kepada Tuanku Sultan Negeri Perak tempoh lalu .

Mereka pastinya akan memutar belitkan istilah derhaka dan berniat untuk menghakis kepercayaan rakyat khasnya orang melayu kepada YAB Ir. Nizar Jamaludin selaku calon PAKATAN dalam pilihanraya kecil kali ini .

Sementara hari ini Mstar telah mainkan isu kononnya calon PAKATAN di Bukit Gantang tidak mendapat restu YAB Al Mursyidul Am Tuan Guru Nik Abdul Aziz .

Mereka merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh YAB Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa beliau asalnya tidak bersetuju YAB Menteri Besar Perak itu bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang .

Saya petik kata - kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz setelah diwawancara oleh wartawan Harakah dan telah disiarkan dalam harakah daily .

"Saya terharu disebabkan khianat pemimpin Umno terhadap Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin menyebabkan orang Cina dan India turut sama menangis . "Saya sendiri tengok mereka menangis selepas peristiwa rampasan kuasa berlaku Febuari lalu," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta reaksinya terhadap Menteri Besar Pakatan Rakyat dicalon bertanding di parlimen Bukit Gantang.


Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, keputusan bersama pemimpin tertinggi parti perlu diterima semua pihak.


"Saya juga akur terhadap keputusan tersebut biar pun pada awalnya bimbang pengaruh Nizar boleh hilang apabila memegang dua jawatan penting di negeri dan pusat . "Saya takut berulang seperti kes dialami Dato' Asri Muda dahulu yang juga menerajui dua jawatan. Tetapi sekarang nampaknya zaman dah berubah, jadi saya restulah keputusan tersebut.


"Saya juga ada telefon kepada pemimpin PAS di Kuala Lumpur dan minta kirim salam kepada Nizar," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Semoga Allah memberikan kemenangan hatrik kepada PAKATAN dalam pilihanraya kecil kali ini terutama bagi mengajar kezaliman UMNO dan BN yang semakin menjadi - jadi menjelang era baru kepimpinan Datuk Najib selaku pemerintah kelak . Terbaru isu penggantungan Permit Harakah dan Suara Keadilan untuk menyekat maklumat alternatif dari sampai ke pengetahuan rakyat .

Tiba masanya rakyat benar - benar perlu manafaatkan kuasa dan peluang yang ada pada mereka untuk memberi pukulan TKO kepada UMNO dan BN .

Kurang ajar sungguh UMNO dan BN .

Harakah dan Suara Keadilan digantung



UMNO dan BN kian terdesak . Kekerasan demi kekerasan digunakan oleh UMNO dan BN bagi mencabar kesabaran Gerakan Islam ini . Terkini mereka menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan dan berkuat kuasa serta merta.

Selama ini mereka mendakwa bahawa UMNO adalah parti yang kuat dan diterima oleh masyarakat .

Persoalannya , jika benar UMNO sebagai parti yang kuat dan berpengaruh maka apalagi yang membuatkan UMNO takut dan resah sehingga memaksa mereka menggantung permit Harakah dan suara Keadilan tanpa sebarang alasan yang munasabah .

Jelas mereka sangat bimbang maklumat dari PAKATAN akan sampai kepengetahuan rakyat menjelang pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta Batang Ai di Serawak .

Maklumat adalah ilmu dan hujjah . Ilmu dan hujjah adalah 2 senjata yang paling sempurna dan berkesan untuk meruntuhkan kebathilan dan kezaliman . Lantaran itu sebolehnya mereka akan menghalang maklumat dan hujjah perjuangan PAKATAN ini sampai kepada masyarakat , agar mereka mampu mengekalkan pengaruh bathil dan tindakan zalim mereka ke atas rakyat .

Kini rakyat dinafikan hak untuk memilih maklumat malah mereka dipaksa dan disogok dengan maklumat sebelah pihak melalui media milik mereka samaada cetak atau elektronik . Lebih malang apabila maklumat yang disogok itu adalah maklumat yang salah dan bohong .

Demokrasi kian pudar . Bohonglah kalau UMNO dan BN mengatakan mereka adalah pejuang demokrasi . Tindakan mereka ke atas Harakah dan suara Keadilan adalah bukti tindakan tidak bertamadun bahkan bertentangan dengan nilai demokrasi yang kononnya diperjuangkan oleh mereka .

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa UMNO kini menonjolkan tahap pemikiran kelas kedua di saat dunia memberikan kebebasan media dan kebebasan bersuara kepada parti - parti politik yang sah di sisi undang - undang .

Saya percaya , jika maksud UMNO mahu menyekat maklumat dan hujjah kebenaran ini , maka hasrat mereka nyata akan menemui kegagalan justeru kebenaran tidak mungkin siapa dapat menghalangnya . Rakyat masih mempunyai ruang untuk melayari ruang perbahasan media yang lebih terbuka di pentas cyber .

Mereka mahu memadam cahaya agama Allah swt dengan fitnah , tohmahan dan ugutan mereka ? nescaya Allah swt pasti akan menyempurnakan cahaya agamaNya walau ianya sangat dibenci oleh golongan yang engkar .

Rakyat kini nampak lebih jelas dan dekat betapa UMNO dan BN adalah zalim dan rakus . Tidak memiliki hujjah dan takut berdepan dengan kebangkitan serta kesedaran rakyat .

Inilah peluang rakyat mengajar dan mendidik UMNO dan BN agar mereka benar - benar faham dan insaf terhadap salah laku yang mereka lakukan melalui pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan menolak atau mengenepikan UMNO dan BN pada 7 April kelak dan memilih PAKATAN .

Monday, March 23, 2009

Peribadi Petugas Parti Yang Bertaqwa

Tajuk atau kertas kerja ini dikemukakan untuk bahan perbincangan ke arah melahirkan petugas - petugas parti yang beriman dan bertaqwa . Lantaran taqwa adalah satu jambatan yang menghubungkan insan dengan Rabbnya. Jambatan itulah kelak akan memudahkan nusrah dan maunah disalurkan .

Tanpa hubungan erat antara amilin atau petugas parti dengan Allah swt bagaimanalah perjuangan yang didokong ini mampu beroleh kemenangan [ nusrah ] sedang kemenangan itu adalah milik dan anugerah Allah swt .

Intro 1

Insyaallah perbincangan kita kelak akan menggariskan beberapa ciri - ciri atau kriteria petugas parti [ abna'ul Harakah ] yang menepati standard piawaian yang dikehendaki oleh Rasulullah saw.

Kita tidak mahu petugas parti yang hanya mengaku dan mendakwa dirinya sebagai petugas atau pejuang sedang aqidahnya masih samar , fikrahnya masih kabur dan peribadinya masih culas .

Kita juga mahu memastikan parti atau jamaah yang kita dokong ini turut menepati sebuah Gerakan Islam yang berperanan untuk berjuang bagi mengembalikan khilafah Islam yang telah hilang malah membina kembali daulah Islamiyah yang telah runtuh .

Intro 2

Bila kita bincang mengenai syakhsiyyah amilin yang bertaqwa , maka ia melibatkan semua anggota parti tanpa kecuali . Semua kita adalah amilin atau petugas parti / jamaah Islam ini . Tinggal lagi petugas - petugas ini diagih tugas mereka mengikut keupayaan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh jamaah .

Ada yang bertugas [ amilin ] sebagai al Mursyidul Aam , dalam PAS tugas besar ini diamanahkan kepada Al Fadhil Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz . Ada yang bertugas sebagai Presiden dan ianya diamanahkan kepada Al Fadhil Tuang Guru Haji Abdul Hadi . Ada yang bertugas sebagai Ketua Dewan Pemuda maka tugas ini pula ditaklifkan kepada Yb. Salahudin Ayub .

Begitulah seterusnya , pelbagai jawatan dan amanah sebagai agihan tugas telah diagih dengan penuh kepercayaan oleh jamaah agar dilaksanakan dengan baik dan bertanggungjawab . Semuanya bertugas dalam bidang dan skop tanggungjawab masing - masing . Justeru itu , perbahasan mengenai amilin ini merangkumi semua anggota jamaah .

Saya merasakan bahawa memahami amilin parti sebagai staff pejabat , suk , pegawai tugas - tugas khas dan lain - lain adalah silap , sebaliknya amilin itu ialah mereka yang beramal atau bekerja untuk membangunkan perjuangan Islam ini dengan menjadikan jamaah ini sebagai platform . Pastinya ia meratai seluruh anggota parti , bermula dengan al Mursyidul Am hinggalah pegawai am di pejabat agong parti itu semuanya adalah amilin .

Peribadi yang kita mahu bina dikalangan petugas jamaah bukan sahaja terhenti pada gaya penampilan berwibawa , aksi kehidupan berhemah dan juga fikrah Islami yang syumul tetapi juga memberi penumpuan kepada pembinaan spiritual yang mantap .

Amilin [ petugas ] parti mestilah bertolak di atas nokhtah Ikhlas dan Tajarrud . Ikhlas dengan maksud segala amal dan tugasan yang ditaklifkan ke atas dirinya , dilaksanakan semata - mata kerana Allah swt . Justeru Ikhlas adalah rahsia Allah swt . Kita boleh menilainya melalui kesan - kesan langsung yang menunjuk kepada ikhlas .

Antara petanda ikhlas bagi seorang petugas ialah :

Nawaitu yang tepat dan jelas kerana Allah swt , bukan kerana mahu menjawat jawatan , publisiti dan lainnya sehingga melanggar disiplin amal Islami .

Bekerja atau bertugas walau tanpa jawatan
Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran
Tidak bermain alasan untuk mengelak diri dari tugasan atau tanggungjawab
Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan
Perihatin terhadap keperluan parti / jamaah
Tolak ansur dalam mengendalikan gerakkerja jamaah
Menghormati generasi terdahulu yang lebih merintis jalan perjuangan
Senantiasa muhasabah diri dan aktiviti yang telah dilaksanakan
Mengakui dan menginsafi kesilapan diri
Menjaga rahsia parti / jamaah
Menepati keputusan dan ketetapan parti / jamaah
Tidak mengklasifikasikan ketaatan kepada pimpinan
Aktif tidak mengira musim

Sementara Tajarrud pula bermaksud fokus . Tawajjuh kepada Allah swt tanpa campur tangan elemen - elemen luar . Dalam melaksanakan tugasan , ia fokus kepada Allah swt tanpa terlalai dengan apa jua kepentingan selain Allah swt . Tiada serampang dua mata melainkan hanya untuk Allah swt dan kepada Allah swt .
























Sunday, March 22, 2009

Jentera Pemuda PAKATAN dilancarkan



21 Mac 09' , saya telah diamanahkan oleh Yb. Salahudin Ayub selaku Ketua DPP Pusat bagi menggantikan beliau berucap sekaligus melancarkan jentera pemuda PAKATAN Rakyat bagi P.056 Parlimen Bukit Gantang .

Alhamdulillah , biarpun tidak sama hebatnya dengan pidato Yb. Ketua DPPP , saaya dapat menunaikan amanah tersebut semampu mungkin .

Harapan saya , jentera pemuda PAKATAN Rakyat akan bekerja segigihnya bagi mencipta hatrik dalam pilihanraya kecil yang diadakan bagi kali ketiga musim ini .

Biarpun sukar justeru PAKATAN terpaksa berhadapan dengan seluruh instrument Pemerintah tetapi berbekalkan disiplin yang tinggi dalam perjuangan suci ini , bertunjangkan pula semangat mendaulatkan yang haq dan menentang kebathilan yang diperjuangan oleh UMNO dan BN saya percaya PAKATAN mempunyai kelebihan dalam pertarungan ini .

Berucap sama dalam majlis pelancaran jentera pemuda PAKATAN ialah Yb. Anthony Loke Ketua Pemuda DAP dan Sdr Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda Keadilan . Turut hadhir sdr. Sabky Yusuf Setiausaha DPPP , Yb. Zaki Ibrahim Bendahari DPPP , Sdr Adram Musa EXCO DPPP , Ust Riduan Mohd Noor Exco DPPP .

Pemuda PAKATAN suka menegaskan , jika UMNO dan BN sanggup melakukan apa sahaja bagi menghalang PAKATAN mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil ini , maka bagi kami pemuda juga sanggup menghadapi apa jua kemungkinan demi perjuangan suci ini .

Kebejadan UMNO dan BN terutama melalui tragedi rampasan kuasa di Perak pasti sahaja tidak boleh dimaafkan oleh Rakyat dan inilah masanya rakyat menghukum keangkuhan UMNO dan BN.

Jentera sewajar berupaya memobilisasi kesedaran dan kehendak rakyat dengan sebaik mungkin bermula dengan niat yang ikhlas dan taqwa yang tinggi kepada Allah swt .

Friday, March 20, 2009

KDPP Tampin kembali ke Rahmatillah


Al Marhum Ustaz Khairul Azhar telah kembali ke Rahmatillah jam 11.30 malam kelmarin di hospital Seremban kerana diserang demam denggi . Beliau yang juga Ketua Penerangan DPPN9 merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tampin meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil .

Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Paroi Jaya Seremban sejurus selesai solat jumaat sebentar tadi . Turut hadhir ialah Yb Salahudin Ayub [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ] , Yb. Taufeq [ Exco DPP Pusat merangkap Adun Paroi ] , Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir ( ILMAM ) sdr Azizul , Ustaz Mohd Asri Daud Pimpinan Pelajar yang baru pulang dari Mesir , Ustaz Mohd Farhan dan rakan - rakan azhari yang lain termasuklah anak muridnya disekitar Seremban .

Sdr Zulkifli Omar Pesuruh Jaya PAS Negeri Sembilan turut hadhir untuk memberi penghormatan terakhir buat al marhum yang banyak berjasa buat perjuangan Islam khasnya di Negeri Sembilan .

Dewan Pemuda PAS Pusat dan seluruh warganya mengucap takziah buat keluarga al marhum agar bersabar dan tabah menghadapi ujian ini dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan dalam golongan hamba - hambaNya yang soleh . Al Faatihah .

Thursday, March 19, 2009

Adnan Yaakub Mesti Letak Jawatan

Badan Perhubungan PAS Pahang diketuai oleh Pesuruhjaya al fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini telah menyerahkan memorundum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [ SPRM ] Kuantan di pejabatnya jam 11.30 am tadi .

Tindakan ini ekoran keputusan Lembaga Disiplin UMNO mendapati 4 wakil rakyat dari bahagian Paya Besar didapati bersalah terlibat dengan politik wang .

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakub didesak supaya mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang .

Malah UMNO Paya Besar sendiri melahirkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Menteri Besar Pahang dan mendesaknya supaya meletakkan jawatan sebagai langkah bertanggungjawab atas insiden yang memalukan ini .

Apa yang berlaku adalah siri malang yang menimpa UMNO , khasnya UMNO Pahang . Justeru itu PAS Pahang mengharapkan agar SPRM akan mengambil tindakan tegas dan menyiasat mereka yang terlibata agar tidak terlepas dari hukuman dan tindakan yang sejajar dengan kesalahan mereka .

Sebelum ini SPRM mendakwa tiada report atau aduan bagi membolehkan mereka bertindak , maka PAS pahang mengemukakan aduan yang diterima sendiri oleh Pegawai Khas SPRM Kuantan agar satu siasatan telus diambil .

Wednesday, March 18, 2009

Bekas Ketua DPPP Pulang Kerahmatillah

Al Marhum Al fadhil Ustaz Jaiz Anwar yang merupakan bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sessi 1968 - 1970 telah kembali Kerahmatillah di Hospital UCL London petang kelmarin [ waktu London ]

Al Marhum adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang ke 6 selepas [ Haji Ahmad Badawi ( jan 53 ) , Ustaz Haji Othman bin Abdullah ( ogos 53-56 ) , Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (1956-1959), Ustaz Abu Bakar Hamzah (1959-1962 ) , YB Senator Ustaz Amaluddin Darus (1962-1966) , Ustaz Abu Bakar Hamzah ( 1966 - 1968 ) ]

Selepas al Marhum Ustaz Jaiz Anwar , jawatan Ketua Pemuda disandang oleh [ Ustaz Hassan Shukri (1971-1973), YB Ustaz Abdul Wahab Yunus (1973-1975), YB Tuan Haji Mustafa Ali (1975-1987), Ustaz Abdul Halim Arshat (1987-1989), Ustaz Abu Bakar Chik (1989-1999) , YB Datuk Haji Mahfuz Omar (1999-2003 ) , Yb Tuan Haji Salahudin Ayub ( 2003 - sekarang ) . ]
Dewan Pemuda PAS Pusat dan seluruh warganya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga al marhum atas pemergian seorang pejuang yang kini menetap di London semoga Allah meredhai dan mencucuri rahmatNya ke atas ruh al Marhum dan menggolongkannya dalam golongan hambanya yang soleh .

Al Faatihah .

Pemimpin Yang Terlibat Dengan Rasuah Wajib Letak Jawatan

Malu. Sungguh memalukan! Sebelum ini, setiap kali PAS mendedahkan kepada rakyat betapa pemimpin UMNO adalah kaki rasuah, PAS ditempelak. Mereka kata inilah kerja pembangkang! Tidak ada kerja lain! Tuduh orang, tabur fitnah dan sibuk perihal orang lain. Kini Lembaga Disiplin UMNO sendiri mengesahkan pemimpin UMNO terlibat dengan rasuah atau politik wang.

Rasuah adalah suatu amalan keji dan dicela dalam Islam. Ia satu amalan yang bercanggah dengan integriti. Malah Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam pernah menyebut;
لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ
“Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan.” (riwayat al-Tabarani)

Sekadar mengesahkan bersalah kerana terlibat dengan rasuah seperti Khairi Jamaludin tetapi masih boleh bertanding ke Jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, atau masih boleh memimpin UMNO jelas menunjukkan UMNO sebenar parti yang tidak sensitif dengan amalan keji ini. Bagaimana pelaku perbuatan yang keji masih diterima untuk memimpin sebuah parti sekali gus memimpin negara?

Setelah disahkan bersalah, Ali Rustam biarpun tidak dibenarkan bertanding ke Jawatan Timbalan Presiden tetapi masih kekal sebagai Ketua Menteri Melaka. Persoalannya ialah apa beza antara keduanya? Bertanding Timbalan Presiden dengan Ketua Menteri tidak ada bezanya. Beliau masih memimpin dalam keadaan beliau telah disabitkan bersalah sebagai perasuah atau pengamal politik wang.
Ertinya UMNO masih menyimpan pemimpin yang telah disahkan terlibat dengan rasuah. Sungguh memalukan sebagai sebuah parti besar yang menerajui kepimpinan negara. Bagaimanalah negara mahu bebas dari rasuah. Sedang rasuah samalah kejinya dengan dadah. Kalau dadah disebut najis apa kurangnya rasuah, samalah jijiknya dengan najis.
Tetapi UMNO masih bermuka tebal, apabila Datuk Seri Najib isytihar bahawa Ali Rustam hanya tidak dibenarkan bertanding tetapi masih kekal sebagai Ketua Menteri Melaka. Malang rakyat negeri Melaka berketua menteri-kan Ali Rustam malah lebih memalukan UMNO sendiri atau sememangnya UMNO tiada kemaluan!

Saya cabar UMNO pecat ahli yang terlibat dengan rasuah yang saya percaya ini bukan kes yang pertama melanda UMNO. Atau untuk lebih bermaruah, saya cabar Khairy Jamaludin menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana beliau telah disabitkan bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO sendiri sementara Ali Rustam meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

Atau mungkin UMNO dan ahlinya akan terus mempertahankan pemimpin mereka walaupun telah disahkan terbabit dengan najis rasuah ini? Saya harap tidak! Tetapi jika sebaliknya, ia adalah episode malang bagi negara ini memiliki pemimpin seperti mereka. Hancur negara...

Saya ulangi cabaran saya agar mereka lebih dilihat bertanggungjawab dan mempertahankan integriti dengan meletakkan jawatan segera. Negara kini mahu bebas dari dadah dan rasuah.

Tuesday, March 17, 2009

Tahniah Nurmadihah



Dewan Pemuda PAS Pusat sangat berbangga malah merakamkan setinggi - tinggi Tahniah atas kejayaan Adik Nik Nurmadihah binti Nik Mohd Kamal .

Kunjungan Exco DPPP ke kediaman Adik Nurmadihah yang berjaya mencipta kejayaan cemerlang dalam SPM baru baru ini dengan pencapai terbaik di peringkat Kebangsaan 20A [ 19 A1 dan 1 A2 ]

Dewan Pemuda PAS Pusat juga sangat berbesar hati menghulurkan sumbangan dan hadiah penghargaan buat Adik Nurmadihah atas kejayaannya . Semoga Allah mengukuhkan semangatnya untuk terus maju dan jaya dalam pengajian seterusnya menjadi insan yang mampu berbakti bukan sahaja kepada Tuhan dan ibubapa tetapi juga kepada perjuangan Islam di tanahair kita ini insyaallah .

Adik Nurmadihah memberitahu saya bahawa beliau sangat meminati bidang Fizik dan bercita - cita menyambung pengajian fiziknya di Timur Tengah . Minatnya terlalu tinggi untuk menjadi ahli fizik yang beriman dan bertaqwa , justeru itu barangkali beliau sanga berminat untuk ke Timur Tengah .

Saya yakin Adik Nurmadihah mampu melakukannya . Keupayaannya istiqamah berpuasa isnin dan khamis sebagai amalan rutin dan solat malam menjadi pemangkin kepada kejayaannya. Biarpun hidupnya tidaklah bernasib baik seperti orang lain yang jauh lebih senang dan mewah , Nurmadihah nyata sangat berdisiplin dan memanafaatkan sepenuhnya keadaan diri dan keluarganya untuk tegas dan yakin berdikari lalu membina kegemilangan akademi .

Semasa saya berbual dengan ayahnya Nik Mohd kamal , lafaz - lafaz syukur terus membasahi bibirnya yang turut terharu atas kejayaan anaknya . Beliau turut menafikan laporan akhbar yang mengatakan anaknya terpaksa berpuasa kerana faktor kemiskinan yang mencengkam keluarga mereka . Sebaliknya puasa isnin khamis telah menjadi ibadah dan amalan rutin anaknya sejak awal lagi .

Pelajar Maahad Muhammadi lil Banat Kota Bharu Kelantan ini berjaya membuka mata masyarakat bahawa sekolah yang berorientasikan agama mempunyai potensi tinggi untuk melakar kejayaan akademi yang baik . Sebelumnya Adik Fatimah dari sekolah yang sama juga merupakan pelajar terbaik peringkat Kebangsaan dalam peperiksaan SPM biarpun Kerajaan Persekutuan kelihatan enggan mengiktiraf kejayaan mereka berdua .

Kerajaan Negeri Kelantan juga telah mengambil langkah wajar dengan memberikan insentif yang sangat tinggi nilai moralnya buat kejayaan Nurmadihah apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengumumkan satu lot rumah baru untuk didiami oleh keluarga bertuah ini .

Turut hadhir dalam kunjungan Dewan Pemuda PAS Pusat ini ialah Akhi Zuraidin , Adram dan Dr Rosli .

Akademi Kepimpinan Pemuda


Perasmian Kem
Akademi Kepimpinan Pemuda [ DPPP ]


Alhamdulillah , 14 Mac 09 yang lalu , Dewan Pemuda PAS Pusat telah berjaya memiliki dan merasmikan sebuah Kem yang telah dibangunkan dan kini tersergam bagi membolehkan aktiviti - aktiviti pengkaderan berlangsung .

Kem yang bertempat di Kok Lanas Kelantan ini akan dimanafaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan capacity building dikalangan pimpinan dan bakal pimpinan DPP disemua peringkat.

Bahkan Kem ini insyaallah akan menjadi salah satu pusat pembinaan fikrah , syakhsiyyah dan kemahiran kontemporari dalam pembinaan keterampilan diri , pengurusan , pengucapan awam , kemahiran berfikir , komunikasi interpersonal dan komunikasi global .

Saya sebagai Pengerusi Akademi Kepimpinan Pemuda ingin merakamkan setinggi - tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan khasnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana sokongan padu yang diberi malah sudi merasmikan Kem AKP ini biarpun beliau tidak dapat hadhir kerana keuzuran dan teks perasmian beliau dibacakan oleh Yb . Tuan Hj. Abdul Fattah bin Mahmood selaku Exco Pembangunan Insan , Belia , Sukan dan Ngo Kerajaan Negeri Kelantan .



Yb. Tuan Hj. Abdul Fattah bin Mohmood juga adalah orang penting disebalik kejayaan pembinaan kem AKP ini . Semoga Allah swt memberikan ganjaran sewajarnya kepada beliau .

Tahniah juga ingin saya kalungkan buat semua ajk AKP bermula dengan Timbalan Pengerusi AKP sdr Zuraidin Abdullah , Pengarah AKP Dr. Supyan Hussin , Setiausaha AKP Khairulfahmi Mat Som dan seluruh Ajk AKP .

Kini AKP telah memiliki modul yang siap untuk diaplikasi dan dihayati oleh pesertanya kelak . Modul AKP berkait langsung dengan :


Teori Amalan Kepimpinan Organisasi
Keterampilan diri
Protokol dan etiket sosial
Pengucapan awam
Komunikasi Interpersonal
Pengurusan
Kemahiran berfikir
Komunikasi global
R & D
Komunikasi Bahasa Inggeris
Pengurusan Masa
Pengurusan Tekanan diri
War - game dan Kepimpinan
Nilai diri dan pasukan dalam Jamaah

Asas utama dalam Akademi kepimpinan Pemuda ialah membina circle kefahaman yang jelas terhadap pengurusan dan kepimpinan . Kefahaman yang dimaksudkan ini boleh dilihat secara garis kasarnya dalam membentuk :

Faham struktur , kepimpinan , sumber dan budaya dalam organisasi
Faham peranan pemimpin dalam organisasi
Faham kepentingan wawasan dalam kepimpinan.
Faham konsep plan , organize , lead dan control
Faham proses analisa scenario , swot dan sebagainya
Faham proses strategic planning
Faham asas pengwujudan struktur organisasi
Faham proses membuat keputusan berasaskan objektif
Faham kepentingan kawalan dan penambahbaikan
Faham disiplin bekerja untuk mencapai matlamat
Faham mekanisme kawalan dalan organisasi bukan berorientasikan keuntungan .
Faham asas politik secara tersusun
Faham asas pendekatan jamaah dalam pendekatan politik Malaysia

Saya harapkan AKP yang seketika dulu pernah diideakan oleh Yb. Dato' Hj. Mahfuz Omar [ bekas Ketua DPPP ] dalam ucaptama beliau pada tahun 2003 dan kini dijadikan satu gagasan besar dibawah kepimpinan Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayub selaku Ketua DPPP dapat dilaksanakan dengan jayanya .

Kejayaannya pula pasti sahaja melalui sokongan dan dokongan seluruh anggota pemuda dipelbagai peringkat agar DPP akan senantiasa dapat melahirkan kepimpinan yang menepati piawaian standard sebagai seorang pemimpin warisan perjuangan Nabi saw .

Akhirnya saya juga mengucapkan tahniah buat DPP Negeri Kelantan yang kini dipimpin oleh Yb . Zaki Ibrahim di atas kerjasama gigih bagi menjayakan penubuhan dan perasmian Kem AKP DPPP ini . Tahniah jua buat semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak . Semoga segalanya menjadi amal soleh dan memperoleh ridha dari Allah swt .



Friday, March 13, 2009

Membina Karisma Kepimpinan PAS

Kepimpinan Ulama' :
Membina Karisma Kepimpinan.

Kepimpinan adalah jentera utama bagi sebuah organisasi , apatah lagi bagi sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam seperti PAS .

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, telah diketahui umum bahawa teras kepimpinannya ialah Kepimpinan Ulama' dimana ianya telah diasaskan sejak awal 80an lagi .

Namun ia tidaklah boleh dibiarkan mengambil tempoh sekian lama tanpa kepimpinan ini dimuhasabah dan diperkasakan dari masa ke semasa terutama bagi melengkapkan keperluan jamaah dan tuntutan perjuangan yang kian mencabar dewasa kini .

Bahkan kepimpinan parti [ PAS ] janganlah berasa selesa dengan tahap prestasi yang dimiliki melainkan mestilah secara jujur dan bertanggungjawab berusaha segigih mungkin untuk mempertingkatkan kualiti kepimpinan . Sekurang - kurangnya menghampiri garis kepimpinan yang menepati piawaian standard dalam pengurusan organisasi dan juga pengurusan sumber manusia [ ahli / anggota parti ] .

Justeru itu karisma kepimpinan yang berteraskan Kepimpinan Ulama' ini janganlah terhenti di atas penguasaan ilmu agama semata - mata [ tanpa menafikan kepentingannya ] , tetapi mestilah mempunyai kredebiliti dalam menangani peraturan dan arahan gerakkerja dalaman parti serta mendepani strategi dan tindakan terhadap isu atau perkembangan politik .

Sewajarnya kita menyedari bahawa PAS bukanlah halaqah pengajian Fardhu Ain atau Sidang Fatwa yang mana tidak mengapa jika kepimpinan hanya memantau dari jauh atau 'slow' dalam tindakan . Sekadar menanti kalau ada isu yang bertentangan dengan agama untuk bersuara dan bertindak .

Sebaliknya PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang selayaknya aktif dan agerasif meredah cabaran malah membelah halangan membentuk laluan untuk Islam di daulatkan serta menangani isu ummah lantas menjuarainya , maka kepimpinan PAS mestilah kepimpinan yang aktif , hidup dan bertenaga dalam menggerakkan seluruh jentera dan organ parti ke arah mencapai matlamat perjuangan .

Kepimpinan Yang Pasif Tidak diperlukan .

Menyedari zaman yang penuh dengan ancaman dan halangan malah 1001 kesulitan terpaksa dihadapi , ditambah pula kekurangan tenaga dan upaya untuk mendepani segala tahaddiyat ini , meletakkan beban amanah itu semakin besar dan berat kepada pemimpin parti .

Mereka tidak boleh bersikap sambil lewa , hadhir mesyuarat dengan 'kepala kosong' tanpa idea , lebih malang jika gagal menghadhiri mesyuarat sedang potfolio yang disandangnya adalah sandaran parti untuk mencapai objektif dan matlamat perjuangan .

Kepimpinan yang berwibawa pula berkarisma , ialah kepimpinan yang mampu menggerakkan diri , lajnah dan anggotanya bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya . Malang 1001 kali malang jika kepimpinan yang dipilih dan dilantik sekadar menjadikan jawatan itu sebagai populariti atau mengambil manafaat dari title berjawat untuk penampilan diri dalam parti .

Lebih malang kepimpinan pasif ini menjadi penghalang kepada individu - individu tertentu yang memiliki kemahuan dan kesungguhan untuk melaksanakan tugas serta amanah perjuangan tetapi tidak boleh berbuat demikian lantaran tiada ruang kerana tidak berjawat . Kuota pilihan dan lantikan kepimpinan telah dipenuhkan oleh mereka yang tidak berfungsi .

Kepimpinan Pasif ini biasanya hadhir mesyuarat sekadar menongkat dagu dan merenung meja mesyuarat tanpa idea bernas apalagi kertas kerja yang menggariskan tindakan yang perlu dilaksana . Tambah memalukan jika wujud pula "mesyuarat" dalam mesyuarat atau sebarang aksi dan perlakuan sengaja yang jelas menunjukkan sikap tidak menghormati mesyuarat .

Kepimpinan Kalut tidak menambah Kebaikan parti

Sebagaimana kepimpinan pasif tidak diperlukan oleh parti malah mengganggu kelancaran gerakkerja parti dalam melangsungkan misi dan visinya , kepimpinan kalut juga tidak menambah kebaikan dan kekuatan organisasi . Sebaliknya kekalutan itu membuatkan organisasi menjadi semakin kusut dan tidak menentu .

Kepimpinan kalut ini mungkin banyak cakapnya dalam mesyuarat tetapi hanya sekadar menyampuk serta mengkritik aktiviti dan gerakkerja yang dibuat oleh pihak lain sedang tugas atau tanggungjawab sendiri diabaikan malah dilepaskan dengan cukup bijak melalui kepetahannya berkata - kata .

Terkadang kalut dengan 1001 idea tetapi malang , idea itu gagal dilaksanakan walau hanya satu dari idea tersebut . Akhirnya mesyuarat menjadi bising dan hingar seperti pasar tetapi tidak mehadhirkan natijah yang positif dan keputusan yang baik untuk dilaksanakan .

Kepimpinan Ulama' mesti bersih dari imej hambar ini .

Andai kepimpinan yang telah saya sebutkan itu benar - benar berlaku , tentulah ia melakar imej yang negatif kepada institusi Kepimpinan Ulama' .

Justeru itu , semua pihak bertanggungjawab berusaha meletakkan kepimpinan parti sebagai kepimpinan yang dinamis . Jika melibatkan individu ulama' yang alim dan faqih maka mestilah individu tersebut bertindak aktif dan profesional dalam tindakan sebagai penjawat amanah dalam parti agar dilihat kepimpinan ulama' aktif , cerdas dan cergas .

Sementara yang melibatkan individu profesional dan aktivis pula , mestilah individu terbabit melandaskan tindakan mereka berasaskan feqh Islami agar dilihat pula sebagai kompenan institusi Kepimpinan Ulama' yang tidak tersasar dari ketulenan manhaj perjuangan Islam .

Tegasnya , kepimpinan Ulama' bukanlah merujuk kepada batang tubuh individu ulama' yang wujud dalam parti tetapi berasaskan kolektif kepimpinan parti yang mendasarkan matlamat , tindakan dan hala tuju perjuangan di atas keputusan dan pemantauan syura ulama yang telah diinstitusikan di dalam parti .

Peranan Perwakilan menjelang Muktamar

Muktamar parti memberi hak kepada anggotanya memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti sekaligus memacu tindakan ke arah menepati objektif dan mencapai matlamat perjuangan . Menginsafi realiti tersebut , tugas perwakilan tidaklah mudah dalam membuat pilihan mengenegahkan pemimpin yang layak dan mengangkat pemimpin yang memiliki karisma .

Pemilihan tangkap muat , pangkah borong dan ikut mana yang sempat sama lah rendah kualitinya dengan cara memilih pemimpin berasaskan populariti atau mana yang pandai ceramah tapi zero prestasi kerjanya . Juga jelas tidak benar jika pemilihan itu turut berasaskan kroni bukan berasaskan merit .

Perwakilan mestilah terlebih dahulu benar - benar mengenal pasti calon yang yang akan dipilih agar tidak salah pilih atau memilih mereka yang tidak banyak membantu parti . Secara umumnya , calon parti PAS semuanya baik dari segi akhlak dan ikhlas pula dari segi niat . Tetapi kepimpinan tidak cukup sekadar baik akhlak dan ikhlas niat tetapi mestilah ada kesungguhan bekerja dan berjuang dan mampu menangani berat beban tanggungjawab yang digalas .

Peranan individu yang dicalonkan .

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan tetapi adalah satu taklif atau tanggungjawab yang mesti ditunai . Janganlah menjadikan jawatan sekadar untuk disandang sedang kita menyedari bahawa kita tidak bersedia untuk memimpin . Alangkah jika kita dengan rendah diri boleh menarik diri lalu memberi laluan kepada mereka yang berkelayakkan dan mampu menunaikan tugas dengan baik .

Apa yang kita fikir ialah untuk perjuangan yang kita dokong agar ianya digerakkan dengan sebaik mungkin bukan tergendala pergerakkannya ekoran kepimpinan yang pasif dan bersahaja dalam parti .

Namun saya berpendapat , jika ada dikalangan kita mendapat pencalonan , maka bersedialah untuk memikul tanggungjawab perjuangan ini sebaik mungkin dan mohonlah petunjuk Allah swt agar dikurniakan petunjuk dan kekuatan bagi melaksanakan tugas besar perjuangan ini . Tekad dan ikrarlah untuk menunaikan amanah yang bakal digalas .

Pun begitu , kita tahu akan keupayaan kita sendiri . Jika ada orang yang lebih layak daripada kita , pastinya tanggungjawab itu mesti diserahkan kepada mereka yang lebih layak dengan kita menarik diri lalu ruang dan peluang itu diberi kepada mereka .

Peranan Pemimpin yang telah dipilih dan dilantik .

Kepimpinan ini adalah masu'uliyah yang akan dipersoalkan dihadapan Allah kelak . Jawatan yang disandang sekali lagi saya tegaskan bukanlah sebagai satu kemuliaan jauh sekali satu keseronokan sebaliknya ia menjadi ujian besar buat kita membuktikan ubudiyah kita kepada Allah swt . sejauh mana kita bersedia menunaikan amanah apabila amanah itu diserahkan kepada kita . mengabaikan amanah tentu sahaja satu pengkhianatan dan kelak kita akan dihukum oleh Allah swt .

a ] Kenal pasti bidang tugas , kemudian cari jalan dengan segala upaya bagi menunaikan tanggungjawab dengan memberikan apa yang terbaik dari kita buat perjuangan suci ini .

b ] Perjuangan ini diurus tadbir secara berjamaah , justeru itu elakkan bertindak secara Lone Rangers atau Zorro . Kita bukan mengejar populariti secara individu jauh sekali publisiti diri . Sebaliknya kita mengangkat wadah perjuangan dan berjuang secara kolektif .

c ] Meskipun sukar dan penat memikul beban amanah perjuangan ini , sebagai pemimpin kita selayaknya bertahan dengan segala upaya yang kita miliki . Jangan manja dan jangan pula cepat merajuk .

d ] Selia perjuangan ini dengan semangat dan jiwa yang tenang . Jangan terlalu ikut "angin pasang surut" kita yang tidak menentu itu kerana ia menganggu prestasi . Berjuanglah dengan kesedaran dan kewajaran bukan mood dan perasaan .

e ] Dekatkan diri kepada Allah swt menjadikan kita kuat dan bertenaga menangani kerencaman masaalah perjuangan , dalaman atau luaran .

f ] Bertanggungjawab terhadap ahli biar pun hanya ahli biasa dengan memimpin mereka dan hidup bersama mereka . Tiada kepimpinan elit dalam perjuangan Islam sebagaimana tiada juga pemimpin yang kalis tarbiyah .

g ] Tunjangi tindakan dengan prinsip istisyarah dan istikharah agar kepimpinan kita biarpun dalam apa jua sentuhan yang kita lakukan tidak terhindar dari petunjuk Allah swt .

h ] Miliki semangat setia kawan berasaskan ukhuwwah fillah , basmi politik cantas sesama sendiri , jangan biarkan tenaga terbiar atau terbuang serta berlaku adil dalam tanggapan dan tindakan

i ] Berdisiplin , berakhlak , beradab dan thiqah sesama sendiri , dengan jamaah dan terhadap pimpinan jamaah .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive